Wednesday, August 05, 2009

Arak

Beberapa hari ni kecoh fasal cadangan PAS Selangor nak haramkan penjualan arak di kawasan majoriti Islam di Selangor. Timbalan Pengerusi MCA diberitakan membantah cadangan tersebut. Biarlah mereka berdebat di Dewan Undangan Selangor, ek.

Izinkan saya berikan pendapat 2 sen saya.

Saya paling tidak setuju apabila rangkaian kedai 7 eleven di Malaysia ni diberikan lesen menjual arak.

1. Kebanyakan rangkaian kedai itu dikendalikan oleh remaja melayu. Kenapa mereka dibebankan untuk menjual arak tersebut. Kalau tak silap di supermarket, bahagian jualan alkohol ini dikendalikan oleh kakitangan bukan islam. Kenapa, ada orang nak tanggung dosa mereka menjual arak di akhirat kelak?

2. Konsep jualan kedai 7 eleven tidak relevan di Malaysia. Kalau setakat nak buka kedai 24 jam saya rasa tidak perlu diberikan lesen menjual arak. Ini bukan US, yang mana arak dijual berleluasa. Apa yang dijual di US, tak perlu dijual di Malaysia. Apa, kalau dah jual arak kat kedai tu, kenapa tak dijual makanan tidak halal sekali! Macam kat US!

3. Saya tak pasti undang-undang penjualan arak di Malaysia. Di dua tempat saya belajar di luar negeri dulu, arak tidak boleh dijual selepas tengah malam sehingga 7 pagi. Kalau ini juga dikuatkuasakan di Malaysia perbezaan tempoh julat masa hanya 2 jam dari waktu supermarket tutup. Lagi pun banyak lagi pub yang buka sampai ke pagi. Pergi ajelah!

Kata saya...tunggu nak dengar YB Islam di Selangor bagi pendapat "bernas" diorang.

Tuesday, August 04, 2009

Kampung Buah Pala & Kampung Baru

Operasi merobohkan Kampung Buah Pala ditangguh lagi. Semalam tengok berita, sorang tu siap menjerit-jerit dalam bahasa Inggeris sambil menangis.

Saya malas nak menyelidik dengan lebih mendalam kes ini. Cuma saya nak bandingkan dengan satu situasi lain.

Kampung Baru di Kuala Lumpur...

Apa akan terjadi jika sekiranya kampung tersebut diambilalih atas nama pembangunan? Agak-agak akan jadi protes macam di Kampung Buah Pala?

Saya berharap Kampung Baru tidak diambilalih untuk tujuan keuntungan sesetengah pihak.

Kata saya...let it be...

Thursday, July 30, 2009

Bola & Politik Malaysia

Bola Malaysia:
Pemain yang dah digugurkan oleh team A, senang-senang boleh main untuk team B. Team A gugurkan kerana dikatakan prestasinya merosot. Team B juga berbuat demikian di akhir musim. Yang peliknya pemain itulah yang dikerah tenaga setiap perlawanan. Kalau prestasinya merosot kenapa masukkan juga dia dalam "starting eleven". Akhirnya pemain bermain untuk team C.

Politik Malaysia:
Ahli politik A bertanding dalam pemilihan parti. Kalah. Ahli politik B tidak puas hati tak dapat jawatan tinggi. Ahli politik C yang terasa dipinggir. Berpaling tadah. Masing-masing tukar parti. Tak tahulah untuk apa...

Hi, hi, pemain recycle, ahli politik pun recycle.

Kata saya...begitu mesra alam...

Wednesday, July 29, 2009

Cukup?

Semalam semasa di Balai Polis Ayer Keroh, semua pegawai polis di situ telah diarahkan untuk disuntik vaccine H1N1.

Semalam dalam the STAR diberitakan syarikat farmasi hanya berkemampuan mengeluarkan 900 juta vaccine tersebut manakala penduduk dunia berjumlah 6 billion. Vaccine itu pula perlu disuntik sebanyak 2 dos.

Dari sumber itu juga kebanyakan vaccine ini telah pun ditempah oleh negara-negara maju, seperti US, Perancis dan Australia yang telah menempah vaccine secukupnya untuk rakyat mereka.

Malaysia bagaimana?

Hari ini AP melaporkan Agensi Medikal Eropah sedang dalam proses untuk "fast-track" kelulusan vaccine selesema babi ini. Tak tahulah samada mereka memperkatakan vaccine yang sama atau tidak.

Cukup ke tak cukup vaccine H1N1 ni...

Kata saya...semasa di balai baru tahu kes trafik kena report kat Bandar Hilir...

Tuesday, July 28, 2009

Undang-undang II

Hari ahad lalu baca artikel tentang rotan merotan lagi dalam the STAR. Beberapa orang telah menunjukkan "kebijaksanaan" masing-masing dalam hal ini. Itu lantak dioranglah nak berdebat sesama sendiri.

Saya cuma nak membandingkan undang-undang ciptaan manusia dengan undang-undang Allah.

Saya ambil contoh entri undang-undang saya sebelum ini. Entri itu berkaitan dengan hukuman ke atas mereka yang didapati bersalah melakukan hubungan seks di luar perkahwinan. Undang-undang di Maldives menetapkan hukuman rotan. Artikel tersebut mempersoalkan hukuman rotan yang dikenakan ke atas mereka.

Kalau hukum Allah macamana?...

Kalau hukum manusia macamana? Sepanjang yang saya tahu, tak ada, kecuali mengikut undang-undang syarak Malaysia.

Kalau di Barat macamana? ... Dah jadi perkara biasa. Nilai moral Barat dengan nilai akhlak Islam jauh berbeza, jadi apa lagi nak dikata tentang undang-undang.

Kata saya...dunia akhir zaman, yang seronok di mata mereka yang nak diikut.

Friday, July 24, 2009

Undang-undang

Dari the STAR ms W48 24.07.09 (hardcopy -hi, hi, tak jumpa online version):

Abbas Faiz of Amnesty International said,"Flogging is cruel, inhuman and degrading punishment which is barred by international human rights law".

Farah Faizal, the Maldivian High Commisioner to London, said,"Flogging is part of penal code which are in the process of revising".

Dari nama makhluk-makhluk ni, mungkin orang Islam. Tetapi mempersoalkan undang-undang Allah. They are commiting adultery (zina) for God sake!!!

Hi, hi, kalau diorang tahu kes model yang minum Tiger beer, agaknya lagi kena bambu Malaysia dengan perkataan UNCIVILIZED!

Kata saya...dunia akhir zaman, orang Islm pun boleh hinakan undang-undang Allah dan agungkan undang-undang manusia.

Thursday, July 23, 2009

Lenggak Lenggak Naik

Sila baca cerita ini tentang keuntungan mereka.

Dan cuba baca pula tentang "kerugian" mereka.

Dan usaha kenaikan tarif mereka DITANGGUH mungkin ke tahun depan.

Yang terus-terusan dilaungkan SUBSIDI, SUBSIDI, SUBSIDI!

Janganlah, lepas lontar batu sorok tangan...

Kata saya...yang tak habis-habis terseksanya rakyat juga! Hi, hi, apa lagi yang ditangguh ke tahun depan.

Wednesday, July 22, 2009

Alasan Lagi

Semalam baca nst online (hi, hi, link dah jumpa semula) tentang kekurangan pelancung dari Timur Tengah. Alasan yang diberikan oleh satu travel agent adalah kurangnya promosi / iklan berkenaan Malaysia tahun ini.

Kata saya...semua nak harap kerajaan buat promosi, diorang buat apa?

Tuesday, July 21, 2009

Muzium Tentera Darat

Satu hari minggu dalam perjalanan balik dari KL ke Melaka, singgah di PD. Bawa budak-budak 4 orang ni ke Muzium Tentera Darat. Hi, hi, saya yang entah dah berapa kali berkursus dan berbengkel di PD pun sebenarnya belum pergi ke muzium yang percuma ini...layan ajelah gambarnya...










Kata saya...kalau bukan sebab anak-anak mungkin tak jejak lagi muzium ni. Lain kali, mungkin singgah pula muzium Kor Amor...

Friday, July 17, 2009

Janji

Antara janji PRU 12

Kubah Surau

Surau

Sekolah Agama



Kata saya...Alhamdulillah...

Thursday, July 16, 2009

Satu Hari Di Pantai Hiburan

Apa yg mereka cari?

Apa yang mereka buat?

Muka kesian, tak dapat mandi...

Cari anak ketam

& tapak sulaiman


Kata saya...diorang cuma sempat main pasir 30 minit aje...

Wednesday, July 15, 2009

80 X

Saya baca ini di NST online. Dan saya juga baca komen pembaca di bawahnya.

Dari mana datang nombor 80 X itu didapati, saya tak dapat nak mengiranya.

Dari mana datang nombor 85,000 itu didapati, saya juga tak dapat mengiranya.

Walaupun menghabiskan sekurang-kurangnya RM112 sebulan untuk tol, saya tak layak untuk diskaun itu.

Kata saya... Hampes!

Monday, July 13, 2009

Tertinggal

Dulu semasa masih muda (hi, hi) apabila saya terlupa atau tertinggal barang, saya selalu diperli:

"Muda-muda lagi dah jadi pelupa, esok dah kahwin maunya tertinggal bini, tertinggal anak"

Hi, hi, renungkanlah cerita-cerita pendek yang diceritakan kepada saya beberapa hari yang lepas.

Cerita 1

Sebuah keluarga telah datang untuk makan malam di Restoran Tomyam Klasik, di Ayer Keroh Melaka. Setelah makan mereka pulang lebih kurang pukul 11.15 malam dengan 3 buah kereta. Tanpa mereka sedari seorang anak perempuan berumur 3 tahun telah TERTINGGAL di restoran itu. Kanak-kanak itu menangis walaupun dipujuk. Kanak-kanak tersebut pulak tidak dapat memberitahu apa-apa. Tuan punya restoran akhirnya dapat meredakan tangisan kanak-kanak itu dengan memberi aiskrim. Sehingga restoran itu ditutup pada pukul 2.00 pagi masih tiada ibubapa kanak-kanak itu maka tuan punya restoran terpaksa membawa pulang kanak-kanak tersebut ke rumahnya.
Rupa-rupanya mak kanak-kanak tersebut dah pengsan kerana terkejut kehilangan anaknya. Tak tahulah pulak bila mereka sedar kehilangan budak tersebut. Mereka membuat laporan polis. Polis tanya kat mana mereka terakhir lihat budak tu, jawab mereka kat restoran tu. Yang peliknya kenapa mereka tak pergi restoran itu, padahal jangkawaktunya panjang, antara 11.15 hingga pukul 2. Nasib baik polis dapat contact tuan punya restoran. Happy ending!

Cerita 2

Sepasang suami isteri beserta anak dan ibu kepada si isteri berhenti untuk solat di R&R Seremban. Setelah solat si isteri bertembung dengan seorang lelaki lalu memohon untuk meminjam telefon bimbit lelaki itu. Katanya dia nak telefon suaminya. Menerusi telefon, siisteri marah-marah kepada suaminya. Suami telah TERTINGGAL isterinya di R&R Seremban. Semasa ditelefon dia dah sampai di NILAI!

Cerita 3

Sepasang suami isteri telah pergi ke Jusco Melaka untuk membeli belah. Semasa pulang mereka jalan beriringan ke tempat letak motosikal mereka. Sampai di motosikal mereka, sisuami meletakkan barang dalam raga motosikal, start enjin moto dan menunggangnya hingga sampai ke rumah. Setibanya di rumah barulah si suami perasan siisteri telah TERTINGGAL di kawasan letak motosikal!

Kata saya...hi, hi, ada orang lebih teruk dari saya!

Wednesday, July 08, 2009

Solat Jumaat

Wahai orang-orang beriman! Apabila diseru untuk solat Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah segala urusan jual-beli. Itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
Al-Jumu'ah 62:9

Itulah yang dibacakan oleh khatib di awal khutbah minggu lepas di masjid MITC. Khutbah sebenarnya bertajuk Makanan Halal. Kenapa dibacakan di awal khutbah? Sila renungi situasi ini...

Terdapat kawasan Rawat dan Rehat di perkarangan masjid MITC. Pada hari Jumaat biasanya ramai orang makan minum di gerai-gerai makan di situ. Yang tidak enak dilihat adalah semasa khatib telah pun membaca khutbah, masih ramai lagi mukmin yang sedang berlenggang-kangkung berenakkan makan minum dan berborak tanpa menghiraukan sesi solat Jumaat (khutbah dah bermula) telah bermula. Saya tak pasti samada mereka masih di gerai semasa solat dimulakan atau tidak.

Yang saya pasti hari Jumaat lepas, semasa saya keluar masjid dua jejaka muslim sedang enak makan di gerai. Makanan dan minuman dah habis separuh. Kalau dikira antara masa habis solat dan masa saya keluar masjid tak sampai 10 minit. Kita sangka baiklah. Mereka keluar lepas habis solat, bergegas ke gerai, order makanan dan minuman, tauke gerai buat secepat mungkin. mereka makan dengan lahapnya sehingga habis separuh makanan dan minuman. Lu fikirlah sendiri.

Kata saya...tak hormat langsung masjid!

Tuesday, July 07, 2009

Percuma

Saya terbaca ini di Utusan online...

Saya tanya...kenapa hanya di Manek Urai? Apa istimewanya Manek Urai?

Saya tanya...kenapa tidak seluruh Kelantan?

Saya tanya...kenapa bantuan khas tiba-tiba?

Saya kata...biasanya orang bagi uniform dan beg sekolah ni pada awal tahun, ni dah bulan Julai!

Saya kata...lebih baik bagi basikal kat diorang semua...hi, hi, tak perlu lagi naik bas.

Kata saya...ni strategi lama lah, Tok. Outdated!!!

Thursday, July 02, 2009

Yang Hilang

Ingat tak suatu masa, ada moto dan polisi...

Bersih, Cekap, Amanah
Pandang ke Timur
Cemerlang, Gemilang, Terbilang
Islam Hadhari

...apa hasilnya?

dan sekarang...

1Malaysia

kata saya...hi, hi, kita tunggu...sampai bila, ek?

Wednesday, July 01, 2009

Ke Mana Kita?

Semenjak PRU12 suasana politik di negara kita kini menjadi seolah-olah memuaskan hati sesetengah pihak. Semua tindakbalas yang dibuat hasil tindakan dan tekanan sesetengah pihak.

Mungkin baik untuk perancangan jangka pendek tetapi agak meragukan untuk masa depan.

Ambil contoh, apabila krisis ekonomi yang dihadapi pada akhir tahun 90an, penghantaran pelajar bumiputera ke luar negara telah dikurangkan secara drastik. Saya tak pasti samada pihak kerajaan ada membuat perangkaan tentang akibat dari musibah ini, selepas lebih 10 tahun.

Kini pelbagai polisi dibuat bagi meyakinkan orang ramai tentang "ketelusan" dan "keikhlasan" pihak kerajaan, samada persekutuan dan negeri. Tak kiralah samada polisi tu dari BN atau PR. Tak taulah samada polisi yang dibuat hanya untuk meraih undi di PRU13 nanti.

Apa pun kita hanya akan lihat hasilnya selepas 10 tahun nanti.

Kata saya...kalau umur panjang bolehlah saya komen tentang entri ini. Itu pun kalau blogging masih lagi wujud.

Tuesday, June 30, 2009

Masih Di Sini

Ya, hari ini hari terakhir Jun 2009. Dan saya masih di sini. Kalau diikutkan masih ada 4 hari lagi untuk tamat cuti saya. Masih tidak cukup dan saya masih perlu di sini. Tak tahulah apa kata putus pada 15 Julai ini. Semoga dilanjutkan...

Kata saya...kita hanya boleh merancang...

Monday, June 29, 2009

Empat Tahun La...



Semalam, 28 Jun 2009, genap umur Afiq Ridhwan 4 tahun. Tahun ini ayah dia malas nak buat barbeque ayam macam tahun lepas. Ayah dia cuma belikan frozen chicken drummet. Jadi mama dialah yang kena goreng. Mama dia juga goreng mi dan keropok.

Pukul 3 petang Afiq Ridhwan dan Arif Najmi pergi ke rumah kawan-kawan sebelah rumah untuk jemputan pukul 5 petang. Ada kawan dia yang tak dapat datang. Ada yang tidur dan ada yang ikut parents pergi jalan.

Abang-abang dia telah belikan hadiah untuk dia. Tapi...abang-abangnya pulak pakat main permainan yang dibelikan untuk hadiah harilahir dia, hi, hi.

kata saya...semoga Afiq Ridhwan menjadi anak yang soleh. Belajar rajin-rajin sebab Afiq Ridhwan banyak cita-citanya. Afiq Ridhwan bercita-cita nak jadi Doktor, Askar dan Angkasawan. 3 dalam 1, hi, hi.

Wednesday, June 24, 2009

Beg Plastik Sampah

Semalam kawan saya, Hassan, komen fasal kempen beg plastik di muka depan the STAR 23.06.09. Katanya, cuba lihat ayat di bawah:

"Say NO to Plastic Bags Campaign"

"Say NO to Plastic Bags" Campaign

Apa pun bukan itu yang saya nak ceritakan. Saya nak cerita asal usul kempen beg plastik ni.

Kalau dibuka semula arkib TV dan radio pada (kalau tak silap) tahun 70an, saya rasa kita akan terjumpa masalah yang kita hadapi sekarang. Kita, rakyat Malaysia, telah digalakkan supaya menggunakan beg plastik untuk mengisi sampah kita. Kita telah ditunjukkan bagaimana penggunaan karung kertas tidak praktikal dan mesra alam.

Yelah kan, karung kertas bila basah, akan bocor. Kita juga diingatkan berapa banyak pokok kena tebang untuk buat karung kertas itu. Cuba bayangkan iklan itu bila si mamat tu nak buang sampah guna karung, karung kertasnya bocor dan sampah jatuh bertaburan.

Saya masih ingat di US barang diletak dalam karung kertas yang dibuat dari kertas kitar semula. Di Poland botol plastik minuman dibuat dari plastik keras bagi tujuan kitar semula. Botol ini memerlukan deposit macam botol kaca minuman berkarbonat suatu masa dulu.

Jadi apa salahnya kita kembali ke pangkal jalan...

Kalau tak silap Petronas telah menggunakan teknologi plastik mesra alam. Plastik beg mereka akan hancur dengan sendirinya setelah beberapa ketika. Kenapa tak guna teknologi ini?

Kata saya...kenapa air minuman perlu guna botol plastik? Itu sebab botol air minuman bersepah merata-rata. Kenapa tidak diharamkan penggunaan botol plastik dan bekas polystyrene?

Tuesday, June 23, 2009

Duit Syiling

Saya ke kaunter untuk membayar barangan yang diambil.

"Semuanya Rm12.30. Ada 30 sen?"

Itulah yang selalu disebut oleh cashier, khasnya kalau di kedai melayu. Kalau di kedai cina, jarang persoalan itu ditanya. Apa pekedai melayu simpan semua hasil jualan setiap hari beserta duit syiling ke bank?

Dulu masa saya kecil, pekedai cina gantung duit syiling mereka dalam tin besar. Nak duit syiling diorang tarik ke bawah tin itu. Saya pelik kenapa pekedai melayu tidak simpan duit syiling dan wang kecil secukupnya, khasnya di awal pagi pembukaan kedai.

Kata saya...biasanya saya akan jawab, "tiada".

Friday, June 19, 2009

Sawah Padi

Ini adalah salah satu sawah padi yang ada banyak di Kedah. Samada ia terus begitu, bergantung kepada keadaan dan arus kemajuan manusia.

Saya telah lihat banyak sawah padi yang masih subur telah dikorbankan atas nama pembangunan. Antaranya, sawah padi dah jadi kompleks sukan, mahkamah, padang rekreasi jubli, kompleks aquatik dan hi, hi, muzium padi.

Itu belum kira bahagian sawah yang telah dibuat rumah persendirian atau yang telah ditukar status menjadi taman perumahan. Tanah sawah!

Yang saya pelik kenapa kerajaan mengambil tanah yang subur ini untuk tidak disuburkan. Kalau nak dikira banyak lagi kawasan yang tidak subur yang boleh dibangunkan untuk tujuan ini. Nasib baiklah sebahagian tanah yang telah diambil kerajaan masih belum lagi ada apa-apa progres. Jadi rakyat yang berprihatin atas kekurangan beras tempatan masih lagi bersawah di kawasan itu. Walaupun ada papan tanda "Tanah Kerajaan. Penceroboh Akan Didakwa". Hik, hik.

Kata saya...kena tanya pentadbiran yang lama kenapa mereka buat begitu...

Thursday, June 18, 2009

Itu La...

Pagi semalam saya memberanikan diri menegur seorang gadis supaya menukarkan tanda yang dibuat dari manila card yang diletak di kaca pintu kedai. Apabila saya selesai menerangkan kesalahan tanda tersebut, dia cuma menyampuk:

"Itu la..."

Kemudian kembali membaca majalah remajanya.

Huh, dah tau salah tak mau ambil inisiatif membetulkannya dengan serta-merta.

"Welcome to shop 2nd hand book". Apara...

---------------------------------------------------

Petangnya saya lalui kedai itu sekali lgi. Tanda telah berubah.

"Welcome to 2nd hand book shop". Hi, hi.

Kata saya...sedih......mengenangkan saya cuma dapat Bahasa Inggeris C6 semasa SRP. Apa gred diorang dapat masa PMR dan SPM agaknya?

Wednesday, June 17, 2009

Alor Setar @ Star

Semasa dalam perjalanan ke Alor Setar @ Star tempoh hari, saya lihat papan tanda jalan di lebuhraya telah mengubah nama Alor Setar menjadi Alor Star. Boleh main tukar-tukar macam itu aje ke?

Yang peliknya bila saya tengok papan tanda kat sekitar Alor Setar ke Kangar, Alor Setar masih Alor Setar.

Cuba kita lihat antara nama pekan atau bandar di Malaysia ni

Kota Bharu
Johor Bahru
Tanjung Bungah
Banda Kaaba
Banda Hilir

Tu belum kira nak eja Ulu Kelang atau Hulu Kelang atau Ulu Klang atau Hulu Klang. Hi, hi, juga belum lagi kira slanga yang digunakan untuk menyebut perkataan kedua tu.

Kata saya...kalau yang dulu tu tersalah eja, perbetulkanlah tanpa perlu nak mengingat nostalgianya, yang dah betul tu kenapa pulak nak disalahkan pulak.

Tuesday, June 16, 2009

Popia

Dalam perjalanan balik ke Alor Setar @ Star, saya singgah di Ipoh untuk cari makanan di atas. Dulu masa sekolah kalau ke pekan Ipoh saya akan singgah di gerai ini untuk makan popia. Memang sedap dimakan bersama ABC.

Kali terakhir saya makan, kalau tak silap, tahun 2005/2006 bersama Dekan dan Timbalan Dekan saya semasa kami ke utara. Popianya masih lagi sedap.

Malangnya kualiti yang dihidangkan petang itu tidak sampai ke tahap yang sama dari sebelum ini. Saya nampak tukang buatnya dah orang lain.

Macam di pasar malam seksyen 16 Bangi. Ada yang guna nama sama dengan popia yang saya biasa makan di Ipoh. Kali pertama cuba, bolehlah tahan rasanya. Ada sikit-sikit rasa macam kt Ipoh.

Hampir 3 tahun saya di sini, tukang buatnya dah bertukar berkali-kali. Pertama, makcik yang macam mamak sikit, lepas tu makcik melayu, kemudian bangla lelaki, ditukar ke mak indon dan last sekali saya tengok makcik melayu yang lain pulak.

Kata saya... petang ni ada pasar malam, nak tengok siapa pulak tukang buatnya.

Monday, June 01, 2009

Alahai, Puteri...

Petang Jumaat lepas saya menghantar anak ke Sekolah Agama JAIM TTC untuk khemah ibadat. Program ini dianjurkan oleh satu sayap parti politik. Biasalah, masa pendaftaran tu, cik adik cik adik ni pakai baju pink mereka.

Semasa saya masuk ke perkarangan sekolah, terpampang di papan tanda pintu masuk ditulis, "Zon Menutup Aurat". Ye lah itu sekolah agama dan bersebelahan dengan sebuah surau.

Malangnya semasa pendaftaran saya lihat pihak penganjur memakai baju T pink, mendedahkan lengan mereka. Nasib baik mereka semua bertudung.

Kata saya...seperti Zon Larangan Merokok, elok aje orang merokok tepi bangunan.

Wednesday, May 27, 2009

Apara...

Kes 1

Saya rasa En. Hassan akan seronok dengar cerita ini. Ingat tak satu entri saya tidak lama dulu bertajuk "Central Database Vs Islands of Automation". Entri ini adalah contoh terbaiknya.



Akhir semester 2 dulu saya telah pergi untuk membayar yuran asrama di kaunter bayaran Bendahari. Saya dikejutkan apabila saya terpaksa membayar sebanyak RM1441.00. Dalam kiraan saya sepatutnya tak sampai RM1000.00.



Saya tanya boleh buat perincian ke bil tersebut. Pegawai yang bertugas kata kena pergi kat Unit Perumahan Pelajar. Pegawai ini tak boleh nak access maklumat tersebut! Memandangkan jam dah dekat waktu rehat tengahari, saya balik ke asrama, TIDUR!

Saya seterusnya berjumpa dengan pegawai asrama. Malangnya dia hanya boleh berikan kepada maklumat bayaran yang saya kena bayar untuk semester 2. Bayarannya cuma RM792.00.

Jadi macamana satu komputer beri jumlah RM1441.00, satu lagi RM792.00. Yang sahnya pada semester 1 juga saya telah bayar lebih, RM1120 dengan RM954.

Apa dah jadi ye, En. Hassan. Komputer yang mana satu yang betul?

------------------------------------------

Kes 2

Pagi 2 minggu lepas saya dimaklumkan tangki bilik air asrama kami akan ditukar. Saya dan 2 rakan seasrama perlu menumpang bilik air asrama yang lain.

Tengahari saya balik, pekerja sedang membuka tangki air. Petang saya balik tengok tangki dah berada di beranda asrama. Malam itu saya dan rakan terpaksa menumpang gunakan bilik air pelajar lain. Kami dimaklumkan kerja pembaikan memakan masa 2 minggu!

Hari khamis petang sebelum ke KL sehingga hujung minggu, saya jenguk ke asrama. Tangki air masih di luar, tidak terusik. Nasib baik dapat tidur di hotel dari petang khamis hingga ke hari ahad.

Saya maklumkan pada penyelia, saya akan berada di Melaka sepanjang minggu lepas. Kalau berada di asrama saya memang tak sanggup gunakan bilik air pelajar itu...

Balik hari Isnin, saya sampai di asrama pukul 10.00 pagi. Pekerja masih membaiki tangki. Petangnya balik, saya lihat tangki air dah boleh digunakan. Saya dapati mangkuk makan saya berada di bilik air. Jag air dan pengumpul sampah saya dah hilang!!!

Saya bertanya kepada rakan lain, tangki air mereka perlu ditukar atau tidak. Mereka jawab TIDAK. Apa yang saya musykilkan, tangki air saya TIDAK bocor. Jadi kenapa perlu di perbaiki???

Kalau perlu diperbaikinya pun tak sampai 2 minggu! Abang saya pun pernah tolong saya baiki tangki air rumah saya. 2 hari saja yang dia perlukan!!!

Kata saya...APARA...

Tuesday, May 26, 2009

Chin Peng

Chin Peng nak balik Malaysia. Apasal?

Kerajaan Malaysia tak bagi. Siap suruh kemukakan sijil kerakyatan. Hi, hi, we are taking about more than 6 decades of paper. Tak termasuk pindah randah dalam hutan.

Masa banjir tahun 2001 di Kuantan, banyak barangan saya, khasnya buku-buku rosak. Ini kan pulak bila dah kena larikan diri entah beratus kali. Tak kira kena hujan panas lagi. Hanya alasan...

Dengar cerita ada kalangan parti Gerakan yang bersuara supaya membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia. Apa gerangan di belakang suara tersebut?

Pada saya, beliau adalah sama dengan Radovan Karadzic. Beliau bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan oleh PKM sama seperti Karadzic bertanggungjawab ke atas apa yang terjadi semasa perang Bosnia.

Cuma di sini dikatakan Chin Peng berhak kembali ke Malaysia atas nama 1989 Haadyai Peace Agreement. Agaknya itu sebab kerajaan beria-ia nak sijil kerakyatan tu.

Kalau beliau dibenarkan kembali sekalipun, adakah rakyat boleh mendakwa beliau sepertimana Karadzic didakwa? Adakah 1989HPA telah "membersih" beliau dari didakwa di bawah kekejaman perang?

Lebih eloklah beliau bermastautin terus di Thailand. Ramai benar anak-anak, cucu-cicit, yang masih marah ke atas kematian datuk, nenek, ayah, ibu, suami, isteri diorang.

Kata saya...kenapa kita tak marah Jepun macam kita marah komunis, ek?

Monday, May 25, 2009

Ron 92, Ron 95, Ron 97 (Edited Version)

Hi, hi, rupanya saya mendapat mendapat maklumat yang salah. Sila abaikan ayat diwarna biru dalam entri di bawah. Sila baca maklumat dalam laman sawang yang disarankan oleh En. Hassan. Terima kasih!

-----------------------------------------------
September nanti dengar cerita Ron 97 nak naik 20 sen. Kononnya kerana kerajaan nak menjadikan Ron 97 minyak premium. Penggunaan Ron 92 pula akan ditamatkan. Baru-baru ini kerajaan mula menjual Ron 95 untuk menggantikan Ron 92.

Dengar cerita Ron 92 dimansuhkan kerana tidak ramai yang menggunakannya. Apara...

Kalau dibuat bancian kereta sekarang, kebanyakannya terpaksa menggunakan minyak "Unleaded". Itulah yang kita gunakan sekarang, Ron 97. Kereta-kereta lama sahaja yang gunakan minyak "Leaded", Ron 92.

Dengar cerita juga harga Ron 95 adalah lebih tinggi dari Ron 92 tapi lebih rendah dari Ron 97 yang akan dinaikkan harga. Betul ke? Yang saya benar-benar tak dapat pastikan samada Ron 95 ni 'Unleaded" atau "Leaded". Ada orang tahu?

Kalau Ron 95 itu juga minyak "Leaded", bermakna kebanyakan rakyat masih TIDAK boleh menggunakannya. Sama macam Ron 92. Tak percaya, cuba lihat manual kereta masing-masing! Kalau "Unleaded", bermakna kita diberi pilihan, dengan kenaikan harga.

Yang saya tak puas hati, kenapa mesti dinaikkan harga Ron 97?

Kata saya...ke mana subsidi minyak yang saya berikan pada kerajaan dalam beberapa bulan ini? Senyap aje dari bekas menteri dan menteri terkini, tiada perubahan harga dah lama ni.

Friday, May 22, 2009

Satu Lagi?

Baru-baru ini sebuah lagi parti politik berunsur kaum ditubuhkan. Buat masa ini, parti ini akan menjadi parti bebas.

Saya rasa eloklah diorang maintain jadi parti Bebas bagi melihat sejauh mana populariti mereka.

Dalam BN dah ada dua parti kaum tersebut. Hasilnya, kena tanya saya punya favourite ex-minister. Saya fikir tak perlu lagi satu parti kaum tersebut dalam BN.

Melayu cuma ada satu aja parti dalam BN. Parti di Sabah dan Sarawak lainlah. Gerakan walaupun ditubuhkan untuk semua kaum, majoriti yang pegang jawatan penting, kaum Cina. Jadi untuk wakil kaum cina, ada dua, MCA dan Gerakan. MIC dan PPP dah wakil kaum India. Apahal nak tambah satu lagi.

Kata saya...yang penting sikap ingin berkhidmat untuk rakyat. Cuba contohi Tan Sri Lee Lam Thye.

Thursday, May 21, 2009

Alasan

Alasan yang diberikan macam alasan budak sekolah. Dia tak pergi atas nasihat peguamnya, oklah jawapan tu. Tapi bila dikatakan kenapa tak panggil persatuan-persatuan lain, sambil bagi contoh, jawapannya bukan jawapan seorang terpelajar.

Jawabnya senang saja YB, persatuan lain tak terima wang dari syarikat kerajaan negeri berjumlah beratus ribu (atau juta?).

Sedih tengok politikus yang asyik nak berbalah sesama sendiri. Tak ada acara lain ke? Inilah keputusannya, bila masing-masing nak tunjuk terror, nak tunjuk kuasa masing-masing. Yang merana, rakyat juga. Hampes.

Kata saya...yang sudah tu sudahlah le. Buka buku baru.

Wednesday, May 20, 2009

Puding

Bagi memenuhi permintaan ibu baru dan mem, saya letakkan di sini resipi Puding Raja (A modified version). Sila refer kepada gambar-gambar dalam entri birthdays tahun lepas.

Bahan-bahan:
1 tin (besar) fruit cocktail
200 gram gajus mentah (gambar 2)
300 gram pitted prune (gambar 3)
20 biji pisang lemak manis atau pisang emas atau 10 biji montel (gambar 4)
200 gram halwa kundur (bahan asal: jala mas) (gambar 5)
1 tin susu isian sejat (evaporated milk, BUKAN susu pekat manis atau krimer, ek)(gambar 6)

Cara:
1. Goreng gajus sehingga masak tanpa minyak (gambar 7)
2. Panaskan minyak dan goreng pisang sehingga masak kekuningan coklat (gambar 8-9)
3. Apabila sudah masak, masukkan dalam bekas (gambar 10)
4. Masukkan gajus goreng, pitted prune, halwa kundur dan fruit cocktail (gambar 11)
5. Masukkan susu dan gaul bahan-bahan perlahan-lahan (gambar 12)
6. Sejukkan bahan-bahan campuran, jika panas, sebelum masukkan dalam peti ais
7. Simpan dalam peti ais sekurang-kurang 6 jam
8. Seeloknya bila kuahnya menjadi agak pekat dan pisang dah berisi semula. Sedap dimakan sebaik keluar peti ais. (gambar 13)

Kata saya...ok, dah habis hutang, ek. Mem, kalau nak resipi bbq ayam saya tu, sila refer entri ini.

Friday, May 15, 2009

Nikmat Yang DiKurangkan & DiTambahkan

Sejak akhir-akhirnya ini saya telah dikurangkan nikmat tidur malam. Pertama, kerana kepanasan, tau aje lah sekarang musim panas. Kedua, sebab bangun untuk buang air.

Pada mulanya bila bangun pagi, kepala pun rasa semacam aje sebab tak cukup tidur. Nak buat kerja pun rasa semacam aje. Tuhan sudah hilangkan satu nikmat dunia.

Bagaimanapun Tuhan juga tambahkan lagi satu nikmat lagi. Senang untuk bangun malam. Sekarang daripada sekejap tertidur sekejap terjaga, saya terus bangun dan manafaatkan masalah ini.

Apa saya buat?

Hi, hi, macam-macam. Bila dah terjaga, dengan masa yang ada, dapatlah dikerjakan kerja yang tertangguh, dilakukan ibadah yang sudah jarang dilakukan.

Kata saya...1-1=0, saya bersyukur kepadaNya.

Thursday, May 14, 2009

Tin Susu Pekat Manis

Suatu masa dahulu zaman masa saya kanak-kanak (hi, hi, zaman sewaktu dengan dinosaur), pelbagai cara syarikat pengeluar susu pekat manis untuk melariskan jualannya. Antaranya adalah meletakkan pelbagai gambar di belakang label yang dilekatkan pada tin susu tersebut.

Kalau tak silap salah satu gambar yang dibuat adalah gambar burung-burung di Malaysia. Album untuk melekatkan gambar-gambar burung ini juga dijual kepada orang ramai. Saya tak pasti saya berjaya memenuhkan album itu atau tidak. Yang saya ingat saya sangat teruja bila emak saya membeli susu pekat manis ini. Saya ternanti-nanti apakah gambar yang ada di belakang label itu gambar burung yang masih tiada dalam simpanan saya.

Hi, hi, sekarang promosi seperti itu tiada lagi dijalankan. Tak tahulah kenapa. Takkan orang dah tak minum susu pekat lagi. Masih ramai yang minum teh tarik dan milo. Mana boleh buat minuman tersebut tanpa susu pekat manis. Kenapa, ek?

Kata saya...teringat suatu masa dulu ada pertandingan yang memerlukan saya menyimpan pembalut plastik mee maggi. Sampai sekarang masih ada tabiat nak menyimpan plastik pembalut itu...

Wednesday, May 13, 2009

Radio Ga Ga

Dengar radio tak kebelakangan ini. Saya dah kurang dengar radio masa memandu. Dah kurang minat.

Kenapa? Ada radio yang kata radio orang lain yang banyak bercakap, tapi dia yang banyak membebel. Lagu yang diperdengarkan banyak lagu seberang yang bukan selera saya.

Saya rindukan radio zaman saya kanak-kanak. Macam-macam ada. Dari berita, muzik, informasi hinggalah ke drama. Sekarang entah apa-apa.

Kata saya...ingat drama Fajar di Bumi Permata?

Tuesday, May 12, 2009

Gambar Apa, Ek?

Hi, hi, gambar apa ni yek.











Kata saya...tengok aje lah. Hih, penat saya mengambil gambarnya, banyak yang tak sempurna. Jangan fikir yang bukan-bukan, ek.

Thursday, May 07, 2009

Hang Jury

Tak taulah apa nak jadi dengan negeri Perak. Macam kes Bush dengan Al Gore. Dah ada filem tentang pilihanraya presiden US tu lagi.

Tapi kalau kes perak ni terjadi di US, dah tentu jadi modal jenaka pelawak-pelawak mereka. Pelawak kita ada berani buat lawak macam tu. Hi, hi, mungkin cuma berani buat lawak peluk anak dara orang atau minta tanah dengan sultan aje agaknya.

Apa yang pasti, dah berbulan percanggahan politik ini, belum ada kepastian. Hari ini dok bergaduh pasal speaker, dok bergaduh fasal kerusi menteri besar. Siapa yang rugi? Tak taulah... mungkin rakyat, khasnya rakyat Perak. Tapi saya rasa saya tahu siapa yang akan untung besar...

Bagaimana kalau kes saman menyaman antara mereka berlanjutan hingga bertahun lamanya. Jadi siapa yang sebenarnya berkuasa? Kalau yang mengaku MB sekarang buat keputusan dalam sesuatu hal berkaitan negeri, tiba-tiba keputusan mahkamah tidak berpihak kepadanya, adakah dia akan bertanggungjawab ke atas segalanya? Peguam di luar sana tolong jawab...

Contoh paling senang, MB sekarang nak lelong Camry. Dia ada hak ke buat masa ini, bila kerusi MB masih di mahkamah? Katalah dia dapat lelong kereta-kereta tersebut. Esok mahkamah kata dia bukan MB, dia kena bayar balik ke harga kereta tu. Hi, hi, ini kes senang, cuba kalau kes projek juta-juta. Apa cerita?

Lebih baik kuasa diserahkan kembali untuk rakyat menentukannya. Kenapa takut sangat nak buat pilihanraya? Tak kalah, menang. Tak menang, kalah. Peluang 50% aje. Macam hidup dan mati. Tak adenya 80%, 90%, 100%. Tak hidup, mati.

Kata saya...tak taulah pulak ada yang nak jadi zombie.

Wednesday, May 06, 2009

Mat Rempit & Peragut

Kes 1:
Mat rempit pakat tibai pemuda tidur di bangku taman dengan helmet ramai-ramai.
Keputusan:
Mamat tu yang baru nak report kerja kat kilang, meninggal.

Kes 2:
Kabarnya peragut tarik beg wanita hamil 2 bulan.
Keputusan:
Wanita itu koma, kemudian meninggal.

Dah bertahun kes mat rempit dan peragut di dada akhbar, sampai sekarang masih belum dapat penyelesaiannya. Saya tak mahu menuduh siapa, kecuali mat rempit dan peragut tu saja. sudah tiba masanya supaya hukuman ke atas mereka ini lebih berat diperlukan.

Untuk Mat Rempit:
Polis perlu diberi kuasa untuk melepaskan tembakan amaran. Kalau tak berhenti, tembak aje.

Untuk Peragut:
Hukuman mandatori gantung sampai jika sabit kesalahan bagi kes kematian.

Hi, hi, mohon maaf jika saranan saya ini sedikit emosional, tapi apa yang dah dibuat oleh pihak berkenaan sedikit pun tak berkesan sehingga kini. Kalau tak setuju, apa saranan anda?

Kata saya...apasal kat Singapura tiada kes macam ni. Cuba PDRM gi melawat sambil belajar ke sana. Manalah tahu ada penyelesaian...

Tuesday, May 05, 2009

Bodek Jangan Tak Bodek

Itu hari saya tertengok satu iklan di surat khabar arus perdana. Satu iklan terima kasih kepada satu pasangan. Besar. Satu mukasurat.

Yang saya nak tergelaknya gambar yang diletakkan dalam iklan. Agaknya, gambar yang telah diedit, mungkin menggunakan photoshop. Sama seperti keadaan gambar mak saya yang telah saya edit setahun lepas.

Kata saya...kalau nak bodek tu buatlah cara elok sikit. Tak pun guna gambar masa muda-muda, macam diorg guna gambar TMM masih berjambang panjang satu ketika dulu.

Thursday, April 30, 2009

Telaga

Ada sebuah telaga lebih kurang 4 kaki di belakang dapur rumah di kampung. Airnya cukup sejuk di waktu pagi. Masa sekolah rendah dulu, masa mandi waktu pagi, kalau tak mengigil tak sah. Tapi kalau musim-musim panas macam sekarang terasalah nikmatnya mandi di perigi ini.

Sekarang perigi tu dah lama tak digunakan, sementelah air paip sudah ada. Ianya ditutup supaya tidak dimasuki daun pokok jambu batu. Dulu semasa ianya digunakan, saban hari terpaksa membuang daun-daun yang masuk ke dalam perigi. Kalau tidak airnya akan berbau.

Perigi ini airnya tidak jernih kerana tanah dasarnya berwarna kuning. Jadi kami tidak gunakannya sebagai punca air minuman. Kami tadah air hujan untuk minuman. Air tadahan minuman ini mencukupi untuk kami sekeluarga kecuali untuk 2 ketika iaitu pada musim kemarau yang teruk. Jadi kami terpaksa ambil air minuman dari telaga rumah jiran.

Anak-anak pun tak biasa mandi di telaga ini. Itu sebab mereka kekok nak mengambil air menggunakan timba di telaga tanah perkuburan. Terkial-kial nak penuhkan timba. Puas menunggu mereka penuhkan cerek.

Kata saya...pernah dengar pepatah "Perigi cari timba". Berapa ramai tahu apa itu telaga, apa itu timba. Berapa ramai pula tahu teknik memasukkan air ke dalam timba. Hi, Hi, jangan jadi macam anak saya...

Friday, April 24, 2009

Ulang Tahun

Hari ini tahun lepas...

+ Saya berpuasa.
- Hari ini tidak, hi, hi. Puasa semalam, puasa khamis.

+ Saya kena dera pakai baju batik. Kebetulan, hari khamis.
- Hari ini pakai t-shirt dan jean.

+ Saya bawa maklumat cuma satu beg, kerana dipanggil temuduga/temubual/..., ke bilik mesyuarat Canseleri.
- Hari ini lepak kat rumah.

+ Saya dimaklumkan saya dinaikkan pangkat mulai hari ini pada 13.06.08.
- Jadi hari ini ulangtahun kenaikan pangkat.

+ Saya sambut ulangtahun kelahiran saya hari ini.
- Hari ini saya sambut sekali lagi, cuma lilin kecik tambah satu lagi. Hi, hi, lilin besar masih lagi empat.

Kata saya...semoga tahun ini akan lebih diberkati Allah dari tahun sebelumnya. Semoga dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan dan dipanjangkan umur untuk terus beribadah kepadaNya.

Thursday, April 23, 2009

Tak Faham

Sila baca di sini.

Dikatakan Mesyuarat Jemaah Menteri telah membuat keputusan.
Siapa Jemaah Menteri: menteri beragama Islam, Buddha, hindu, Kristian dan lain-lain.
Buat keputusan: Penceraian tidak akan berlaku secara automatik walaupun salah seorang telah memeluk agama Islam.

Setahu saya: Kalau dah sorang memeluk Islam, sorang tidak, perceraian tetap berlaku. Tak taulah ada hukum baru. Atau saya dapat maklumat yang salah.

Kata saya...undang-undang dunia, kejap je boleh ubah.

Tuesday, April 21, 2009

Minyak

Dah lama tak dengar cerita fasal minyak. Orang ramai agaknya dah dapat menerima harga yang ditetapkan sekarang.

Harga minyak mentah sekarang US$48.20.

Harga minyak di pam tak turun tak naik. Dulu cakap nak umum harga sebulan sekali. tak ada pengumuman pun. Agaknya diorang dah tetapkan harga lantai, dah tak boleh turun lagi.

Juga tidak lagi kedengaran pengumuman kereta menggunakan bahan alternatif. Itu hari masa sibuk orang protes harga minyak naik bukan main lagi promosi dibuat bagi penggunaan bahan-bahan ini. Sekarang apa jadi?

Kata saya...betul ke sekarang ni orang ramai yang memberi subsidi kepada kerajaan dengan harga minyak sekarang? Kalau betul...@$#@$*&%^*)(!!!

Monday, April 20, 2009

Hanyut Ke mana?

Seorang artis yang baru dinobatkan sebagai artis paling popular telah menunjukkan tabiat sebenarnya. Dah le baru jadi artis setahun jagung dah nak memperlihatkan belangnya.

Sanggup dia berkata perbuatannya itu tidak akan menjejaskan ekonomi negara.

Eloklah sangat perangai engkau tu. Apa kata kalau orang pakat boikot engkau kerana perangai engkau yang senonoh sangat tu, baru tau samada ia akan menjejaskan ekonomi engkau atau tidak.

Perangai engkau tu disokong ke tidak oleh ibu bapa engkau dan "bakal" ibu dan bapa mertua engkau tu? Samada engkau rasa perlakuan engkau baik dari segi akhlak dalam Agama Islam, janganlah juga nak buat lawak fasal ekonomi negara.

Kata saya...lu fikirlah sendiri...

Friday, April 17, 2009

Masihkah Kau Ingat?

I
suatu masa dulu ... harga gula dan tepung cuma 25sen sekati. Masa tu masa pilihanraya gambar kapal layar jadi pilihan. Apa ke nama ... perikatan? Sekarang dah dacing.

II
suatu masa dulu ... masa banjir selalu dapat minum susu panas di sekolah. Masalahnya perut saya tak boleh terima susu. Sekarang disediakan susu sejuk untuk kanak-kanak miskin. Tapi ada pulak yang keracunan.

III
suatu masa dulu ... ada pertandingan membaca ikrar rukun negara untuk pelajar sekolah rendah. Entah macamana saya terpilih wakil sekolah ke pertandingan itu. Hi, hi, johan peringkat daerah dan naib johan peringkat negeri. Kalah kepada wakil Pahang yang jadi johan peringkat kebangsaan. Sekarang dah ramai yang tak tahu rukun negara.

IV
suatu masa dulu ... begitu senang nak buat demonstrasi. Sekolah saya pun ada buat demonstrasi semasa saya Form 1. Adalah beberapa hari tak sekolah. Hi, hi, seronok jugak. Sekarang ni nak buat perhimpunan awam pun kena permit. Nak buat demonstrasi, cari nahas le. Nasib baik tak kena macam Thailand, ek?

V
suatu masa dulu ... bersusah-susah di US dan bersusah-susah di UK. Bila le pulak nak bersenang-senang di sana yek. Sekarang bersusah-susah lagi di Bangi. Bila le pulak nak bersenang-senang aje yek.

Kata saya... apa kata korang tanya diri sendiri, apa yang korang ingat...

Wednesday, April 15, 2009

Tak Habis Lagi?

Ingatkan dah settle itu hari. Rupa-rupa masih lagi ada yang berangan-angan. Baru lepas persidangan masih nak berebut kuasa lagi. Rupa-rupanya tunggu PM baru naik.

Kata saya...siapalah yang TERSILAP PANGKAH jadikan makhluk-makhluk ni jadi YB?!

Tuesday, April 14, 2009

Itu Hari...Agak-agak

I
Itu hari saya ke KLCC. Berlegar-legar di concourse. Tengok sekumpulan warga asing. Sebahagian ke KFC dan sebahagian lagi ke Burger King. Tau aje le kan di Burger King, air boleh refill. Yang di Burger King sedang enak makan. Tiba-tiba kumpulan mereka dari KFC masuk ke Burger King siap dengan membawa tray makanan masing-masing.
Agak-agak kalau orang Malaysia buat begitu, kena halau dari Burger King ke tidak?

II
Itu hari saya dan keluarga pergi ke Mydin Mall. Katanya kedai Mydin paling besar di Malaysia. Mydin sedang buat promosi besar-besaran. Salah satu barangan yang menjadi rebutan adalah ayam. Bayangkan sekilo RM0.99. Ada warga asing di depan saya beli ayam 3 ekor (walaupun di-limit-kan seorang pelanggan 2 ekor). Harganya RM1.84, RM1.80, RM1.78. Kurang dari RM6.00. Bukankah suatu masa dulu harganya lebih dari RM6.00 sekilo?
Agak-agak sempat tak saya buat barbeque sempena ulangtahun kenaikan pangkat saya dengan harga ayam murah ni?

III
Itu hari saya pergi ke kafeteria Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina. Barisan punyalah panjang hingga sampai ke pintu masuk. Saya pegang 2 bekas nasi. Nak sampai ke tempat ayam goreng punyalah jauh lagi. Tiba-tiba datang 2 orang pelajar dengan KURANG AJAR bersama pinggan rojak mereka meluru ke depan sampai ke tempat memesan air. Kebetulan pula mereka dah sampai ke depan saya.
Agak-agak apa saya buat? ...
.
.
.
.
.
.
...tanpa menghiraukan mereka yang sedang menunggu air mereka, saya memesan,"Bang, bandung 1, sirap limau 1, bungkus". Kemudian dengan LEBIH kurang ajar saya terus tempat bayaran tanpa menunggu air pesanan saya disiapkan.

Kata saya...dah besar-besar macam tu pun tak reti nak berbudi bahasa. Kalau buat begitu di luar negara mau kena herdik habis-habisan.

Monday, April 13, 2009

Bila Dah Kalah

Sebelum pilihanraya semua kata mereka boleh menang. Tapi bila dah kalah...

+++ ada yang kata peti undi dibuang ke laut.
--- biarlah peti tu kat laut. boleh jadi tukun. esok-esok ada ikan kena tangkap, orang belah perut dia nampak ada kertas undi.

+++ mula diorang kata nak undi calon dia, tapi bila tengok keputusan calon dia kalah lagi. dia kata bukan salah calon dia.
--- yalah bukan salah calon dia. salah dia. dah berpuluh tahun duduk kat atas apa dia buat? masih lagi gila kuasa. tapi orang parti dia tak seberani parti yang satu lagi. kesian kaum dia.

+++ 2 parti ni seolah-olah menyalahkan keputusan konsortium meletakkan calon. kedua-dua dah melobi untuk meletakkan calon mereka di 2 bukit ini.
--- agaknya kalau calon mereka diletakkan di situ pada masa ini mungkin kalah lebih teruk lagi, kalau berdasarkan sentimen sekarang. apa bukti mereka boleh menang di situ.

kata saya...ada pulak yang merajuk tak dapat jadi menteri nak tarik calon dia dari kabinet. tak sedar ke shelf life dah expired. kalau makan nanti keracunan.

Tuesday, April 07, 2009

Central Database vs Islands of Automation

Bila dah ada pilihanraya mesti ada pengundi hantu. Kenapa jadi begitu? Yang dah mati pun nama masih ada dalam senarai.

Kalau benar dakwaan tersebut ada yang tak kena dengan proses pendaftaran, pengumpulan dan pemansuhan data oleh suruhanjaya pilihanraya.

Hi, hi, samalah jugak dengan proses saman polis diraja malaysia. Masih lagi perlu diperbaiki.

Berapa banyak pengkalan data agaknya di Malaysia ni? Mungkin satu jabatan ada satu.

Kenapa tak digabungkan? Bina satu pengkalan data sentral untuk digunapakai bersama. Hi, hi, komuter dan lrt pun ada KL Sentral. Walaupun pada hemat saya adalah lebih baik lrt menggunakan satu sistem yang sama dengan komuter.

Kata saya...hi, hi, dulu sikit punya kecoh tentang MSC, Cyberjaya, intelligent itu intelligent ini, sampai sekarang integrasi pengkalan data tidak pernah ada ura-ura untuk dijalankan. Islands of automation is a thing of the past. Macam bincang tentang sliderule dengan calculator!

Sunday, April 05, 2009

Keterangan

Sebagai keterangan kenapa ada satu entri bertajuk "Jawapan Saya" Mac lalu kepada yang tertanya-tanya tapi malu nak komen. Sebenarnya entri saya bertajuk "Jersi Bola" telah ditampal di satu e-group.

Maka terjadilah balas membalas dalam e-group itu. Ada yang bertanya dan ada yang memberi keterangan. Sebahagian keterangan tidak betul jadi saya perlu membuat penjelasan dalam entri jawapan saya.

Ada juga yang confused Prof. Dr. Razali. Sebenarnya Dekan saya sekarang, Prof. Dr. Md Razali Ayob pernah jadi dekan di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan. Prof. Dr. Mohd Razali Muhamad (yang dimaksudkan dalam entri jawapan saya) juga mantan di FKP. Dia menjadi dekan FKP menggantikan dekan saya yang berpindah dari FKP ke FKM.

Kata saya...hi, hi, lain kali kalau nak ambil entri saya tu berilah salam dulu, ek. Sesenyap aje dan tak tinggal jejak.

Saturday, April 04, 2009

Dah Naik Tocang

Semalam dengar cerita satu parti komponen BN dah mula bersuara meminta perlantikan Timbalan Perdana Menteri Ke 2 dari YAB PM baru. Hi, hi, mereka ingat macam Timbalan Menteri Kewangan ke 2 agaknya. Yang peliknya tak pula jumpa cerita ni dalam surat khabar arus perdana hari ini!

Alasan? Biasala...

Sekarang, kan tengah demam PRK. Kan, masa PRK ni lah macam-macam janji banyak dibuat. Mungkin mereka fikir apa salahnya memohon, kan. Mana tahu dapat!

Kata saya...masa persidangan UMNO bermacam kata-kata tegas dilemparkan. Nak juga lihat apa kesudahannya. Jangan jadi macam kata pepatah,"Kokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi".

Wednesday, March 25, 2009

Stop Dreaming

Semalam Jepun sekali lagi menjadi juara World Baseball Classic yang dianjurkan oleh US dengan mengalahkan Korea di perlawanan akhir. Buat kali kedua US gagal memasuki perlawanan akhir. Hi, hi, macam England. Kononnya merekalah yang mencipta bolasepak (walaupun ada yang lain mengaku seumpamanya) England hanya menang 1 (satu) kali Piala Dunia. Itu pun dianjurkan di England.

Baseball di US dkatakan sebagai "favourite pastime". Merekalah yang mencipta baseball, yang katanya mungkin bermula dari kriket. Sudah edisi kedua WBC team USA tidak menunjukkan sebarang potensi untuk menang. Pelbagai alasan diberikan kerana persembahan hambar mereka. Hi, hi, jangan jadi macam basketball, yang juga mereka cipta, sehingga tidak boleh menang di Olimpik dan Piala Dunia barulah nak mengumpul "all stars" mereka.

Macam Malaysia suatu ketika dulu dengan permainan sepaktakraw. Kalau tak silap ada beberapa edisi Piala Dunia anjuran Utusan Malaysia. Kini setelah pelbagai promosi ke negara-negara lain, Malaysia bukan lagi negara utama dalam sukan ini. Thailand, Singapura dan Indonesia pernah mengalahkan Malaysia. Tak hairan nanti Korea Selatan dan Jepun juga akan berjaya.

Dengan kepelbagaian sepaktakraw masakini mungkin sukan ini akan diterima sebagai sukan Olimpik di suatu hari nanti. Tetapi sudahkah kita bersedia untuk hari itu?

Kata saya...itu hari bila tukar guna bola plastik baru kita dah buat protes. Sepatutnya kitalah yang menerajui inivasi sukan ini.

Monday, March 23, 2009

Bonus

Biasanya syarikat bagi bonus kepada pekerja apabila tahun kewangan sebelumnya mereka dapat keuntungan. Di Malaysia ni pernah saya dengar paling tinggi antara 10-12 bulan. Ishh! Kalau dah 12 bulan kira bagi gaji setahun le. Saya tak pernah dapat banyak tu. Antara 0, 1/2 atau 1. Hi, hi, saya juga tidak pernah terima kek sebagai bonus!

Sepanjang minggu lepas media di US masih lagi membicarakan tentang bonus yang diterima oleh pegawai kanan AIG (hi, hi, macam pernah tengok aje perkataan ni!). AIG sebenarnya telah diberikan suntikan kewangan sebanyak US$170 Billion (hi, hi, kita punya RM60 Billion, kacang putih aje buat mereka) bagi menyelamatkan mereka dari muflis. Bermakna tanpa suntikan kewangan itu, AIG mungkin tinggal nama kat jersi tu je lah agaknya.

TETAPI setelah mendapat duit berbillion itu, mereka sudah lupa daratan. Ekskutif kanan mereka dikatakan telah diberikan BONUS berjumlah US$165 Million. Apabila berita ini diketahui umum, apa lagi kena kutuklah. Semalam diberitakan bonus yang diberikan itu telah dikenakan cukai pendapatan sebanyak 90%. Khabarnya ramai yang dah pulangkan kembali kesemua wang bonus tersebut.

Apa nak jadi daaaaaa? Syarikat dah hampir muflis, boleh dapat bonus pulak...

Kata saya...terfikir jugak kalau benda macam ni boleh terlepas pandang di US, kat Malaysia macamana ek?

Friday, March 20, 2009

Jawapan Saya

1. Saya bekas pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. SPM 1979
2. Ada sedikit kesilapan jawapan Wan Ahmad Arjunaidi, tetapi boleh dimaafkan.
3. Prof. Dr. Razali Muhammad juga di sana.
4. Saya masih di Bangi sehingga (insya Allah) bulan Jun ini.
5. Bukan emas tapi perak sahaja.

Kata saya...tak perlulah untuk diperdebatkan, itu cuma luahan hati saya...kata saya. Tidak lebih dari itu.

Pelajar Terbaik

Kecoh lagi tahun ini bila pelajar terbaik SPM dapat 20A, 19 1A 1 2A. Kecoh sebab pelajar terbaik dari Kelantan. Kecoh berebut nak tumpang semangkuk. Kecoh nak bagi berebut nak bagi biasiswa/pinjaman kat dia. Walau apa pun pandangan, saya katakan beliau berhak menerima segala penghargaan tersebut. Tahniah!

Apa yang saya tak faham cara dinobatkan pelajar terbaik itu. Perlukah seorang pelajar mengambil pelbagai subjek sehingga ke tahap maksimum dan mendapat A dalam setiap subjek tersebut baru boleh dikategori pelajar terbaik?

Kalau kuantiti yang diperlukan, pada hemat saya pelajar-pelajar di sekolah asrama penuh dan MRSM mungkin mustahil untuk mencapai tahap tersebut. Kalau tak silap saya (betulkan saya jika tersilap) kebanyakan sekolah-sekolah ini menghadkan bilangan subjek yang boleh diambil oleh pelajar. Pelajar pertama yang memulakan revolusi pengambilan subjek secara lambak ini pun telah bertukar sekolah berasrama penuh ke sekolah harian.

Saya letakkan kecelaruan ini kepada penggunaan sijil terbuka. Banyak subjek ada pertindihan yang pada hemat saya tidak perlu diambil oleh seorang pelajar. Sebagai contoh, dia ambil Fizik, Biologi, Kimia, dia ambil juga Perakaunan dan Lukisan Bangunan. Ini tidak, dah ambil Fizik, Biologi, Kimia, ambil lagi Sains.

Seingat saya dulu, saya cuma ambil 9 subjek wajib dan 1 subjek pilihan (English 121/1119 - entah apa diorg panggil sekarang). Untuk menentukan pangkat, agregat 6 subjek diambil kira. Jadi pelajar terbaik ditentukan dengan mendapat A khasnya A1 dalam semua subjek. Sekarang dah ramai yang dapat semua subjek A, peratusan pencapaian dalam setiap subjek diambil kira. Dengar cerita itulah yang dibuat untuk penapisan awal untuk calon ke sekolah asrama penuh bagi keputusan UPSR, betul ke?

Pihak Kementerian Pendidikan perlu ada ketetapan bagaimana seseorang pelajar boleh dinobatkan sebagai pelajar terbaik tanpa mengambilkira kuantiti A yang diperolehi. Perlu ada jumlah minimum subjek dan kategori subjek yang diperlukan untuk pengiraan peratusan gred. Janganlah dianaktirikan pelajar yang hanya mengambil 11 subjek dan mendapat semua 1A. Jangan nanti ada yang ambil 25 subjek semata-mata nak pecah rekod yang baru ni pulak.

Kata saya...apa nasib anak miskin yang lain yang dapat 6 A dan 4 B, tak ada orang nak tolong ke?

Thursday, March 19, 2009

Jemputan Kahwin

Tengahari tadi saya terima panggilan telefon, baru cakap assalamua'laikum, bateri habis. Caskan bateri terlebih dahulu, baru telefon nombor tu balik. Terkejut jugak saya bila sipemanggil (hi, hi, lelaki) tadi menyebut "Abang Jo", sebab nama panggilan di kalangan keluarga saya lain.

Akhirnya bila dapat bercakap dengan si pemanggil, rupa-rupanya rakan sebilik saya di Mekah dan Madinah. Dia menjemput saya sekeluarga untuk ke rumah dia hari sabtu ni, 21.03.2009 kerana kenduri kahwin. Cuma bukan dia yang kahwin, abang dia.

Masalahnya, dia cakap rumah dia kat Tambak S*******. Saya pun tak boleh nak baca tulisan saya sendiri. Dahlah tu dia pun tak cakap rumah dia no berapa, jalan apa. Dia cuma cakap sebelum balai polis Kandang. Nampak gaya kena telefon dia semula esok.

Kata saya...hi, hi, inilah gaya jemputan kenduri kahwin zaman penuh teknologi tinggi. Tapi tak apa, kalau sesat telefon dia minta panduan. Hi, hi, yang dapat kad jemputan dengan peta pun sesat, inikan pulak yang tak dapat.

Wednesday, March 18, 2009

Jersi Bola

Pernah saya bincangkan dalam satu entri saya berkaitan Liverpool FC, saya tidak pernah dapat beli jersi bola Liverpool kerana penaja kit Liverpool adalah Carlsberg. Rupa-rupanya ada jersi bola ini yang tidak diletakkan nama penaja itu. Harga dengan nama penaja £39.99, harga tanpa nama penaja £59.99. M ak aihhh. Apasal pulak 1.5 kali ganda mahalnya. Tak apalah tunggu 2010 bila penaja ni tamat tempoh.

Saya pernah tanya pelajar saya yang suka pakai jersi bola,"You tau tak Tetley's Bitter tu apadia?" Dia jawab tak. Tanya saya lagi,"You ada jersi bola Liverpool tak". Dia jawab tak, dan dia sambung, sebab penajanya Carlsberg, arak. Saya cakap,"Tetley's Bitter tu araklah". Eloklah tu jersi bola dengan penaja arak bawak pergi solat.

Begitu juga peminat Manchester United dengan red devil-nya. Gambar setan merahnya tertera pada logo kelab bola itu. Kalau diorg ni pergi solat dengan jersi tu, bermakna mereka bersolat bersama setan merah tu sekalilah agaknya. Hi, hi jangan marah ye peminat MU!

Banyak lagi penaja kit jersi bola bagi pasukan-pasukan yang diminati ramai oleh rakyat Malaysia terdiri dari syarikat alkohol dan perjudian. Yang bagusnya rakyat Malaysia khas yang beragama Islam memandang remeh tentang hal ini. Apa yang tertulis di jersi itu tidak diperiksa terlebih dahulu.

Hi, hi, kelab pilihan saya di Sepanyol, Barcelona, pun ada masalah. Ada lambang cross pada logo kelab itu. Cuma satu lagi kelab BPL yang saya sokong yang agak selamat. Arsenal punya penaja sebuah syarikat penerbangan dan logonya tiada unsur kontroversi.

Kata saya...hi, hi agaknya itu sebab Liverpool tak pernah menang liga Perdana dan liga division satu (sebelum ini) sejak bertukar ke panaja yang ada sekarang.

Monday, March 16, 2009

Halal ke Tidak?

Saya terima banyak e-mail mengatakan barangan ini halal, barangan ini haram. Kebanyakannya urusan e-mail berantai. Memanglah ada sesetengah tu dah sah haramnya, tetapi sesetengah yang lain memang terdapat keraguan kesahihan dakwaannya. Ada yang siap dengan alamat websitenya tetapi bila diklik entah ke mana perginya.

Kedai pun sama, ada yang halal dan ada yang haram. Khasnya kalau kedai tu bukan kedai melayu. Kalau kedai bukan melayu kena perlu tengok ada logo halal atau tidak. Kalau tak ada logo halal, akan timbul keraguannya. Dalam satu entri awal saya ada membicarakan tentang kedai makanan Jepun di Jusco Melaka.

Walaubagaimanapun apa yang saya ingin bincangkan adalah kedai makanan orang melayu. Memandangkan kedai orang melayu, kita beranggapan kedai makanan orang Islam sudah tentunya halal. Oleh itu samada ada tanda logo halal atau tidak terus aja kita masuk. Boleh saya katakan kebanyakan kedai makanan orang melayu tiada tanda logo halal.

Sebenarnya kita ambil mudah tentang hal ini. Adakah kita tahu sumber bahan mentah yang dibekalkan ke kedai tersebut? Saya beranggapan tuan punya kedai akan mengambil barangan yang termurah. Soalannya yang termurah datang dari mana? Halal atau tidak?

Soalan seterusnya kenapa kedai melayu tak dapatkan logo halal?

Kata saya...ada sebuah kedai makanan di sebuah pasaraya besar mempunyai kakitangan hadapan berbangsa melayu, kakitangan dapur bukan melayu dan tiada logo halal. Ramai orang melayu makan minum di situ.

Wednesday, March 11, 2009

The Grades Are In

Dah setahun pilihanraya, saya rasa saya perlu berikan gred atas prestasi kerajaan yang telah dipilih rakyat. Tak kiralah yang memerintah di persekutuan atau di negeri. Saya buat secara keseluruhan.

Barisan Nasional (dah 51 tahun memerintah!)
Gred: C

Pakatan Rakyat (alahai baru 1 tahun memerintah!)
Gred: C

UMNO
Gred: C-

MCA
Gred: C-

MIC
Gred: D

Gerakan & Lain-lain
Gred: I

PAS
Gred: C-

DAP
Gred: C-

Keadilan
Gred: C-

Secara kesuluruhan saya tak berpuashati dengan semua pencapaian mereka. Banyak alasan saya boleh kemukakan tapi...

Kata saya....saya pelik kenapa mini bajet semalam termasuk bagi tahun 2010 punya. Bukan ke itu boleh dimasukkan dalam pembentangan bajet 2010 september depan? Nak advance ke...

Monday, March 02, 2009

Siapa Menang?

Hari sabtu dan ahad baru ni ada Jom Heboh kat dataran MITC. Ramailah rakyat Melaka dan yang berdekatan datang hadir ke situ. Tak kira malam ke siang. Hujan ke panas. Semua datang beramai-ramai bersama keluarga. Hampir nak penuh parking masjid Al-Alami MITC.

Hari sabtu, malamnya ada ceramah bulanan anjuran masjid Al-Alami. Penceramah didatangkan khas dari Bandar Tun Razak. Jamuan disediakan, percuma. Yang datang (saya cuma perhati makmum lelaki) adalah lenih sikit dari satu saf. Ustaz pun cakap, dia terkejut tengok kereta parking keliling masjid. Hi, hi.

Siapa menang? Jom Heboh! Sah!

Jadi habuannya, malam konsert dihadiahkan hujan yang tak seberapa lebat. Jadi kalau nak tahu siapa yang fanatik Jom Heboh, tanyalah rakyat Melaka yang sanggup berhujan untuk melihat konsert Jom Heboh itu.

Kata saya...dah 2 tahun tak pergi ke sana. Tahun lepas kebetulan semasa saya di luar negara, tahun ni memang malas nak pergi. Dekat tapi jauh.

Thursday, February 26, 2009

Naik Lagi

Tol PLUS dikatakan akan naik lagi bermula 1 Mac 2009. Oh! Sungguh bagus tindakan kerajaan kesayanganku!

Kadar tol baru RM0.1428/km
Tol Ayer Keroh Bangi = RM14.60 (102.4 km) dulu RM13.90
Tol Ayer Keroh Alor Setar Utara = RM78.00 (546 km) dulu RM75.10
Tol Ayer Keroh Tangkak = RM3.95 (27.6 km) dulu RM3.80

Kata saya... uuuuuuuuuuwwweeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeekkkkkkkkkkk!

Tuesday, February 24, 2009

Finally...It's Charging

Setelah bertungkus lumus petang tadi (dan nyaris termasuk air kolam ke dalam mulut, eeewwww!), akhirnya lampu isyarat padam. Menurut wireman kedai alternator, itu bermakna jenerator dah mula charge the battery. Walaubagaimanapun kuasa yang dibekalkan masih lagi tidak seperti diharapkan. Sekurang-kurangnya ia menunjukkan peningkatan yang positif.

Hi, hi, esok kena mandi lagi air kolam...

Kata saya...semalam turbin angin saya menunjukkan keaktifannya walaupun dah berbulan tak nampak berpusing kipasnya. Hi, hi, mungkin nak tunjuk kat tetamu dari Sarawak.

Monday, February 23, 2009

I Need A Vacation...but...

Huh, tersangatlah letih! Dari minggu lepas semua kerja tersangatlah meletihkan. Hari Isnin minggu lepas pagi-pagi lagi dah ke Bangi. Macam-macam kerja perlu disiapkan sebelum ke MTE2009. Powerpoint, pamphlet, meeting, finalise pamphlet. Petang Rabu sebelum ke PWTC, angkat barang dalam lori, ambil gambar tasik Sri Kembangan.

Sampai di PWTC nak kemas barang, booth pulak belum siap! Angin betul! Dah pukul 7 baru siap. Organizer pulak sibuk nak halau kami sebab diorang nak tutup dewan. Kemudian Prof ajak pergi makan nasi lemak kat Kampung Baru. Balik hotel kena siapkan powerpoint. Nasib baik dapat siapkan sebelum pukul 12.30am. Terus tidur!

Hari Khamis dan Jumaat sama aje. Jaga booth. Letih nak menerangkan kat pelawat-pelawat. Kaki naik lenguh. Nasib baik Prof yang terangkan semasa hakim datang. Hari Sabtu, on-kan aje model dan tengok dari jauh. Dah tak larat lagi...Pukul 4 dah siap kemas barang, pukul 5 angkat barang ke dalam lori. Sampai UKM 6.30pm, angkat barang lagi. Lepas maghrib baru bertolak ke Melaka, sampai pukul 9.15pm.

Hari ahad, makan tidur, makan tidur.

Hari ni, pukul 9.00am pergi ambil sprocket gear yang ditempah. 10.45am bertolak ke Bangi. Tiba 12.15pm di hostel. Tidur satu round. Lepas zohor berendam di kolam kejuruteraan sampai pukul 6.15pm. Gagal dapat hasil yang diharapkan. Kena cuba lagi esok.

Uhhhh! Ingat mau ambil cuti untuk lepak-lepak. Mana boleh! Masa tak mengizinkan. Deadline dah tak lama lagi. Kena mula menulis secara serious.

Kata saya...badan pun dah lain macam...boleh ke bertahan untuk siapkan kerja-kerja ni?

Monday, February 16, 2009

Dah Mula Cair

Siapa ingat tragedi Highland Towers? Ingat, bagus...10 markah!

Siapa ingat tragedi Bukit Antarabangsa? Ingat, bagus...10 markah!

Semalam saya baca The Star. Muka depannya mengiakan apa yang saya katakan pada 20 Disember. Hi, hi, tak sampai 6 bulan!!! Hi, hi, tekaan saya betul!

Sebenarnya saya nak komen tentang hal itu tetapi bila dah ada komen seperti yang saya nak komen pada link di bawah, saya fikirkan tak perlulah saya komen apa-apa lagi. Rencana tu dah meluahkan segalanya di fikiran saya. Cuma saya ingin buat peringatan, jangan klik di link jika anda takut nanti dikatakan menyokong pihak tertentu! Hi, hi.

@$$*%!^

Kata saya...sesungguhnya mereka ini sudah TERLAMPAU mudah lupa.

Wednesday, February 11, 2009

Ajaran Baru

Hari sabtu di Masjid Al-Alami ustaz bagi kuliah tentang puasa. Di akhir kuliah ustaz memaklumkan tentang satu ajaran sesat yang bertapak di Melaka.

Antara ajaran yang disebarkan oleh kumpulan ini:
  1. Terdapat 7 martabat dalam ajaran ini.
  2. Mengatakan Tuhan tidak adil kerana memberi keutamaan bahasa Arab. Kenapa tak guna bahasa lain (kata tok guru mereka).
  3. Mengatakan Tuhan tidak adil kerana meletakkan ka'abah di Mekah. Susah orang nak pergi, kenapa tak letak di Melaka (kata tok guru mereka).
  4. Al-Quran adalah makhluk.
  5. Merokok adalah WAJIB!

Astaghfirullah hal a'zim...

Kata saya...syarikat rokok manalah agaknya yang menjadi penaja ajaran sesat ni...

Tuesday, February 10, 2009

Derhaka

Sekarang kecoh fasal derhaka. Kes Sultan Perak. Saya tak menyelebahi mana-mana pihak. Saya ada sebab tersendiri.

Kalau dikupas dalam ertikata kesultanan melayu, kita tak boleh lari dari Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Tuah diglorifikasikan sebagai hero melayu dan Hang Jebat sebagai penderhaka. Sultan Mahmud, tak tahulah saya nak kategorikan dia. Samada dia pemerintah dan pemimpin yang bagus atau tidak. Dari fahaman saya, dia adalah sultan yang tak boleh dengar ada wanita cantik. Dalam sastera melayu moden kini peranan Hang Tuah dan Hang Jebat dikaji semula. Ada pendapat mengatakan Hang Tuah adalah panglima yang timid. Terlalu setia pada sultan membuta tuli. Hang Jebat pula digahkan sebagai pahlawan yang sebenar kerana mengikut prinsip,”Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

Cuma melayu mudah lupa. Siapa yang ingat, hero manakah yang menyebabkan krisis raja-raja melayu di akhir tahun 80an dulu? Siapa yang ingat, siapa hero dalam penentangan perlantikan menteri-menteri besar Terenganu dan Perlis baru-baru ini? Siapa yang ingat, siapa yang menyamakan sultan dengan binatang dalam satu kain rentang? Melayu memang cepat lupa. Sampai ada yang memberi komen jangan menderhaka pada sultan padahal semasa pemerintahannya dia yang memulakan semuanya itu, maklumlah orang lain tak berani nak bersuara masa tu.

Saya tak menyebelahi mana-mana pihak kerana dari hemat saya parti politik melayu ni bersungguh mengatakan “Daulat Tuanku” apabila sultan menyebelahi mereka. Kalau tak, entah apa-apa dikatakan mereka. Cuma yang saya belum dengar adalah suara-suara bukan melayu. Agaknya mungkin mereka gelakkan saja pertelingkahan orang melayu ini. Sesungguhnya, melayu terlalu cepat lupa…

Kata saya… tak heranlah sekarang Stadium Hang Jebat lebih besar dan lebih moden dari Stadium Hang Tuah, hi, hi.

Friday, February 06, 2009

Doa Kami

Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang terkena rejam
Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,
dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu,
sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
Surah Ali 'Imran 003:008

Orang yang berdoa dengan berkata,
Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya kami telah beriman,
oleh itu,
ampunlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.
Surah Ali 'Imran 003:016

Tidaklah ada yang mereka ucapkan,
selain daripada berdoa dengan berkata,
Wahai Tuhan kami!
Ampunkanlah dosa-dosa kami dan tindakan kami yang keterlaluan dalam urusan kami serta teguhkan pendirian kami dan bantulah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
Surah Ali 'Imran 003:147

Kata saya...untuk renungan hari Jumaat

Thursday, February 05, 2009

Cita-Cita

Drama swasta di bawah tidak ada kena mengena dengan yang sedang hidup atau pun yang sudah mati...

+ mamat, apa cita-cita awak apabila dewasa nanti?

- cikgu, saya nak jadi wakil rakyat.

+ kenapa mamat?

- sebab wakil rakyat boleh melompat-lompat.

+ macam katak ya mamat?

- ya cikgu, lebih-lebih lagi katak binatang dwialam.

+ apa kena mengena dengan melompat mamat.

- cikgu, katak melompat kat atas darat dia dapat makan, melompat kat dalam air pun dia dapat makan.

kata saya...lompat sikatak lompat, lompatlah tinggi-tinggi, sumbatlah sikatak sumbat, janji perut penuh berisi.

Wednesday, February 04, 2009

JPJ & Polis

Satu hari minggu lepas dalam perjalanan ke pusat bandar melalui jalan Sg. Putat terlihat satu "road-block" oleh JPJ. Berderet-deret kereta, tapi yang kena tahan motosikal jugak.

Di antara kereta yang berderet itu ada satu kereta peronda polis. Seorang sahaja. Pemandunya. Gelagat pemandunya yang melucukan. Dia tidak memakai tali pinggang keledar. Semasa kami berselisihan dengan dia, kelihatan dia kelam kabut menarik tali pinggangnya.

Hi, hi, polis pun takut kat JPJ?

Kata saya...saya ingat polis tak perlu pakai talipinggang keledar!

Tuesday, February 03, 2009

Bolasepak & Politik

Mereka yang sukakan bolasepak dah tentu tahu bagaimana prestasi bolasepak Malaysia sekarang. Terbaru tewas 0-5. Sampai jurulatih (sekarang bekas) mengatakan liga bolasepak Malaysia bukan bolasepak. Kalau lihat aksi liga Malaysia dan bandingkan dengan liga Jepun atau Korea atau liga Arab (yang selalu ditunjukkan dalam saluran AlJazeera) jauh bezanya standard di Malaysia. Mungkin tidak keterlaluan untuk dikatakan macam bandingkan liga sekolah dengan liga negeri.

Tengok pula politik terkini di Malaysia. Lompat sana lompat sini. Terbaru 2 ADUN Perak dikatakan hilang. Kita lihat waktu yang terdekat samada 2 orang ni melompat ke BN atau tidak. Atau mungkin jadi bebas kemudian masuk UMNO. Kata Pak Lah tempoh hari, orang yang melompat parti orang yang tiada semangat juang. Agaknya UMNO nak terima tak orang macam ini.

Kata saya...hi, hi, kedua-duanya melucukan!!!

Wednesday, January 21, 2009

Sabar dan Taqwa

Semalam ustaz membicarakan surah Al-An'am ayat 44. Beliau mengaitkan keperluan sabar dan taqwa dengan situasi Gaza sekarang. Sebelum itu dalam muqaddimah beliau menghuraikan cerita Nabi Noh AS, Nabi Daud AS, Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad SAW.

Beliau juga mengharapkan semua umat Islam dapat membacakan doa yang ada dalam surah Yunus ayat 84-88, khasnya pada ayat 85, 86,88.

Kata saya...juga kata dia elok juga sebelum berdoa bacakan surah Al-Fil sebanyak 3 kali. Semoga diturunkan burung Ababil sekali lagi menghukum tentera Israel sebagaimana terjadi ke atas Abrahah.

Tuesday, January 20, 2009

Mati: Amerika dan Israel

Hari ahad lalu sementara makan nasi ayam tengok HBO, selingan sebelum ditayangkan filem "Flag of Our Fathers". Behind the scene filem tersebut. Filem tersebut adalah berkaitan perang di Iwo Jima.

Dalam satu wawancara yang dibuat kepada aktor filem tersebut, dia menyatakan bahawa tentera Amerika ke sana hanya untuk bermegah-megah dan untuk mencapai kemenangan. Mereka tidak mahu MATI! Manakala tentera Jepun pula dikatakan telah diarah untuk tidak bermimpi untuk kembali ke tanah air mereka! Dalam erti kata lain mereka perlu sanggup mati untuk mempertahankan pulau tersebut.

Begitu juga halnya dengan Israel dan pejuang Palestin. Israel juga ke Gaza untuk bermegah-megah dan untuk mencapai kemenangan. Tentera mereka juga tidak mahu MATI! Pejuang Palestin rela untuk mati syahid.

Dua situasi yang serupa. Tentera Jepun kekurangan bekalan makanan dan senjata diserang oleh tentera Amerika dengan pelbagai kelengkapan. Tentera Israel mengebom dengan sesuka hati mereka ke atas rakyat Palestin yang tanpa makanan dan senjata.

Cuba diberikan kelengkapan yang mencukupi kepada tentera Jepun dan pejuang Palestin saya pasti Amerika dan Israel akan dikeroyok dengan teruknya.

Kata saya...Amerika dan Israel: cuba-cubalah renungkan ayat-ayat ini.

Sunday, January 18, 2009

Dah Tak Ada Idea

Hari tu saya komplen fasal perfileman melayu. Hari ini nak komplen lagi sebab baru baca MM (hi, hi, kononnya berwajah baru! hampes juga isinya!). Fasal "Anu dalam botol".

Apala produser yang sorang ni, dah macam tak ada idea nak buat filem. Kalau sebelum ni ada cerita yang melibatkan ciuman antara wanita, produser ni pulak lebih berani nak buat perkara-perkara berikut:
  1. pelakon lelaki berlaga hidung
  2. bercium mulut
  3. meraba
  4. aksi ranjang separuh bogel

Dah macam nak buat fillem di hollywood la pulak. Agaknya ada orang lagi nak tengok filem yang dibuat oleh produser ni. Katanya filem yang nak dibuatnya ni FILEM DAKWAH.

MasyaAllah!

Rasanya budak kecik pun tahu bezakan filem lucah ke filem dakwah.

Kata saya...memang hampes!

Thursday, January 15, 2009

Arak dan Judi

"Di dalam arak dan judi ada dosa besar dan ada manafa'at bagi manusia tetapi dosanya jauh lebih besar daripada manafa'atnya" - 2:219

Tidak lama dulu saya terbaca dalam MM ada seorang artis yang tanpa segan silu meneguk air kencing syaitan dalam satu majlis. Katanya kepada pemberita tersebut, doktor dia yang menasihatkan minuman tersebut untuk kesihatanya.

"Maka, ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan."

Beberapa tahun dahulu dalam satu perbicaraan, seorang bekas pegawai kerajaan telah memberikan kenyataan sebagai saksi pendakwa. Beliau telah ditanya mengenai judi. Kalau tak silap jawapannya lebih kurang: beliau tidak jumpa larangan tentang judi ini di dalam Al-Quran.

Dulu ada judi yang kononnya "dihalalkan". Loteri Kebajikan Masyarakat.

"Maka, ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan."

Kata saya...sesungguhnya kita ini jahil dan mudah dipesongkan.

Tuesday, January 13, 2009

Atas Permintaan

Hi, hi, ibu baru telah men-tag saya dengan alasan memberikan "award" di bawah:

Namun saya tak berupaya nak meneruskan tag kepada orang lain, seperti peraturan tag di bawah sebab blog ini hanya dibaca oleh hanya beberapa pembaca tegar. Walaubagaimana pun jika ada bloggers yang inginkan "award" ini, dipersilakan mengambilnya. Jangan malu-malu, ek.

Kata saya...tak larat nak membuat kerja tag menge-tag ni...

Monday, January 12, 2009

Paku Dulang Paku Serpih

Alahai YB Menteri Pelancungan terlupa agaknya apabila beliau dengan bergayanya mengingatkan calon PAS supaya tidak tamak kerana sudah pun menjadi ADUN Wakaf Mempelam. Terlupa akan dia perkara yang sama berlaku pada PRK Pematang Pauh. Calon dari parti mana agaknya yang sudah pun menjadi ADUN tetapi masih dicalonkan untuk menentang DSAI di situ? Ya, ya, mungkin YB lupa. Ya, memang melayu mudah lupa.

Ya, mungkin ada fakta lain yang sengaja dilupakan. Calon BN adalah seorang senator yang baru mengangkat sumpah SEMULA. Calon BN ini juga adalah seorang Timbalan Menteri. Oh, mungkin ini adalah satu pengorbanan agaknya. Calon BN ini terpaksa BERKORBAN meletakkan jawatannya sebagai senator, yang akan menyebabkan beliau tidak boleh dilantik sebagai senator semula jika kalah, dan juga MENGORBANKAN jawatan timbalan menteri itu.

Kata saya...bak kata pepatah,"Meludah ke langit...", muka siapa yang kena, ek?

Sunday, January 11, 2009

Bila...

Bila...
Keretapi di Sepanyol di bom, riuh seluruh dunia dengan "pengganas" yang dikaitkan dengan Islam.

Bila...
Kapalterbang diletupkan di Lockerbie yang dilakukan oleh rakyat Libya dikaitkan dengan "pengganas" Islam.

Bila...
Disko di Bali diletupkan dikaitkan dengan "pengganas" Islam.

Bila...
WTC di New York diletupkan dikaitkan dengan "pengganas" Islam.

Bila...
Tentera Amerika MENGGANAS di Afghanistan yang tiada kena mengena dengan mereka, katanya untuk kebaikan dunia.

Bila...
Tentera Amerika MENGGANAS di Iraq yang mana mereka gilakan minyaknya, katanya hendak mengamankan dunia.

Bila...
Tentera Israel MENGGANAS di Palestin dengan MEMBUNUH berratus-ratus (mungkin dah beribu?) anak-anak kecil sejak akhir Disember 2008 hingga sekarang, katanya kerana Hamas mulakan dulu.

Bila...
Ini semua berlaku, mana pergi kelengkapan perang askar negara Islam? Semua beli dari Amerika...mungkin dah ada dalam syarat perjanjian pembelian tak boleh guna untuk lawan Israel agaknya.

PBB, yang berpaksikan Amerika, yang berpaksikan Israel, jelas berat sebelah. Jangan harap PBB nak buat apa ke atas Amerika atau Israel. OIC, tinggal Oh, I See. Apa yang diorang buat? Cakap aje lebih!

Kata saya...kalau setakat beri bantuan perubatan buat apa! AGAKnya lebih sesuai diberikan bantuan senjata kepada mereka supaya mereka dapat MEMPERTAHANKAN diri masing-masing. Lihat saja fotograf helikopter mereka membedil secara sukahati tanpa sebarang ragu-ragu. Kalau ada roket anti-aircraft atau land-to air missile dilancar kepada helikopter dan jet pejuang ini barulah mereka kurang sikit kurang ajarnya.

Thursday, January 08, 2009

For Sale

Sime Darby dah cabut tanda SOLD kat depan IJN. Entah apa sebab tak tahulah.

Tapi saya fikir kerajaan agaknya masih lagi berhasrat nak meletakkan tanda FOR SALE semula di depan IJN. Agak-agak semua orang berfikir macam saya tak?

Kata saya...lepas ni apa lagi yang boleh dijual?

Tuesday, January 06, 2009

Yang Mana Satu

Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
  1. Yang Maha Pemurah.
  2. Dialah Yang telah mengajarkan al-Quran.
  3. Dialah Yang telah mencipta manusia.
  4. Dialah Yang telah membolehkan manusia pandai berbicara.
  5. Matahari dan bulan beredar menurut peraturan dan perhitungan yang tertentu.
  6. Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu masing-masing tunduk kepada-Nya.
  7. Dan langit telah ditinggikan-Nya serta Dia meletakkan neraca.
  8. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam timbangan itu.
  9. Dan tegakkanlah cara menimbang itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi timbangan itu.
  10. Dan bumi pula telah dijadikan rata untuk kesenangan makhluk-makhluk-Nya.
  11. Di bumi itu, terdapat pelbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang.
  12. Demikian juga, terdapat biji-bijian yang berkulit dan bunga-bungaan yang harum.
  13. Maka, ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan.
  14. Dia menciptakan manusia daripada tanah liat kering seperti tembikar.
  15. Dan dia telah menciptakan jin daripada lidah nyalaan api.
  16. Maka, ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan.
  17. Tuhan Yang memelihara dua tempat terbit matahari dan dua tempat terbenamnya.
  18. Maka, ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan.
  19. Dia membiarkan air dua laut mengalir, kemudian bertemu.
  20. Di antara kedua-duanya ada batas yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.
  21. Maka, ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan.
  22. Dari kedua-dua laut itu, keluar mutiara dan marjan.
  23. Maka, ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan.
  24. Dan Dialah Yang menguasai kapal-kapal yang belayar di lautan bagaikan gunung-ganang.
  25. Maka, ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan.

Kata saya...tak perlulah nak mendustakan ni'mat Allah lagi, kembalilah ke pangkal jalan.

Monday, January 05, 2009

Jangan Lupa

Esok 9 Muharam. Lusa 10 Muharam. Disunatkan umat islam berpuasa. Kalau nak lagi bagus, terus sambung hari Khamis. Kalau nak lagi-lagi bagus, seeloknya berpuasa hari ini. Dapat 4 hari puasa sunat.

Jangan lupa yek.

Sesiapa yang tinggal/bekerja berdekatan masjid MITC, ada edaran bubur asyura selepas solat asar hari Rabu 10 Muharam. Hi, hi, siapa cepat dia dapat.

Kata saya...jangan jadi macam saya, terlupa diri berpuasa, TERminum air yang dibeli untuk anak.

Friday, January 02, 2009

Kecil Tapi Signifikan

Hi, hi, macam title blog Prof. Dr. Mohd Kamil aje. Hari ini nak mengomel tentang industri perfileman kita.

Tak berapa lama dulu semasa sedang makan di gerai makan di seksyen 16 saya terpaksa menonton drama bersiri "Pepaya" di tv III (suku?). Antara dialog yang diucap, kalau tak silap,"Prof. Lili sedang cuti belajar". Dialog itu untuk menunjukkan situasi dalam institusi pengajian tinggi. Mungkin pada yang lain tak ada salahnya. Pada saya sangat signifikan.

Seorang profesor tidak akan membuang masa untuk cuti belajar, untuk peningkan kepala untuk dapatkan PhD, kalau dah dapat pangkat profesor. Kalau dia ambil cuti sabatikal itu logiklah pada saya. Siapalah pengarah dan penulis skrip drama ni. Ni dah tentu tak buat research betul-betul. Mentang-mentang drama komedi, main hentam saja. Agaknya diorang ingat orang tak perasan, atau memang diorang tak tau fasal cuti akademik ni.

Hari ini saya terbaca sisipan UM tentang profesor madya yang selalu buat filem tu. Dia sedang buat filem tentang kembar siam bercantum di kepala, macam kembar siam dari Iran yang meninggal dunia di Singapura dulu. Tak taulah apa jalan ceritanya dan bukan itu yang nak saya komen. Saya nak komen tentang baju yang dipakai oleh "kembar" ni.

Kalau lihat baju yang dipakai oleh "kembar" ni (ada beberapa keping gambar diselitkan bersama artikel) semuanya jenis baju sarung di kepala, macam jenis T-shirt. Dari gambar t-shirt merah yang dipakai oleh salah seorang "kembar", saya pasti t-shirt itu tidak berbutang di belakang. Bayangkan bagaiman mungkin "kembar" ini memakai baju yang memerlukan pakaian tersebut melalui kepala apabila kepala mereka bercantum. Tak taulah kalau prof madya ni dah pastikan baju tu semua ada butang di belakang.

Kata saya...memang isu kecil dan remeh temeh tapi cukup signifikan untuk menang skrip dan costume terbaik.