Saturday, October 04, 2008

Rasuah & Sedekah

Pada hari Jumaat semasa dalam perjalanan dari Alor Star ke Kuala Rompin singgah di Tapah untuk solat Jumaat. Tok Khatib membacakan khutbah berkenaan dengan rasuah. Rasanya ada kena mengena dengan kes rasuah yang tengah panas di Perak.

Bila memikirkan tentang kes ini saya rasa ada kesamaan dengan kenyataan bekas polis yang mengatakan tak jumpa judi tu haram dalam quran. Yang ini pulak dia kata dia tak minta rasuah. Cuma mamat tu yang nak beri kat dia perempuan cina tu. Dia anggap itu adalah sedekah. Saya difahamkan ianya melibatkan perlakuan zina.

Memang sah kawan tu JAHIL. With extra large capital word. Pertama, kerana membandingkan perbuatan yang suci, sedekah, dengan perbuatan yang haram, rasuah. Kedua, kerana memalitkan kehinaan perlakuan zina dengan sedekah. Tak tahulah apa nak jadi dengan mamat ni. Baru dapat kuasa sikit dah tak ingat Allah. Bayangkan kalau dia dah jadi MB atau PM. Inilah orang yang masuk politik kerana nak sumbat perut sendiri dulu. Saya berdoa agar dia bertaubat nasuha dan kembali ke jalan yang benar.

Itu sebab saya tak suka cara politik Malaysia, kita disuruhpaksa undi lambang bukan orangnya. Kalau dah tahu orangnya kaki rembat macamana nak pangkah lambang. Bersubahat namanya. Jadi apa yang nak dipangkah, ek?

Kata saya...hi, hi, nak tahu ke apa yang saya pangkahsemasa PRU12?

Tuesday, September 30, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429 Hijrah


Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
Dari Kami Sekeluarga

No 4 Jalan TU 31
Taman Tasik Utama
Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya
75450 Melaka

0199675935, 0172737142
0139090645
06-2313481

Saturday, September 27, 2008

Balik Kampung

Semalam saya bertolak dari Melaka untuk ke Alor Star pada pukul 4 petang. Tahun ini jadual perjalanan tidak se-hectic tahun lepas yang mana saya lalui semua negeri di semenanjung Malaysia. Saya dan keluarga selamat sampai di rumah mak mertua jam 12.10 malam setlah berhenti 3 kali. 1 di Dengkil untuk solat asar. Di hentian sebelah tanjung malim untuk berbuka. Bersolat jamak di Sungai Perak.

Jadualnya untuk berhari raya di Alor Star. Mungkin akan ke Perlis di raya kedua. Balik ke Pahang hari Jumaat. Kalau sempat mungkin singgah di Ipoh atau meninjau Cameron Highland. Tengok keadaan. Kalau tidak mungkin terus ke Kuala Rompin aje. Sebabnya mungkin hari Sabtu atau Ahad mak mungkin nak ajak pergi Kuantan pergi ziarah kubur nenek yang baru meninggal bulan Syaaban yang lalu.

Sepanjang jalan tiada kesesakan kecuali apabila sampai di NKVE pada pukul 6.00. Terperangkap bersama orang balik kerja di Subang Jaya dan Damansara. Selepas tu jalan ok. Orang ramai masih belum mula "The Exodus" lagi. Minyak yang saya isi dari Ayer Keroh full tank sempat sampai ke Kampung Suka Menanti walaupun dan menyala indicator-nya selepas keluar dari tol Alor Star Utara. Hi, hi, tolnya lebihkurang RM75.00. Minyak lebihkurang RM180.00. Makan di sepanjang perjalanan? Masak sebelum bertolak. Menu: mee hoon goreng, tuna sandwich dan tepung bungkus dan minum air kotak laici dan anggur dan air tin nescafe dan milo.

Alhamdulillah dah selamat perjalanan half-way.

Kata saya...saya dah sampai di kampung, anda bagaimana? Berhati-hati di jalan raya...

Thursday, September 25, 2008

10 sen

Hari ini harga minyak turun 10 sen se liter. Ha, ha, ha. Diorang buat lawak. Harga minyak naik 70 sen, harga barang naik RM1.00. Harga minyak turun 15 sen, harga barang tak turun. Harga minyak turun lagi 10 sen, harga barang ada turun ke? Cuba tengok kalau kerajaan naikkan semula harga minyak 15+10 sen, iaitu harga penurunan yang dibuat, agak-agak harga barang naik ke tidak. Sudah semestinya NAIK!

Heh, hampes! Simpan ajelah kata-kata yang tak sedap nak didengar dalam bulan puasa ni. Talking about the slogan "Kerajaan Yang Prihatin". Nak muntah rasanya...

Kata saya...dengan 10 sen tu apa boleh beli? Gula-gula 2 biji, kalau chocolate o'claire 1 biji aje...

Tuesday, September 23, 2008

Birthdays

Saban tahun mulai tahun 1996, isteri saya dan anak sulung saya, Ammar Faiz, menyambut hari ulangtahun kelahiran secara berkongsi. Isteri saya pada 21.9, Faiz pada 22.9. Hi, hi, sebenarnya isteri dah masuk wad pada malam 21.9 sebelum sempat pergi dinner nak sambut birthday dia.

Faiz lahir pada hari Jumaat 27 Rabiul Akhir.
Jadi kek hari lahir dikongsi bersama.


Hari ahad saya telah buat barbeque ayam sepertimana dalam entry khas untuk ibu baru. Saya juga buat Puding Raja yang telah saya modified dengan menggantikan jala emas dengan halwa kundur. Tak kuasa saya nak buat jala emas tu sendiri. Hi, hi, kurangkan kolesterol!

Untuk menyempurnakan janji saya pada ibu baru, ini dia resepi bergambarnya. Kalau nak resepi bertulis nanti saya edit balik entry ni. Malas nak menulis bulan puasa ni. Hi, hi.

Kata saya...resepi puding saya belajar dari anak kepada bekas tukang masak kerabat diraja. Seperti yang saya katakan saya dah modified sikit mengikut selera saya...cubalah...

Saturday, September 20, 2008

Ke mana Dia Menghilang?

Saya kena serang dari pelbagai pihak. Dari konsortium Arab yang nak take-over kelab bola sepak ini. Dari orang dalam kelab saya. Dari pemegang-pemegang saham kelab.

Anak menantu yang beria-ia menyokong saya senyap membisu. Ke mana dia menghilang?

Rupa-rupanya menantu ada cita-cita sendiri, sedang sibuk melobi nak jadi lembaga pengarah. Adakah dia nak tinggalkan saya terkontang-kanting keseorangan. Sampai hati...

Sudah tentu saya bukan CEO Newcastle FC.

Kata saya...saya bukan saya, anak saya belum berkahwin, manakan dapat menantu...

Friday, September 19, 2008

Spare Some Time, Do Your Check-up

Saya baru dapat berita seorang lagi sahabat saya meninggal dunia. Beliau merupakan rakan sekerja di Kuantan dulu. Beliau sedang berkhidmat dengan UPSI apabila disahkan mengidap kanser payudara. Setelah sebahagian payudaranya dibuang dan menjalani chemoteraphy, beliau kembali sihat. Tetapi setahun kemudian beliau mengadu sakit pinggang. Yang menyedihkan, doktor mengambil masa 6 bulan untuk mengesahkan kanser beliau telah merebak ke tulang punggung dan sebahagian pinggang. Saya kasihankan 2 anak beliau yang masih kecil dan suami beliau yang sedang berjuang menyiapkan tesis PhD.

Seorang staf di pejabat isteri saya juga meninggal dunia oleh sebab yang sama. Beliau ibu tunggal. Sungguh mulia hati bekas ibu mertua beliau yang menjaga beliau dari mula sakit hingga ke akhir hayat beliau.

Seorang staf yang banyak menolong saya dalam penyelidikan saya meninggal dunia akibat kanser darah atau leukemia. Pada malam beliau meninggal dunia, sebenarnya saya baru bercadang untuk berjumpa beliau keesokan harinya. Terkilan saya tak dapat berjumpa beliau buat kali terakhir semasa hidup.

Kepada yang terbaca blog saya ini, saya menyeru kepada semua khasnya wanita supaya lakukanlah apa-apa ujian kesihatan yang cik-cik dan puan-puan perlukan. Tindakan cik-cik dan puan-puan akan dapat mencegah (dengan izin Allah) orang-orang tersayang terpisah dari belaian kasih sayang cik-cik dan puan-puan lebih awal.

Kata saya...Al-Fatihah untuk kesemua mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman, soleh dan solehah. Amiiin.

Thursday, September 18, 2008

Hari Ini Dalam Sejarah

Tengahari pergi KL masa lunch hour. Semasa berlari-lari anak kerana nak mengelak dari terkena hujan, saya ternampak seorang melayu dalam akhir 20an membongkok mengambil sesuatu. Agaknya terjatuh semasa berlari itu. Saya terkejut bila lihat apa yang dipungutnya.

Sekotak rokok Dunhill! Apa yang nak dibuat dengan kotak rokok di tengahari buta!

Dia pandang saya, tersenyum. Saya buat tak nampak. Mangkuk!

Selepas solat asar di UKM, saya terus balik ke Melaka. Memandangkan waktu berbuka dah dekat saya singgah di R&R Seremban untuk beli minuman dan nak cari kalau-kalau ada kuih untuk berbuka. Melalui kedai makanan dan minuman di situ, terlihat 2 pemuda melayu telah selesai makan sedang menghisap rokok dengan nikmatnya. Saya pandang mereka, mereka pandang saya, tersenyum. Mangkuk hayun!

Tak taulah apa nak jadi diorang ni! Anak saya yang umur 6 tahun tu baru sehari ponteng puasa. Itu pun dah petang, sebab tak tahan godaan adiknya yang 3 tahun makan coklat dan biskut depan dia. Tahun lepas pun dia puasa 21 hari. Budak 5 tahun boleh puasa, pemuda 20an, 30an, tak boleh puasa. Hampes!!!

Kata saya...belum lagi puasa panjang masa musim panas, main bola lagi. Sah mamat-mamat tu jadi macam pak Iran dan pak Iraq...

Wednesday, September 17, 2008

Mana Beritanya

Pagi-pagi lagi dah buka newspaper Star. Paper yang satu lagi ada tapi malas nak baca. Tau ajelah beritanya. Yang membuatkan saya sedih, dari muka satu hingga ke muka 33, selain dari iklan, 90% cerita politik. Dah jadi paper politik aje. Cuma ada 3 muka cerita budak kena kidnap, jual anak dan cerita pasang lampu raya.

Mana berita tentang rakyat? Tentang pembangunan yang dijanjikan semasa pilihanraya. Mana, mana? Nasib baik projek sebelah rumah saya dah jalan, kalau tak mau kena jugak rembat. Dah 6 bulan pilihanraya, apa yang kita nampak hasilnya. Lebih banyak politik lagi. Semua parti politik BN sibuk nak buat pemilihan. Sibuk melobi sana sini. Tak sedar ke korang rakyat semua perlukan pembelaan.

Harga minyak dah turun ke US$91.42 satu tong. Apa yang kerajaan telah buat? So far tak ada apa-apa. Tunggu sehingga akhir bulan ini. Ada ura-ura nak turun lagi RM0.15 lagi. Aje? Saya tak dengar itu menteri dari Johor buat sebarang kenyataan berkenaan dengan perkara ini. Dulu sebelum jadi menteri bukan main kecoh lagi.

Apa yang dikatakan dalam media massa barang keperluan untuk keperluan hari raya ini mencukupi. Memanglah cukup kalau dah ramai yang TAK MAMPU membelinya lagi. Cuba kita lihat 30 September nanti. Betapa harga ayam, daging dan ikan akan meningkat kerana demand yang tinggi. Orang ramai berebut-rebut nak membeli sebab nak raya, dah tak hirau harga, main ambil aje.

Adakah ini yang dikatakan negara kebajikan dan prihatin? Tak kiralah konsortium mana yang mengaku tetapi yang memerintah patut buat sesuatu. Government by the people, FOR the people. Ini tidak, memang government by the people BUT for the selected FEW. Sebab mereka tak merasai apa yang rakyat rasa.

PM, TPM, menteri nak kemana-mana pakai escort. Redah semua kereta ke tepi. Tak rasa traffic jam. Tak rasa naik LRT/Komuter (oh, ye, ada sekali - dah kecoh!). Tak rasa kena bayar dan isi minyak sendiri. Tak rasa kena bayar tol. Eh, apa lagi yang diorang tak rasa, ek?

Kata saya...lagi dua minggu nak raya, kena mula cari stamina. nak jalan jauh. kena exercise kaki untuk tekan minyak, tangan untuk mengambil wallet, bayar minyak, bayar tol, bagi duit raya...

Monday, September 15, 2008

Lalu Mulalah Berkumandang...

Hari ni dah masuk hari yang ke 15 kita berpuasa. Jadi semua radio station dah dapat green light untuk mendendangkan lagu raya. Hi, hi. On the way balik ke Bangi tadi saya pun tak perasan ERA dah mula pasang lagu raya cuma bila dengar lagu dendangan Allahyarham Sudirman (entah apa tajuknya...) baru cakap sorang-sorang,"Eh ni lagu raya".



Tak taulah lain orang lain tangkap sayu bila dengar lagu raya. Hah, itu kena tanya ibu baru yang first time jauh di perantauan. Pada saya, lagu raya cuma lagu. Sejak dari sekolah menengah sampai sekarang tak ada feeling pun dengar lagu-lagu tu. Mungkin sebab dari sekolah menengah saya dah berjauhan dengan keluarga.



Tapi kalau dengar takbir, baru tangkap syahdu...hi, hi.



Pernah masa kat JB dulu dengar radio station Singapura dah pasang lagu raya 1 Ramadhan. Itu yang radio station kat Malaysia nak tiru beberapa tahun lalu. Dah kena rembat dengan peminat barulah ditetapkan 15 Ramadhan baru perdengarkan lagu raya.



Apa kata dibuat pertandingan station mana yang paling lambat dengarkan lagu raya? Mau kena rembat pulak radio station tu.



Kata saya...maknanya malam ni malam 16. Solat witir disunatkan baca qunut. Baca ke tidak? Tak baca pun tak apa, sunat aje. Tok imam kat surau tadi pun terlupa kut...

Saturday, September 13, 2008

Lain Pulak Cerita

Bila tengok dalam New Straits Times on-line lain pulak ceritanya. YB TSRA dan YAB DSMH dikatakan marah kerana kenyataan TSMY. Tak tahulah paper mana yang betul. Mungkin nada suara dalam kenyataan tu menyebabkan headline jadi lain.

Walaubagaimanapun apa yang saya tak faham apa yang sebenarnya terjadi dalam mesyuarat MT UMNO semasa perbincangan peralihan kuasa tu. Kalau mengikut prosedur organisasi di 2 tempat saya bekerja apabila membincangkan perkara yang melibatkan kepentingan peribadi, tuan punya badan akan keluar dari mesyuarat. Ini bermakna apabila perbincangan yang melibatkan kepentingan YAB MP KB dan YAB MP Pn, sepatutnya kedua-duanya perlu keluar dari bilik mesyuarat setelah membentangkan kertas kerja (kalau adalah!) peralihan kuasa tersebut supaya ahli-ahli MT tidak terpengaruh dengan kehadiran mereka dalam bilik tersebut.

Agaknya prosedur ni dibuat ke tidak? Atau UMNO ada prosedur tersendiri?

Kata saya...mungkin semua yang terlibat dapatlah dalam bulan puasa ni dengar-dengarlah lagu "Selimut Putih" dendangan Orkes El-Suraya...

Tak Tahulah Saya...

Apa nak jadi dengan parti politik nan satu ni. Saya rasa baik korang baca link kat bawah ni dan buat tanggapan sendiri.

YAB MP Pn DSNTR

YAB MP KB DSAAB

YAB KM Ma DSMAR

YB MP Sg DSHTH

YB MP Ju DSDRY

YB MP KK TSRA

YB MP GM TRH

YB MP KT DSSHA

UBK

Ataupun korang boleh terus ke blog Kuda Kepang, ada sebahagian berita dan lihat apa yang dia rumuskan. Sama atau tidak dengan korang punya kesimpulan.

Kata saya...tak tahu nak kata apa dah...mungkinkah retak menanti belah?

Thursday, September 11, 2008

Khas Untuk Ibu Baru...

Resepi

Ayam 2 ekor
Tepung gandum 2 sudu makan

Untuk marinade

Bahan A
5 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
Kunyit hidup 5 cm
Halia 5 cm
Lada merah 2 biji
Lengkuas 5 cm
Serai 2 batang

Bahan B
Sos tiram 4 sudu makan
Sos tomato 4 sudu makan
Sos cili 4 sudu makan
Madu 1 sudu makan
Serbuk kunyit 4 sudu makan
Secubit garam (tak letak pun tak apa!)

Cara-caranya:
1. Seekor ayam dipotong 8/10/12 – ikut kesesuaian. Basuh ayam sebersihnya. Untuk basuhan terakhir masuk tepung gandum dalam air bilasan. Toskan air dari ayam dan simpan ayam dalam bekas untuk marinade.
2. Kupas dan kisar bahan A untuk marinade dengan sedikit air.
3. Masukkan bahan A dan bahan B dan gaul rata-rata bersama ayam dalam bekas marinade.
4. Peram ayam lebih kurang 4 jam. Sebaiknya dalam peti ais.

Untuk barbeque

Sos tomato 1 botol (regular size)
Sos cili 1 botol (regular size)
Sos barbeque 1 botol (regular or garlic flavor)
Minyak masak 4 sudu makan
Serai untuk menyapu sos

Cara-caranya:
1. Sediakan bara arang di barbeque pit. Pastikan jarak bara dan pemanggang yang sesuai.
2. Campurkan sos tomato, cili dan barbeque bersama minyak masak. Kacau rata-rata sehingga minyak masak sebati dengan sos.
3. Letakkan ayam di atas pemanggang. Tunggu sehingga bahan marinade telah kering (bila nampak tanda pemanggang pada kulit ayam) pada bahagian yang kena panggang (side A). Bila sudah kering pusing/terbalikkan side A (side B pulak kena panggang). Sapukan campuran barbeque pada side A.
4. Tunggu sehingga side B sudah kering. Pusingkan side A semula ke bara. Sapu campuran barbeque side B.
5. Ulang aksi 3 dan 4 sehingga ayam masak.
6. Bila dah masak, makan!



Kata saya...cubalah, hingga menjilat jari ke tidak? hi, hi, check dalam computer rerupa ada gambar ayam masa birthday anak saya akhir jun dulu.

Tuesday, September 09, 2008

Satu Ketika Dulu...

The year: summer 1981

Saya baru habis exam kelas musim panas di US, tahun pertama saya di sana. Kalau tak silap awal bulan Ogos atau akhir Julai. Kepala pening, dah tak tidur 36 jam, cramming untuk exam itu. Exam habis pukul 9.30mlm. Malam tu malam hari raya Aidil Fitri. Esok ada gathering pelajar-pelajar Malaysia, sambut raya.

Apa yang saya dan kawan-kawan buat...main videogame sampai pukul 3.00 pagi. Lepas tu masak nasi tomato 2 periuk untuk jamuan makan hari raya tu. Hi, hi, lauk nasib baik pelajar perempuan yang masak. Jamuan makan dibuat selepas solat raya di International Student Center, Manhattan, Kansas. Habis jamuan makan pukul 12 tengahari, kami semua pakat tidur...

Puasa di US pada musim panas agak panjang. Tak silap imsak dalam pukul 4 pagi dan berbuka pukul 8.45 mlm. Petang, saya pergi main bola dengan pak arab, yang kebanyakannya orang Iraq dan Iran. Main bola pukul 5 hingga pukul 7. Balik ke rumah sempatlah masak nasi dan lauk serba sedikit untuk berbuka. Geng main bola, orang Iraq dan Iran dah berbuka lebih awal. Tengah main bola elok aje diorang teguk air, siap cakap,"Dah tiba waktu berbuka kat Iran/Iraq".

Fast forward to 1993

Minggu terakhir bulan Mac. Hari Raya Aidilfitri. Sempat solat raya di Muslim Center, Sheffield, UK. Sempat makan lontong yang member buat untuk open house dia. Terpaksa tukar baju dan bergegas ke kelas. Saya ada kelas pagi pukul 10. Terlewat 20 minit. Selamba aje masuk. Balik rumah dah malam sebab ada kelas petang tu. Tanak pulut kuning, masak kari ayam dan makan sendiri. Housemates, semua pergi open house di serata Sheffield.

Puasa di Sheffield agak pendek sebab jatuh masa winter/spring. Pukul 6 lebih dah berbuka. Imsak pun lewat sebab waktu siang pendek. Tapi sebab sejuk, terasalah laparnya. 2 hari seminggu saya berbuka dalam kelas. Cuma berbekalkan chewing gum atau gula-gula. Masa break, selepas 1 1/2 jam kuliah, baru minum air beli kat vending machine. Apa nak buat. Balik rumah baru boleh jumpa nasi...

Di sana dan di sanalah saya belajar masak pelbagai resepi termasuk nasi minyak, nasi lemak dan mee jawa. Sehingga saya dipanggil Jawa oleh seorang rakan yang saya panggil Man Boroi. Di sana jugalah saya mula bereksperimen dengan resepi barbeque ayam saya yang unik...

Kata saya...saya pernah cater barbeque ayam sebanyak 20 ekor semasa harga ayam RM3.80 sekilo...sekarang nak buat barbeque pun fikir 2 kali

Monday, September 08, 2008

Buffet Ramadhan

Hari-hari sementara menunggu waktu berbuka, saya dengar pelbagai iklan buffet Ramadhan di hotel dan resort. Ada yang berbelas ada yang berpuluh. Yang paling tinggi saya dengar RM60.00 untuk dewasa dan RM30.00 untuk kanak-kanak antara 7-12 tahun.

Saya dah sah tak mampu nak menghabiskan duit untuk berbuka macam tu. Kalau saya pergi kat hotel tu, saya akan terkena sebanyak: RM 60+60+60+30 = RM 210. Itu nasib baik yang 2 orang lagi belum cukup umur.

Hotel akan buat duit betul dengan buffet Ramadhan ni. Mereka tahu bila berbuka dengan minum air 2 gelas dah cukup untuk mengurangkan orang makan buffet mereka. Mungkin tiada orang nak duduk kat situ sampai habis tempoh makan. Ye lah orang nak balik pergi sembahyang maghrib, sembahyang isyak dan tarawih. Mana nak sempat berlenggang kangkung macam waktu biasa.

Tak tau nak katalah samada RM60 tu membazir ke tidak sebab rate hotel ni lain sikit. Orange juice satu gelas besar tu dah RM6-10. Mee goreng mamak pun RM10. Cake 1 potong dah RM5. Betul lah kut ikut rate dia. Kalau orang mampu tak kisahlah kan, kan, kan. Saya tak mampu.

Kata saya...saya lebih selesa berbuka di rumah, senang nak makan, senang nak sembahyang, tak perlu nak berlumba-lumba dan berebut-rebut.

Sunday, September 07, 2008

4 DPMs?

Alahai ada pulak makhluk yang nak minta adakan sampai 4 Timbalan Perdana Menteri. 1 bagi kaum cina, 1 bagi kaum india, 1 bagi Sabah dan 1 bagi Sarawak. Apa kes ni. Kenapa tak minta 1 DPM untuk setiap negeri dan bangsa? Apa rasional untuk kenyataan ini?

Itu hari ada cakap, perlunya mewujudkan bangsa Malaysia. Sekarang dah mengelegak politik perkauman. Yang ini tuduh yang itu cakap salah. Yang ini minta yang itu minta maaf. Yang ini tak mau minta maaf, minta yang itu minta maaf. Hampes semuanya...

Kalau ada 4 DPM pun, lagi pening PM nak buat decision. Setiap DPM memasing nak menangkan orang dia saja. Tak kan habis isu perkauman dan kenegerian ni.

Walaubagaimanapun saya bersetuju kerajaan perlu lakukan sesuatu terhadap Sabah dan Sarawak. Setelah 51 tahun merdeka dan 45 tahun bersama mewujudkan Malaysia, banyak lagi penempatan di sana masih belum menerima infrastruktur yang sempurna.

Nak salahkan siapa? Salahkan semua. Orang di Semenanjung yang tak prihatin terhadap keperluan di Sabah dan Sarawak. Orang Sabah dan Sarawak yang gagal membuat sebarang tekanan terhadap orang Semenanjung sehingga kini. Well, better late than never!

Seperti entry saya berkaitan pasca-PRU12 dahulu, Sabah & Sarawak will be the king-maker. Dari dulu hingga sekarang, kecuali semasa kes PBS, BN boleh bergantung kepada lebihkurang 50 kerusi parlimen. Saya pernah berkata pembangkang tidak akan berjaya memerintah kecuali mereka boleh memecahkan kekukuhan kesetiaan pengundi kepada BN. Walaubagaimanapun kita tunggu samada MP Sabah dan Sarawak setia pada BN atau tidak.

Kalau ada yang setuju dengan cadangan ini, saya ada 1 soalan. PM orang melayu MUNGKIN dari Semenanjung, 4 TPM MUNGKIN 2 bukan melayu, 2 melayu. Apa kata PM meninggal dunia, dilantik PM melayu dari Sabah atau Sarawak, boleh semua terima? Atau worst case scenario, boleh ke dilantik PM bukan melayu?

Kata saya...jangan kacau saya sudah!!!

Media Oh Media

Ini berita yang dipaparkan oleh media on-line berkenaan kenyataan TSAKI berkenaan mangsa ribut di Selat Klang dan Rantau Panjang.

Dari Utusan Malaysia, di sini.

Dari the New Straits Times, di sini.

Dari the Star, di sini.

Kata saya...memang hampes satu akhbar ni. Agaknya, kalau bertukar kerajaan 16 September ni, apa akan jadi dengan akhbar ni? A = Tukar angin? B = Kena haram? C = Bungkus?...D = hi, hi, all of the above.

Friday, September 05, 2008

Cuti Lagi?

Alangkah seronoknya jadi MP sekarang! Dahlah dapat cuti berbayar dengan keluarga kat oversea. Sekarang dapat cuti lagi kat oversea atas nama lawatan sambil belajar. Tak tahulah berapa ramai yang akan pergi.

Kalau ikut jumlah MP BN ada 140 orang, tolak menteri dan timbalan menteri 65 orang, tinggal 75 orang BNBBC. Katalah semua pergi atas arahan. Lawatan sambil belajar tu dijadualkan pada 7 September hingga 19 September. Lama tu hampir 2 minggu. Berapa banyak agaknya duit rakyat dihabiskan untuk tujuan ini?

Tiket kapalterbang pergi-balik dah tentu first class, kalau tak pun business class. RM????? x 75.
Elaun makan untuk 13 hari tu. RM???? x 75 x 13.
Hotel, dah tentu duduk bilik single. RM???? x 75 x 10/11/12/13.
Apa lagi, ek?

YAB MP Pn mengatakan dia akan meluluskan cadangan lawatan itu jika lawatan itu mempunyai aktiviti yang konstruktif. Khabarnya tujuan lawatan untuk MP kerajaan belajar teknologi terkini dalam pertanian dan industri makanan. Ek, alahai tak kan nak suruh semua pandai tentang benda tu. Kalau macam tu, apa kata panggil saja pakar dalam bidang tersebut ke Malaysia. Suruh MP semua wajib hadir seminar pertanian dan pemakanan ni selama 2 minggu. Jimat sikit dari semua pergi melawat ke luar.

YAB, boleh bagitau berapa bajet yang nak diluluskan? Agak-agak dengan bajet tu, boleh sponsor rumah anak yatim makan sedap-sedap untuk 6 bulan tak?

Kata saya...Kan itu hari sudah cakap kata suruh rakyat berjimat? Denitely you guys NOT WALK THE TALK. Hampes...

Jawi

Maaf, ini bukan posting tentang Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Maaf, ini bukan posting tentang masuk jawi.

Ini posting tentang tulisan jawi.

Cerita ni sebenarnya sudah lama, tetapi menjadi hot semula baru-baru ni. Ini gara-gara sesetengah kaum di Malaysia ni tidak bersetuju apabila tulisan jawi diletakkan bersama tulisan rumi untuk nama jalan. Mereka pulak buat tanda jalan guna bahasa ibunda mereka dan buang tulisan jawi.

Kalau tak silap agenda yang sama telah dibuat pada akhir tahun 1980an. Nama jalan dan kampung di beberapa negeri telah ditulis dengan tulis jawi. Ini untuk mempromosi golongan akan datang dengan tulisan jawi.

Hasilnya?

Papan tanda jalan dan nama kampung telah di-vandalized-kan. Samada dipatahkan, dicabut atau disembur cat hitam. Tak tau siapa yang melakukannya. Yang sahnya komen-komen yang dibuat mengatakan penggunaan tulisan jawi adalah untuk mempengaruhi golongan muda memeluk Islam. Haaa?

ISLAMOPHOBIA!

Takkanlah untuk belajar jawi kena masuk Islam. Yang Islam sekarang ni pun ramai dah tak tahu jawi. Dah tu yang belajar bahasa arab tu pun kena masuk Islam ke?

Dah teruk sekarang ni. Ramai budak sekolah dah tak boleh baca jawi. Apa nak jadi dalam masa 10, 20 tahun lagi. Silap-silap cikgu pun tak boleh baca sama. Entahlah...

Kata saya...hi, hi, saya kena baca taklik nikah yang ditulis jawi di Kedah dulu...

Wednesday, September 03, 2008

Free Electricity, Anyone?

Dalam pembentangan bajet 2009, YAB MP KB menyatakan penggunaan elektrik percuma bagi mereka yang menggunakan elektrik kurang dari RM20.00. Anda faham ke takrifan RM20.00 itu?

Kadar tarif elektrik adalah mengikut kadar lama: RM0.218 bagi setiap kW.hr. Untuk itu bagi dapat elektrik percuma ini, pelanggan perlu menggunakan TIDAK LEBIH dari 91.743 kW.hr sebulan. Atau TIDAK LEBIH dari 3.0581 kW.hr sehari.

Apa maksud semua itu?

Lampu flourescent: 40 W
Kipas: 75 W
Peti Ais: 120W
Mesin basuh: 320 W
TV: 150 W

Katalah dalam sehari secara purata kita gunakan:
Lampu sebanyak 5 biji selama 4 jam: 40 x 5 x 4 = 800 W.hr
Kipas sebanyak 3 biji selama 6 jam: 75 x 3 x 6 = 1350 W.hr
Peti Ais 1 buah selama 24 jam = 120 x 1 x 24 = 2880 W.hr
Mesin basuh 1 buah selama 0.5 jam = 320 x 1 x 0.5 = 175 W.hr
TV sebanyak 1 buah selama 4 jam = 150 x 1 x 4 = 600 W.hr
Jumlah penggunaan elektrik sehari adalah = 5805 W.hr = 5.805 kW.hr
Jadi untuk sebulan = 5.805 x 30 = 174.15 kW.hr
Perlu bayar = 174.15 x 0.218 = RM37.965

Hi, hi, ini cuma anggaran sahaja. Yang tak pasti tenaga untuk peti ais tu, kalau ikut internet 600 W, tapi saya tengok kat peti ais saya antara 110-120, ada beberapa nombor, tak tahu yang mana satu.

Kalau nak jimat, tutup aje peti ais. Basuh baju seminggu sekali. Pergi tengok TV kat kedai mamak. Siang, buka semua pintu dan tingkap, biar cahaya dan angin masuk. Buka lampu bila dah tak nampak apa dalam rumah. Insya Allah mungkin anda TAK perlu bayar elektrik seperti yang dikabargembirakan itu.

Sekarang anda semua dah tahu macamana nak kira penggunaan tenaga ni, pandai-pandai kira berapa tenaga yang anda guna tiap hari. Macam orang diet, kira berapa kalori yang dia makan...

Update: Kadar baru TNB
Kurang dari 400 kW.hr
1-200: RM0.218 / kW.hr
201-400: RM0.345 / kW.hr
Lebih dari 400 kW.hr
1-500: RM0.30 /kW.hr
501-600: RM0.39 / kW.hr
601-700: RM0.40 / kW.hr
701-800: RM0.41 / kW.hr
801-900: RM0.43 / kW.hr
>900: RM0.46 / kW.hr

Kata saya...nak tahu jugak macam mana diorang ambil kira RM20.00 tu. Harap-harap jangan le main ambil nombor tanpa sebarang kajian.

Tuesday, September 02, 2008

Al-Fatihah

Saya baru baca di New Straits Times dan Berita Harian on-line tentang kemalangan kawan saya di UTM dulu malam semalam. Beliau kehilangan 3 anak (2 lelaki 1 perempuan) sekali gus. Yang terselamat cuma yang bongsu, perempuan.

Sebenarnya saya juga mengikuti jalan tersebut malam semalam. Apabila saya tiba di simpang Bandar Muadzam lebih kurang pukul 10.40pm sebuah ambulan telah membunyikan siren memotong laju semua kenderaan. Saya dah agak ada kemalangan. Apabila saya tiba di tempat kejadian lebihkurang 35 km dari simpang tadi, saya lihat kenderaan parkir di kedua-dua belah jalan, lebih kurang 100 meter. Saya tak berhenti sebab saya nak cepat sampai ke Melaka.

Saya cuba cari berita di surat khabar dan juga online sepanjang hari tetapi tiada yang melaporkan sehinggalah saya baca edisi online selepas terawih tadi. Begitu sedih saya bila mendapat tahu kawan saya yang kemalangan. Dalam berita mengatakan beliau pensyarah UiTM, sepatutnya UTM @ Skudai. Saya rasa beliau sekeluarga pun macam saya, balik ke kampung (beliau di kuantan) untuk menyambut puasa. Johor pun cuti weekend 4 hari.

Kata saya...semoga beliau tabah menghadapi dugaan ini. Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali. Al-Fatihah...

One Down

Hari ini dah 2 September. Deadline untuk konsortium 1 untuk ambil-alih kerajaan negeri Perak dah berlalu. Tiada apa yang berlaku. Konsortium 2 masih pegang kerajaan. DSTRG pun tak nak komen.

Kita tunggu 2 minggu lagi, 16 September. Tengok apa jadi. Jadi ke tak jadi. DSAI ada komen ke tak ada komen.

Kalau tak jadi, apa maksud sebenarnya? Tolonglah terangkan.

Kalau ikut mantan memanda kalau tak jadi tu maknanya ada pihak lain yang bid lagi tinggi...atau...mungkin ADUN/MP masih ada integriti kut...atau memang diorang nak join pihak yang menang...alah diorang ni pun macam peminat bola Malaysia yang sokong team BPL yang tengah top aje, macam sekarang ni semua mengaku peminat MU.

Kata saya...I'm LFC supporter since 1975, hi, hi, sebab team bola sekolah dulu used to wear all-red, sebab nak lawan koleq satu lagi tu tiru MU (ek eleh...)

Saturday, August 30, 2008

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

Kepada yang terbaca blog ini saya mengucapkan:

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga kita dapat menghayati bulan mulia ini dengan memperbanyakkan ibadah dan sedekah.

Kata saya...nak balik kampung jap lagi nak sambut puasa di sana. Nak mandi di pantai sebelum puasa. Oh ya, juga Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 51. Merdekaaaaaaaaa!

Lompat Apek Lompat: The Sequel

Ikrar taat setia telah dibuat oleh 20 dari 54 MP Sabah dan Sarawak. Tak taulah yang 34 lagi tu. YAB MP KB secara sinis telah memberi amaran jangan merampas mandat rakyat dalam PRU12 di akhir sesi pembentangan bajet 2009.

Sudahkah ada rasa kebimbangan di hati memasing khasnya pak menteri yang akan hilang segala keistimewaan kelak? Hi, hi macam bekas KM PP yang mengatakan beliau kekok memandu di PP sebab dah lama tak memandu sendiri.

Saya tak dengar pulak amaran yang sama diberikan apabila YB DSMTRG menetapkan 31 Ogos tarikh mantan kerajaan akan memerintah Perak semula.

Yang saya pelik, dah tahu ura-ura ada MP nak berpaling tadah, kenapa akta anti-lompat tidak dibawa ke Parlimen terlebih dahulu. Yang nak diluluskan sangat adalah Akta DNA. Tak taulah, mungkin ada muslihat tertentu. Tapi, apa kata kalau akta yang nak dibentangkan tak sempat diluluskan, kerajaan dah tumbang dek kerana apek-apek dah melompat. Masih relevan lagi ke Akta DNA tu dibentang secara tergesa-gesa?

Saya akui Akta DNA tu penting, tetapi janganlah dibuat secara adhoc! Cuba kira berapa lama dari tarikh keengganan YB MP PP memberi DNA secara sukarela dengan tarikh pembentangan Akta DNA itu. Biarlah akta tersebut dibuat secara rasional dengan meneliti pelbagai implikasi yang akan timbul.

Kenapa agaknya Akta Anti-Lompat tidak dibuat? Mungkinkah kerana dirasakan, it goes both ways? Alah macam kes Perak dan Selangor...ada ura-ura sebuah parti nak disogok dengan jawatan MB bagi kedua-dua negeri tersebut. Juga semasa Kelantan selepas PRU11.

Agaknya (hi, hi, banyaknya mengagak) lepas apek-apek melompat ke konsortium 2, mereka boleh melompat semula ke konsortium 1. Sebab tak ada akta. Peduli apa agaknya, bak kata mantan memanda, bergantung kepada who's the highest bidder!

Kalau macam ni tak lama lagi huru hara lah Malaysia macam kata YAB KM M. Tapi bukan sebab YB MP PP tapi sebab apek-apek ni!

Kalau ada apek melompat menyebabkan kerajaan sekarang tidak lagi mempunyai majoriti seeloknya dibuat pilihanraya sekali lagi. Bukan apa, takut nanti bukan apek aje yang melompat, dengan parti-parti pun melompat. Dah dengar ura-ura dua parti yang membayangkan keluar dari konsortium 1. Itu belum kira yang dah terang-terang kata nak sokong undi tak percaya.

Kata saya...Apek nak lompat ke atau Luncai yang nak lompat. Nak melompat tu jangan sampai terseliuh kaki pulak. Silap melompat patah kaki jadi kes naya...

Friday, August 29, 2008

Antara Dua

Hari ini 29 Ogos.

2 hari lagi 31 Ogos. Itu hari DSMTRG kata kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan sekarang akan terburai pada tarikh tersebut.

Agaknya itu sebab 2 EXCO negeri Perak kena tahan BPR.

18 hari lagi 16 September. Itu hari dan dah banyak hari DSAI mengatakan kerajaan Malaysia yang baru akan dibentuk.

Agaknya itu sebab HANYA 20 dari 54 MP Sabah dan Sarawak buat sidang akhbar menyatakan taat setia.

Kata saya...hi, hi, whatever will be, will be...janji bonus tu diorang bayar bulan September dan Disember ni!

Puspakom Punya Hal

Sedikit masa dulu ada ura-ura mengatakan semua kereta second-hand yang hendak dijual perlu mendapat kelulusan pemeriksaan dari Puspakom. Saya pelik apabila Puspakom mengatakan mereka bersedia dan berkeupayaan untuk memberi perkhidmatan tersebut. Pada masa itu ramai tuanpunya teksi, lori dan bas merungut kerana kelambatan perkhidmatan yang dibuat oleh Puspakom. Saya tak pasti samada cadangan itu diterimapakai oleh kerajaan atau tidak.

Bila tengok media massa dua hari ini barulah saya faham mengapa Puspakom beria-ia benar memberi kesanggupan untuk menyediakan perkhidmatan tersebut. Masyuuuuuuuuk! Jika inilah mentaliti pegawai-pegawai yang bertanggungjawab memang sahlah mereka tak bertanggungjawab. Agaknya kes-kes bas brek "tak makan", asap hitam dan sebagainya itu dianggap remeh. Saya masih ingat kes 2 pelajar UTeM yang meninggal dunia akibat bas terbabas kononnya kerosakan brek, pada hal brek baru diservis. Agaknya kalau orang Puspakom buat kerja betul-betul boleh tak mereka "detect" lebih awal kerosakan tersebut?

Kata saya...lepas ni kat mana pulak nak pergi, ek? Carilah kat lubuk jerung pulak...kalau ikan bilis dapat RM50,000 sebulan, jerung apa lagi?

Thursday, August 28, 2008

Oh My Liverpool FC...

Aiyooo, sudah 3 kali engkau buat aku sakit jantung! First leg kat Standard Liege engkau cuma boleh seri saje. Itu pun nasib baik Reina dapat save penalty. Lawan Middlesborough pun sama. Last 10 minutes baru nak equalised. Itu pun deflected shot, and then saved by SG. Last night lagi sekali engkau buat aku tak senang duduk. Last 2 minutes of extra time baru DK scored.

Hi, hi, last saturday memang dah tukar channel bila tengok Middlesborough scored. Bila tengok sunday paper baru tahu Liverpool menang.

Kata saya...sampai sekarang tak boleh lagi beli replika jersey Liverpool...bukan sebab tak ada duit, sebab penajanya lah, C*******g

Tuesday, August 26, 2008

Tak Ada Peri Kemanusiaan

Alangkah mangkuknya bila sebuah syarikat konsortium pembalakan di Sarawak telah memberi "bantuan" 2 bungkus garam bagi setiap mangsa kebakaran rumah panjang Ulu Tatau di Sarawak. Wei, mangkuk! Kalau nak menyakitkan hati orang baik tak payah bagi bantuan! Sedarlah sikit bila nak membalak tu kena masuk hutan, dalam hutan macam-macam boleh berlaku. Patuk ular, baham harimau, gigit jengking. Kena macam tu, siapa nak tolong engkau, kalau tak diorang tu...

Mana dia orang-orang politik yang biasanya cepat-cepat nak tumpang publisiti murahan dengan memberi pelbagai derma kat mangsa kebakaran. Siapa dia wakil rakyat tempat ni? Tak kiralah ADUN ke MP ke. TV station yang banyak-banyak tu, apa kerja korang. Pergi interview ADUN dan MP. Tak buat kerja langsung korang semua. Ya, korang semualah, pemberita TV, ADUN dan MP.

Nampak gayanya kena tunggu pilihanraya lagi. Saya rasa eloklah dibuang semua ADUN dan MP yang mewakili kawasan ni dalam pilihanraya akan datang. Tak kisah dari parti mana pun. Kebakaran berlaku 23 Ogos, sampai sekarang korang tak buat apa. Tak sensitif langsung!

Kata saya...syarikat tu memang PERUT HIJAU, eloklah digantung lesen pembalakan syarikat ni.

Jangan Terlalu Bagus

Cerita seorang budak berumur 9 tahun yang dikatakan terlalu bagus untuk bermain di liga besbol remaja di Connecticut, USA. Dia telah berjaya melontar besbol selaju 40 b/j (64 km/j). Pegawai liga remaja tersebut telah tidak membenarkan beliau bermain sebagai pelontar.

Adakah satu kesalahan jika budak itu, Jericho, bermain begitu baik? Adat pertandingan adalah untuk menang. Kalau kita ada senjata terbaik, kita gunakan. Kenapa pula perlu disimpan? Ada ke dalam undang-undang permainan peringkat umur mengatakan kalau dah terlalu bagus tak boleh bermain?

Nak kata orang US ni pandai, benda macam ni pun boleh jadi kontroversi. Ni orang dewasa yang lebih-lebih agaknya. Bebudak kecik tu buka tahu apa-apa. Tengok ajelah apa-apa cerita tentang sukan kanak-kanak, mak bapak yang too excited sampai hysterical!

Kata saya...biarkan diorang bermain sesama diorang. Bebudak tu baru umur 9-11 tahun. Let them enjoy being kids...orang tua-tua jangan nak menyibuk!

Monday, August 25, 2008

Selingan: Mike the Headless Chicken

Pernah dengar/baca cerita Mike the Headless Chicken? Cerita seekor ayam yang dipotong kepala untuk dijadikan makan malam. Kepalanya putus tetapi masih hidup selama 18 bulan.

Agak-agak kalau manusia, boleh ke tidak, terus hidup macam Mike...

Kata saya...berpantang mati sebelum ajal.

Sunday, August 24, 2008

Soalan Kepada Menantu

Terbaca di media on-line bahawa si menantu mengatakan beliau bukan sebarang menantu, beliau dengan bangganya mengatakan beliau menantu seorang ulama.

Ok, that's cool. Saya ada satu soalan. Harap menantu boleh jawab.

Kalau pak mertua seorang ulama, kenapa kedua-dua isteri pak mertua dan anak pak mertua (isteri si menantu) tidak bertudung? Adakah dalam agama pak mertua ulama tu mengatakan kewajipan bertudung? Atau beralasan yang sama macam bekas seorang polis tu yang beri komen tentang tak jumpa ayat Al-Quran tentang haramnya judi?

Tolonglah jawab menantu...

Kata saya...Islam adalah agama untuk semua umat akhir zaman, kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jangan sekadar mengaku ulama padahal ular-dalam-semak.

Tuu Diaaa...

Pagi tadi pergi Tesco.

Nak beli ayam, ikan, sayur-sayuran dan keperluan rumah yang lain.

Terlihat tanda harga ayam. Ada dua...

Satu RM6.99 sekilo dan satu lagi RM7.59 sekilo.

*****************************

Semalam isi minyak dengan harga baru, RM2.55 seliter.

Isi penuh, RM66.00. Dulu RM70.00. Dulu-dulu RM45.00.

Ada apa-apa perbezaan?

*****************************

Semalam juga ke Pejabat Pos. Claim rebate minyak.

Untuk kereta Kancil dan Gen 2. Saya hanya mampu kereta nasional, tak mampu beli mercedez E230 Kompressor.

Hi, hi, dapat duit raya RM1250.00.

*****************************

Kata saya...I rest my case!

Saturday, August 23, 2008

Itu Hari Cakap...

Itu hari cakap...
parlimen tidak akan dibubar dalam tempoh terdekat,
...tak lama kemudian parlimen dibubarkan.

Itu hari cakap...
harga minyak tidak akan dinaikkan dalam tempoh terdekat,
...tengok-tengoknya minyak naik 70 sen.

Itu hari cakap...
tiada perubahan harga minyak sehingga 1 September,
...hi, hi, hi hari ni harga minyak turun 15 sen........saja.

Kenapa, ye?

Kata saya...nasib baik tak isi minyak semalam,
hi, hi, tank dah empty...

Friday, August 22, 2008

Baru Tahu

Dalam Utusan Malaysia hari ini YAB MP KB mengatakan beliau tak puas hati mengenai perkhidmatan rel di ibu kota. Hi, hi, beliau baru tahu? Jadi, apa yang telah berlaku dengan penjimatan wang subsidi minyak yang dikatakan akan digunakan untuk memperbaiki pengangkutan awam. Dah berapa juta yang dijimatkan digunakan untuk tujuan tersebut. Menteri Pengangkutan sila beri jawapan...

Dalam entri saya berkenaan pengangkutan awam, sebaik-baik cara untuk pak menteri tahu masalah rakyat ialah naik tren/komuter masa peak hour. Jadi, baru YAB tahu betapa sengsara rakyat selama ini. Jangan hanya menyuruh rakyat guna pengangkutan awam tapi tak nak ambil tahu situasi sebenar unit tersebut. Itu baru kena berdiri, belum lagi bertolak-tolak nak naik. Cuba pak menteri naik masa waktu balik pulak. Pak Menteri Pengangkutan dah naik tren waktu ni tak? Oh...agaknya Pak Menteri Pengangkutan naik kapalterbang dan kereta guna drebar saja, tak guna tren/komuter...

Hi, hi, si Pengurus Besar Komunikasi RapidKL, Ebi Azly Abdullah boleh bagi alasan, pihaknya sudah lama menyedari masalah kekurangan kapasiti tren LRT dan pada 2006 telah menempah sebanyak 22 tren empat gerabak yang dijangka memasuki operasi pada akhir 2009. Oh, come on...tak kan tak boleh ambil tren tu secara berperingkat, En. Ebi oooooiiiiiii. Tak kan nak tunggu 22 tu siap baru nak dihantar. Sekurang-kurangnya masalah itu boleh diselesai secara beransur. Nak tunggu 2009 rakyat jadi mangsa. Lebih baik resign saja kalau basic management pun tak tahu! Pak Menteri Pengangkutan tahu ke hal ini?

Kata saya...eloklah Pak Menteri Pengangkutan buat kerja untuk negara sikit bukan hanya buat kerja untuk diri sendiri saja...Hah, kan dah kena dengan YAB MP KB...tak tahulah kalau tak faham lagi...

Thursday, August 21, 2008

Inflasi

Saya masih ingat bila istilah ini masuk dalam kamus saya, awal tahun 70an. Masa itu harga gula 25 sen sekati (hi, hi, ingat lagi ke unit ni?). Bila mula inflasi harganya naik ke 40 sen, kemudian 50 sen dan 65 sen. Saya tak tahu bila penggunaan kilogram digunakan berapa harga sekilo. Yang dah tentu bila dah naik tu, harganya dah tak turun-turun.

Hari ini dalam the STAR kerajaan memaklumkan tiada harga minyak akan dibuat sehingga harga baru diumumkan pada 1 September. Yang saya nak tengok pengaruhnya terhadap harga makanan, tak kiralah samada bahan mentah dan yang dah dimasak.

Apabila saya baca berita di US mengenai perkara ini, nampak gayanya tak ada harapan nak tengok harga makanan untuk turun. Kalau harga makanan tak turun, bila ada kenaikan harga minyak yang terdekat (selepas kerajaan umum kenaikan harga minyak 1 September), harga makanan akan terus naik. Kalau dulu air secawan RM1, kini dah RM1.20, saya rasa akan naik RM1.50.

Perlu diingat bulan puasa akan bermula pada 1 September. Sebarang keputusan kerajaan akan meletakkan paras harga makanan masih sama atau terus naik. Tau ajelah bila bulan puasa, mulalah bermacam alasan untuk menaikkan harga bahan mentah. Yang saya nak tengok, khasnya harga ayam, kelapa, gula dan tepung akan melambung naik ke tidak.

Kata saya...bercakap fasal bulan puasa, puasa tahun lepas dah ganti, belum? Ada 9 hari aje lagi...31 Ogos dah hari syak...

Tuesday, August 19, 2008

Tarikan Pelancong

Tak pernah saya dengar dan lihat mana-mana tempat yang mengalami "natural disaster" ingin dijadikan sebagai tarikan pelancong. Itulah yang dicita-citakan oleh kerajaan negeri Pahang apabila ingin menjadikan banjir yang sering melanda kawasan Sungai Lembing akan dijadikan produk tarikan pelancongan baru di Pahang. Antara tempat-tempat yang boleh dilawati ketika banjir ialah pusat-pusat pemindahan sementara mangsa banjir dan bilik-bilik gerakan.

Saya tak faham semasa orang ramai berperasaan gundah gulana apabila dipindahkan dari rumah kediaman mereka, mereka pula jadi bahan tontonan pelancong. Dalam keadaan yang serba tidak terurus oleh ketidakselesaan tempat perpindahan itu, ada pula yang cuba mengaut keuntungan. Dalam kesibukan bilik gerakan untuk memantau pemindahan mangsa banjir boleh pula ada masa untuk menyambut pelancong.

Saya rasa SUK negeri Pahang ini tak pernah dipindahkan ke tempat pemindahan banjir. Mungkin masa banjir besar di Kuantan tahun 2001 dulu dia tak kena. Itu saya tak tahu. Apa yang saya tahu masa saya balik dari cuti hari raya Aidilfitri 2001, saya cuma tengok rumah saya ditelenggami air sedalam 18 inci. Saya tak pergi pusat pemindahan sebaliknya ke rumah emak saudara untuk beberapa hari sehingga banjir surut dan bekalan letrik dan air pulih. Saya tahu kalau saya ke pusat pemindahan anak-anak saya tidak selesa. Hi, hi, nak duduk hotel saya tak mampu.

Saya fikir lebih baiklah kerajaan negeri Pahang memikirkan bagaimana nak mengurangkan ancaman banjir ini dari cuba menganjurkan kerja yang pelik-pelik sehingga menjejaskan usaha menyelamat dan juga keselamatan orang ramai - tak kiralah yang dipindahkan atau yang datang jadi pelancong.

Kata saya...masih banyak lagi tempat yang boleh dijadikan tempat tarikan pelancong kat negeri Pahang tu, cuba-cubalah buat kerja sikit...

Monday, August 18, 2008

Ganjaran 1 Juta

RM1 juta, itulah ganjaran yang akan diberikan kepada atlet Malaysia yang berjaya membawa pulang sebutir pingat emas olimpik. Malaysia nampaknya gagal lagi apabila harapan emas gagal di halangan akhir gelanggang badminton. Ganjaran itu telah dimaklumkan kepada umum oleh kerajaan Malaysia.

Sayangnya acara yang boleh diungguli oleh atlet Malaysia tidak disenarai sebagai acara olimpik. Kalau squash atau pun mungkin juga bowling dijadikan acara olimpik, buat masa ini Malaysia bakal berupaya mencapai hajat tersebut.

Michael Phelps, perenang USA berusia 23 tahun, telah diberikan US1 juta atas kejayaan beliau merangkul 8 pingat emas di sukan olimpik Beijing. Wang tersebut telah ditawarkan oleh penaja beliau untuk mengatasi rekod Mark Spitz 7 pingat emas. Saya ulang sekali lagi DITAWARKAN OLEH PENAJA beliau, Speedo.

Saya masih tidak faham kenapa sebarang anugerah kewangan kepada atlet Malaysia biasanya akan datang dari pihak kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri. Lihat sahaja nanti siapa menang Piala Malaysia. Masing-masing akan ternanti-nanti apa kerajaan nak beri sebagai ganjaran, bukannya persatuan bolasepak negeri.

Perlu diingat kerajaan telah membelanjakan berjuta ringgit untuk meningkat prestasi atlet-atlet ini. Saya akui mereka perlu diberi ganjaran atas segala kejayaan dan sebarang "sacrifice" yang telah mereka berikan. Cuma saya tidak bersetuju wang kerajaan, yang bermakna wang rakyat, telah digunakan untuk tujuan tersebut. Kenapa tidak penaja yang turun padang menaja wang ganjaran tersebut? Saya rasa penaja akan dapat potongan cukai hasil dari tanggungjawab tersebut.

Begitu juga semasa pembinaan stadium atau tempat sukan yang baru. Contohnya, untuk Sukan Malaysia yang dijalankan 2 tahun sekali. Saya sangat tertarik kerjasama syarikat gergasi di US semasa sukan olimpik di Los Angeles 1984. Mereka telah menaja pembinaan stadium baru bagi sukan tersebut. Sebagai ganjaran stadium itu telah dinamakan dengan nama syarikat tersebut.

Melaka akan jadi tuanrumah sukan Malaysia 2010. Baru-baru ini telah memohon peruntukan tambahan untuk membina venue sukan yang baru. Mungkin Melaka boleh menggunakan pendekatan ini untuk memenuhi keperluan itu. Mungkin sebagai ganjaran potongan cukai boleh diberi sebagai pro-rata untuk tempoh 3-5 tahun.

Kata saya...sudah sampai masanya persatuan sukan kita diurus secara profesional. Persatuan tidak sepatutnya bergantung kepada ikatan politik untuk mendapatkan peruntukan kewangan. Persatuan dan juga pemain perlu tahu menjana kewangan sendiri.

Friday, August 15, 2008

Dari Pandangan Bukan Bumiputera

Saya terjemahkan dari The STAR (ms N55 15.08.2008) via China Press...

Presiden MCA DS Ong Ka Ting mengatakan, berdasarkan prinsip kemasukan pelajar bukan bumiputera akan melahirkan budaya akademik dan persaingan pelajar yang positif, kerajaan secara rasional dan objektif perlu memikirkan samada UiTM perlu dibuka kepada bukan bumiputera.

Beliau seterusnya berkata MCA tidak bersetuju dengan kenyataan UiTM semestinya perlu terus dimonopoli oleh bumiptera.

Selanjutnya beliau berkata, MCA terlibat dalam polisi strategik kerajaan yang memperuntukkan tempat sebanyak 10% dalam kursus matrikulasi dan MRSM. Pertukaran polisi adalah satu permulaan yang baik dan kita perlu mempertimbangkan kemasukan ke UiTM dibuka pada komuniti lain. Semua yang berkaitan perlu melihat isu ini dengan pandangan terbuka dan secara objektif dan tidak menjadikannya sebagai isu perkauman. Ianya tidak akan menolong kepada penyatuan negara jika kita terus merayu berdasarkan sentimen perkauman.

Saya tak nampak perbezaan antara saranan Dr. Halimah, YAB TS Khalid dan Ong Ka Ting. Anda nampak? So, apa yang nak dikecohkan sangat, sampai berarak ramai-ramai hingga ponteng kelas satu hari...

Mungkin juga anda semua boleh lihat this s****ss comment dari STAR online...tak faham macamana komen macam ni pun boleh lepas dari moderator. Alahai...kalau komen kat blog RPK kecoh sampai masuk court, yang ini boleh sedap aje terlepas for the world to see...

Kata saya...hi, hi, dalam maksudnya di sini...lu fikirlah sendiri...

Lebih Umur & Kurang Umur

Semalam baca the STAR cerita tentang bolasepak bawah 15 anjuran Persatuan Bolasepak Vietnam. Setelah dimalukan apabila pasukan mereka digantung kerana menggunakan pemain lebih umur dalam pertandingan bawah 16, mereka telah bertindak untuk memeriksa dokumen pengenalan dan secara fizikal untuk melihat samada pemain-pemain itu benar-benar bawah 15.

US, yang kalah kepada China dalam acara artistik gimnastik perempuan semalam kerana kesilapan gimnas mereka, telah cuba mengungkit mengatakan gimnas China belum cukup umur 16 tahun. Segala berita on-line dicari dari internent. Tak tahulah samada cerita tu betul atau tidak. tapi saya rasa mereka adalah "Just Another Sore Loser". Agaknya kalau mereka menang tak timbul cerita ni.

Kata saya...yang saya tahu umur pencen saya kurang dari 16 tahun...itu pun dah extend...

Wednesday, August 13, 2008

Mahasiswa dan AUKU

Semalam mahasiswa UiTM berarak dari Dataran Shah Alam ke pejabat SUK dan berdemontrasi selama sejam untuk menyerahkan memorandum kepada MB Selangor yang mengeluarkan kenyataan meminta UiTM membuka kuota sebanyak 10% kepada bukan bumiputera.



1. Sejak bila pulak mahasiswa dibenarkan berarak dan berdemontrasi. Tak salah ke mengikut AUKU? Hi, hi, diorang ni ada minta permit polis tak?

2. Bukan ke YAB TSK hanya mengulas kenyataan oleh pandangan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali? Kenapa Dr Halimah tidak dikritik sama? Hi, hi, tak perlu jawablah...

3. Adakah UiTM telah membuka pengajiannya untuk pelajar-pelajar luar negara bagi program pascasiswazah? Kalau dah buka, berapa peratus pelajarnya? Kalau tak buka, okay tak perlu jawab.

Walau apa pun alasan saya imbas bayangan yang dibuat oleh Tan Sri Abdul Rahman Arshad dalam Utusan Malaysia pada 21 Julai 2008 berkenaan perkara ini, yang mengatakan:

"Mungkin selepas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), timbul pula soal biasiswa (Jabatan Perkhidmatan Awam). Jadi, tidak mustahil lepas ini, ada yang minta UiTM buka pintu kepada bukan Melayu pula."

Ya...MRSM telah dibuka kepada bukan bumiputera, biasiswa JPA dah jadi 55:45 dan kini orang melayu sendiri meminta buka UiTM untuk bukan bumiputera.

Kata saya...agaknya orang melayu dan bumiputera akan tinggal macam tanah melayu yang hanya ada nama keretapi tanah melayu...

Monday, August 11, 2008

Padi, Padi...Semerah Padi

Kisah si Penasihat dituduh melakukan perlakuan luar tabii secara paksa. Maka si YAB MP KB mengatakan si pengadu perlu diberi keadilan. Ada orang kata sipengadu tu "straight" orangnya. Malah situnang pun menyokong beliau.

Bila dihadapkan ke mahkamah lain pula jadinya. Kononnya dituduh di bawah seksyen 377B yang mengatakan melakukan perbuatan luar tabii ini secara suka sama suka. Peliknya sipengadu tidak pula dituduh. Maka berkata YB MP KT mengatakan sipengadu tidak dituduh sebab dia yang mengadu.

Alahai...kedua-duanya beragama Islam, mengapa tidak diadili secara Islam. Mungkin pak menteri lupa hukum undang-undang Islam. Yang mengadu dan yang diadu akan dihukum mengikut Islam walaupun suka sama suka. Pak menteri tak tengok ke cerita Semerah Padi lakonan Allahyarham P Rammlee. Kedua-duanya mengadu melakukan ZINA. KEDUA-DUA kena hukum sebat 100 rotan.

Kata saya...inilah kelebihan undang-undang ciptaan manusia, senang-senang boleh dimanipulasi...itu yang Majlis Peguam beria-ia yang menegakkan.

Wednesday, August 06, 2008

BAHAYA! Penyakit Berjangkit

Dulu YAB MP Kepala Batas menyatakan beliau akan bertanding jawatan Presiden UMNO, pada Disember 2008, dan akan melepaskan jawatannya kepada YAB MP Pekan, pada Jun 2010.

Kini YB MP Kuala Kangsar mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO dan akan melepaskan jawatan tersebut pada Jun 2009 kepada bekas MP Lembah Pantai.

Nampak gayanya dah berjangkit kes perlepasan jawatan ni. Cuma satu, adakah mereka boleh meramal mereka SEMUA akan menang semasa pemilihan UMNO nanti? Kalau semua menang tak apa, kalau ada yang kalah?

Kalau dah tahu nak melepaskan jawatan di pertengahan tempoh, tak perlu umum dulu. Dah menang nanti baru umumkan. Kalau tidak orang kata merayu "markah kesian"...atau tak mahu ada pertandingan.

Apa kata kalau semua ketua cawangan dan ketua bahagian kena penyakit yang sama?

Kata saya...jangan jadi macam macam C**s dulu sudah, ketuanya berubah hati tak mau letak jawatan mid-term...

Monday, August 04, 2008

Alahai FAM

Musim depan pertandingan liga bolasepak Malaysia bakal TIDAK menyaksikan pemain import. Kisah yang sama berulang kembali. Dulu masa masa banned pemain import cakap nak meningkatkan peluang pemain tempatan beraksi di liga tempatan.

Hasilnya masing-masing berebut pemain "kebangsaan". Gaji yang ditawarkan terlampau tinggi. Kononnya kena bagi sama taraf dengan pemain import. Tapi kualiti, disiplin dan komitmen pemain macam hampes...

Hasilnya stadium tak penuh. Permainan tak ada kualiti. Tak ubah macam permainan peringkat kelab atau lebih buruk lagi macam budak sekolah.

Hasilnya ranking jatuh merudum-rudum.

Hasilnya kena ambil semula pemain import.

Tetapi pemain import yang diambil oleh pasukan-pasukan memang tak ada kualiti. Dari dulu, kini, dan kalau ada di masa depan, saya rasa akan begitu juga tahapnya.

Pertandingan masih berlarutan dengan entah beberapa kali ditangguhkan. Tengah rancak pertandingan boleh tarik pula pemain untuk wakil Malaysia untuk pertandingan persahabatan.
Dah pasukan terjerit-jerit marahkan FAM.

Lantik pegawai baru pun serupa juga...tak ada visi. Cakap aje lebih. Dah lebih 100 hari pegang jawatan apa korang buat?

Kata saya...macam saya kata dulu kita balik semula ke era amatur...dengan Vietnam pun terkial-kial...sebab pemikiran, disiplin, komitmen dan teknik masih lagi di tahap amatur. Panggillah sesiapa pun jadi jurulatih tak kan sampai kemana pasukan Malaysia.

Friday, August 01, 2008

Turun Minyak Naik Minyak

Hari ini YAB MP Kepala Batas telah memaklumkan bahawa harga runcit petrol akan diselaras mulai 1 September. Hari ini 1 Ogos. 31 hari lagi tu. Ini semua gara-gara harga minyak mentah turun ke RM122 satu barel.

Mari kita flashback...

Ke hari kenaikan harga minyak...

Saya nak tanya, pukul berapa pengumuman dibuat? Berapa tempoh yang diberikan kepada rakyat untuk mengisi minyak kereta dan motorsikal mereka? Ada sampai 24 jam?

Kata saya...I rest my case...

Thursday, July 31, 2008

Balik Raya...

Hi, hi, belum puasa lagi dah nak raya! Bukan itu yang saya maksudkan. Semalam baca paper mengatakan kerajaan bersetuju untuk menaikkan harga tambang bas. Pengumuman akan dibuat sebelum hari raya.

Persatuan inginkan kenaikan harga tiket kepada 100%. Ini bermakna harga tiket dari Melaka ke Alor Star sekarang dari RM45.00 akan naik kepada RM90.00. Bermakna kalau keluarga dengan 4 orang anak terpaksa membayar sebanyak 90+90+45+45+45+45=RM360.00. Kalau pergi balik dah RM720.00. Itu cuma kos tambang nak balik saja. Belum kira makan minum, duit raya, baju raya dan kuih raya. Agaknya kalau sewa kereta mungkin lebih murah dari naik bas.

Semalam juga kecoh fasal komuter/lrt rosak selama lebih kurang 9 jam. Hasilnya orang ramai lambat sampai ke destinasi.

Kerajaan cakap nak suruh orang guna pengangkutan awam. Dengan ini caranya sahlah rakyat akan lagi lebih senang dengan menggunakan kenderaan sendiri.

Kata saya...macam saya kata dulu kononnya duit subsidi yang dijimatkan untuk perbaiki mutu pengangkutan awam, jadi tolonglah perbaikinya...saya masih belum nampak mutunya dinaikkan selepas harga petrol dinaikkan (ke nak tunggu 100 hari baru boleh komen...)

Thursday, July 24, 2008

Jangan Sangka Yang Bukan-Bukan

Hari selasa lepas PKS minta saya tengok sebuah tasik di Bangi untuk tujuan sebahagian kajian projek saya. Petang tu saya dan camera saya ke taman tasik tersebut. Dengan beg digalas dan camera di tangan, saya lihat ada orang pandang semacam kat saya. Peduli apa, lantak dioranglah!

Saya ambil gambar apa yang cantik pada mata saya dan yang berkaitan dengan projek saya. Nasib baik tak kena meranduk air. Dengan telefoto kerja lebih senang. Tambahan pulak dengan 10 megapixel yang ada.

Selepas mengambil gambar di sekeliling tasik tersebut, saya sms PKS mengatakan ada 2 potential sites untuk menjalankan projek tersebut. Ini balasan beliau:

"Ok. Good. Kerajaan P****** R***** S******r nak jadikan tempat tu sebagai kawasan ilmu dan sustainable energy"

Hi, hi, jangan sangka yang bukan-bukan...

1. Diorang pandang semacam sebab tempat tu sebenarnya tempat "HOT". Agaknya diorang ni ingat saya sepai leman...
2. Saya cuma menjalankan projek saya nanti tanpa kaitan dengan aktiviti politik, ok. Itupun kalau projek tu diteruskan. 2 minggu lagi nak diadakan mesyuarat.

Kata saya...banyak kerja yang perlu dilangsaikan dalam tempoh lima hingga tujuh bulan ni. Nak menangis pun ada...

Monday, July 21, 2008

Jimat Kos

Kerajaan Negeri Terengganu beli Mercedes untuk ganti Proton sebagai kereta rasmi exco dan speaker negeri. Kononnya untuk jimat penyelenggaraan kereta. 14 Mercedes E200 Kompressor itu bernilai RM3.43 juta dengan setiap kereta dianggarkan bernilai RM245,000.

Alasan yang diberikan: Proton Perdana dah "tua" sebab selalu long-distance. Nak jimat penyelenggaraan macam yang exco Toh Chin Yaw "kena" RM50,000 dalam masa 36 bulan. Mercedes dikatakan akan jimat kos penyelenggaraan dan jimat minyak.

Kalau tak silap dulu kerajaan pusat ada buat polisi supaya pembelian kereta rasmi adalah dari jenama Proton. Tak taulah dah tukar polisi kut. Macamana exco tu kena RM50,000 untuk repair kereta. Cuba tengok apa yang dia baiki. Macam tak masuk akal aje. Atau bengkel tu charge lebih-lebih? Siapa kata maintenance Mercedes lagi murah. Spare partsnya lebih mahal dari spare parts Proton. Jimat minyak? Hi, hi, hi. Mana statistik yang dia pakai?

Kononnya Mercedes tu dari peruntukan pentadbiran yang lepas. Tak tahulah betul ke tidak. Kalau tak silap kerajaan negeri Pulau Pinang tolak pembelian kereta rasmi baru. Kereta Proton jugak.

Kalau dibeli Proton, berapa banyak kerajaan negeri boleh jimat agaknya. Mungkin dekat RM100,000 jugak sebuah. Kalau 14 buah, "Lu Fikir Sendirilah". Kalau tak boleh, guna calculator, ok. Agak-agak jumlah penjimatan tu boleh tampung tak penyelenggaraan yang perlu dibuat sepanjang perkhidmatan exco tersebut, mungkin 4 atau lima tahun?

Seperti kebiasaan kereta-kereta rasmi ni akan dijual terus kepada sipengguna bila tamat tempoh dengan harga "token" sahaja. Jadi saya cuma ingin tahu samada amalan ini akan diteruskan atau tidak?

Saya tak pasti timing pembelian ini baik atau tidak. Tapi saya tahu pada masa rakyat dihimpit dengan kenaikan harga minyak dan inflasi yang tinggi, exco pentadbiran negeri masih nak bermewah-mewah. Kononnya suruh rakyat UBAH CARA HIDUP!

Kata saya...nasib baiklah bukan negeri kelahiran saya, kalau tak mau saya hantar surat protes. Lantak koranglah, di akhirat besok engkau jawablah...

Sunday, July 20, 2008

Orang Malaysia Tak Ada Ke...

3 bulan lepas saya ke food court KLCC. Tengok yang bekerja bersihkan meja dan kumpulkan pinggan di situ terdiri wanita dari warga indonesia. Yang kerja kat gerai-gerai tu tak usah ceritalah kebanyakannya orang dia.

2 minggu lepas saya ke sana lagi. Kali ini saya tengok yang bekerja bersihkan meja dan kumpulkan pinggan terdiri dari lelaki dari warga Bangladesh. Eh pelik, apa dah jadi? Boleh tukar jantina dan warganegara pulak?

Persoalan saya, tak ada ke warga Malaysia yang sanggup buat kerja ni? Dengar cerita banyak benar yang menganggur. Itu tak termasuk geng Mat Rempit lagi. Tak kan lah kerja macam ni pun nak impot pekerja asing?

Satu lagi saya lihat kat stesen minyak. Masih lagi ambil pekerja asing! Kalau pemilik kereta dah kena isi minyak sendiri (self service) apa yang mamat Bangla ni buat? Kalau dulu kata isi minyak memang kena self service tapi check minyak hitam dan cuci cermin akan dibuat oleh MB-MB ni. Sekarang itu pun diorang tak buat!

Apa kata bagilah kerja-kerja tu pada ibu tunggal yang tak bekerja atau orang-orang pencen yang masih nak bekerja. Dari minta kerja jadi security guard yang lebih merbahaya tu, baiklah kerja macam tu. Bukannya teruk sangat pun. Isi minyak, bersih meja, kutip pinggan. Janji cukup bulan ada gaji.

Kata saya...ke majikan nak jimat duit aji orang asing?

Betul Ke?

Semalam bila baca berita tentang hydrofuel saya sedikit tersentak. Kena pulak PM sendiri yang dijemput untuk mengwar-warkan cerita ni. Betul ke ni? Teknologi terkini yang diusaha oleh orang Malaysia.

Apa yang saya tahu penyelidikan sebegini banyak dibuat di US, Eropah, Jepun dan Korea. Sehingga kini tiada teknologi hidrogen yang mampu dikomersilkan untuk kegunaan industri otomotif. Bukan saya menyangkal keupayaan anak Malaysia (hi, hi, saya pun anak Malaysia!), tetapi saya hanya berharap penghebahan cerita ini tiada unsur-unsur politik murahan untuk mengabui mata dan telinga rakyat.

Apa yang saya ingin lihat adalah pelaksanaan pengeluaran tenaga yang lebih berkesan. Kononnya eletrik yang akan dijana oleh Janakuasa Bakun (entah bila nak siap tak tahu le) berupaya membekalkan tenaga yang mencukupi untuk Sabah dan Sarawak, malah boleh diekspot ke semenanjung melalui kabel dasar laut. Saya difahamkan jutaan ringgit akan digunakan untuk meletakkan kabel ini. Belum lagi dikira kuasa letrik yang hilang oleh kerana jarak yang jauh.

Apa kata, kalau kerajaan benar serius dengan hidrogen, Janakuasa Bakun ini digunakan sebahagian kuasanya untuk memproses menjanakan gas hidrogen untuk kegunaan masa kini dan masa depan. Semua orang tahu gas hidrogen boleh disimpan dalam tong. Semua orang tahu (mungkin ada orang tak tahu kut) sumber untuk penghasilan hidrogen buat masa ini adalah "limitless", tak macam minyak.

Masalahnya sekarang sehingga kini kerajaan seolah-olah tak terfikir untuk berubah ke arah ini. Cuba lihat atau dengar "State of the Nation" Presiden Bush berkenaan politik tenaga US. Hidrogen adalah matlamat mereka untuk penghasilan tenaga masa depan, termasuk penghasilan kereta menggunakan hidrogen.

Malaysia memang ada "Fifth Fuel Policy", tetapi adakah itu dipraktikkan?

Kata saya...jangan jadikan ini sebagai gimik politik. Jadikan ia satu polisi tenaga yan berkesan. Berdasarkan pengalaman lalu, ni cuma hangat-hangat **** ayam...

Friday, July 18, 2008

Demokrasi?

Hari tu Perdana Menteri Austaralia memberikan komen bahawa demokrasi di Malaysia subur. Biasalah mat saleh ni kat mulut biasa manis-manis aje. Sebenarnya dalam hati mereka sehampes-hampesnya.

UMNO dah decide peralihan kuasa dari DSA ke DSN pada 2010. Dah banyak negeri buat declaration menyokong peralihan kuasa ni. Pada hal mesyuarat Bahagian belum pun dibuat. Syor menyatakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan muncul lagi.

Kalau nak tahu bacalah akhbar dan media arus perdana. Rata-rata yang keluar menyokong syor tersebut. Tak tahulah yang underground punya tak keluar komen dia. Rata-rata komen "menyeru" TRH dan TSMY tidak bertanding kedua-dua jawatan tersebut.

Jadi dah berapa kali agaknya jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan? Apa alasan sebenar ianya tidak dipertandingkan? Kalau bebar-benar demokrasi Malaysia subur sepatutnya pertandingan, kalau boleh kata pertandingan, atau pemilihan ini perlu dibuka. Tak kiralah kalau yang bertanding nanti tu sorang saje. Yang penting pencalonan perlu dibuka.

Pelik juga bila sistem kuota masih digunakan. Saya rasakan ada sistem lebih baik untuk menjamin demokrasi terus dibaja. Sistem kuota tidak perlu tapi pemilihan yang dibuat oleh peringkat bahagian perlu diambil kira. Perlu dimasukkan dalam jumlah undi perwakilan. Hi, hi, macam undi pos. Hi, hi, kan dalam PRU banyak undi pos. Kenapa? Perwakilan yang hadir boleh dilobi oleh peraih-peraih undi, hi, hi sekali lagi macam PRU, untuk mengubah undi mereka. Jadi pilihan bahagian dan pilihan perwakilan mungkin berlainan.

Hi, hi, baru-baru ni saya check data saya di umno online. Guess what?...

Kata saya...adakah dengan ini boleh menyebabkan peristiwa 1988 sekali lagi...

Thursday, July 17, 2008

Antara Percaya Atau Tidak

Tak taulah nak percaya ke berita-berita yang macam-macam kat Malaysia sekarang. Saya sudah ambil keputusan semua statement yang dibuat khasnya ahli politik tidak boleh diterima 100%. Kalau nak percaya jugak, kena hati-hati, macam kata orang berjudi, kena buat side betting on top of your main bet. Kalau tak hancus segalanya.

Kenapa?

1. Tengok ajelah berita di TV* tu. Memang nampak berat sebelah. Cuba baca UM dan NST. Hek eleh sama ajelah. Kalau orang tua-tua mungkin percaya bulat-bulat apa yang diberitakan oleh mereka.

2. Polis? Dah baca cerita tentang satu balai polis kat Johor tu? Saling tuduh menuduh. So nak percaya yang mana satu. Kalau masuk court dah tentu yang sorang tu kalah. Tapi tak semestinya dia salah.

3. Hakim? Dahlah cerita fasal corect, correct tu. Belum lagi kes tun Salleh Abas & the gang. Kes lain yang tuduh menuduh hingga menjadi agenda negara, akhirnya tak bersalah, after 10 years.

4. Immigresen? Hah, Pengarah dan Timbalan Pengarah dah kena tahan. Tak taulah tu, bersalah ke tidak tu? Mesti lama nanti baru kes tu selesai.

Kata saya...DTA.

Monday, July 14, 2008

Melayu di Tanah Melayu

Rasa kesian bila baca berita tentang peneroka kena tahan ceroboh tanah kerajaan. Rata-rata yang ditemubual, orang melayu. Orang melayu dah merempat tak ada tanah di tanah melayu.

Apa salahnya mereka diberikan geran TOL untuk kerjakan tanah tu, asalkan jangan tanam pokok kekal sudah le. Dari dibiarkan tanah tu terbiar eloklah diusahakan oleh rakyat kita, khasnya orang melayu.

Yang saya heran di Cameron Highlands tanah bukit dah semakin gondol diterokai. Tak tahulah pulak saya samada secara halal atau haram. Cuma satu yang saya tahu kebanyakan tanah yang diterokai ini adalah oleh bukan orang melayu. Cuba-cubalah pihak yang berkuasa tengok-tengokkan kes ni.

Berbalik kepada cerita asal, saya pelik menurut peneroka tanah yang diceroboh itu sebenarnya telah ditinggalkan oleh pengusaha tembikai. Siapa agaknya pengusaha tembikai ni? Kenapa semasa tembikai ni ditanam tak dibuat tangkapan pun? Lama nak tunggu berbuah tembikai tu. Dari tanam benih hingga pungut hasil sekurang-kurangnya 70 hari. Apa pihak berkuasa buat agaknya, ek?

Kata saya...dah nasib korang. Agaknya pihak berkuasa nak tangkap yang tanam tembikai tu kut. FAT CHANCE!!!

Sunday, July 13, 2008

Dadah Terlarang & Teknologi Terkini

Sukan Olimpik dah tak sampai sebulan lagi. Tour De France dah bermula. Cerita dadah terlarang timbul semula. Pelari Britain Dwain Chambers sedang bergelut dengan Kesatuan Olahraga Britain untuk membenarkannya menyertai Olimpik. Dia dah layak ke Olimpik dengan memenangi acara 100 meter kelayakan Olimpik Britain semalam (Sabtu). Seorang pelumba basikal telah disingkir dari Tour De France kerana menggunakan EPO.

Baru-baru ini pakaian renang rekaan Speedo, LZR Racer, telah dipakai oleh ahli renang terkemuka dunia. Hasilnya pelbagai rekod renang dipecahkan oleh perenang yang memakai pakaian tersebut. Kritik menyatakan "unfair advantage"kepada yang memakai daripada mereka yang tidak mampu mendapatkan pakaian tersebut. Sila lihat komen ini.

Sebelum ini saya ada komen bila kes Floyd Landis dituduh menggunakan dadah kerana had testosterone yang tinggi. Dia dah didapati bersalah dan ditarik balik kejuaraannya.

Apa yang nak saya bangkitkan adalah "unfair advantage". Penggunaan dadah terlarang ini dikatakan memberi kesan yang meningkatkan prestasi seseorang atlet. Bagaimana pula dengan pemakaian LZR Racer ni. Dengan harga yang ribuan ringgit sudah tentu perenang-perenang seperti negara Malaysia tidak mampu untuk memiliki kecuali Speedo yang jadi penaja. Adakah atlet-atlet ni masih bertanding "on the same level playing field"?

Bak kata Nabil, "Kau fikirlah sendiri"!

Kata saya...sama aje diorang ni samada dadah terlarang atau teknologi terkini, azamnya nak mempertingkat prestasi. Bukannya dadah yang mat fit kat Malaysia guna. Kalau tak, dah lama kita ada pemegang rekod dunia, ek!

Saturday, July 12, 2008

Bila Politik Mempengaruhi Etika

Sedih saya tengok bila berita sebuah TV swasta (yang mana lagi...) telah mempolitikkan berita yang mereka terima. Memandangkan TV tersebut adalah milik anak syarikat parti politik tertentu maka ia mengambil peluang untuk mengutuk dan cuba memfitnah parti politik lain yang memerintah kerajaan negeri.

Bila saya lihat malam tu ada payung kuning yang terlibat saya dah sedia maklum ianya melibatkan kerabat diraja. Kenapa pihak TV ini tidak sensitif terhadap perkara ini? Atau sengaja nak memutarbelitkan keadaan?

Apa nak jadi dengan Malaysia Hari Ini? Polis pun dah cakap nak heret ATM untuk memastikan keamanan di Malaysia ni. Harap-harap jangan jadi macam Thailand dah le...

Kata saya...agaknya syarikat tu dah buang ke laut etika kewartanan mereka kerana idealisme politik tuan punya mereka...

Pegawai Yang Lebih

MSN membidas Persatuan Angkat Berat Malaysia yang mementingkan pegawai mereka dari jurulatih atlet angkat berat itu sendiri. Mereka terus berkeras untuk menghantar pegawai tersebut yang sudah tentu tidak akan memainkan sebarang peranan di Beijing kecuali pergi bercuti di sana agaknya. Apa yang dia dah buat sepanjang persediaan atlet tersebut di sini? Apakah beliau beliau boleh menolong atlet Amirul Hamizan sekiranya beliau menghadapi masalah di sana nanti? Memang mangk*k hay*n punya persatuan! Jurulatih tak boleh pergi, pegawai yang tak tau apa-apa boleh pergi.

Apa kata MSN hanya sponsor Amirul sahaja, tak payah sponsor pegawai yang menghabiskan beras aje tu. Biar dia bayar cuti dia di Beijing tu sendiri. Oiii PABM! Sedar tak, duit yang yang nak dihabiskan tu duit rakyat!

Kata saya...Come on Malaysians! Hantar surat protes anda ke akhbar-akhbar utama. Duit kita semua tu...

Friday, July 11, 2008

Tahniah, Nicol!

Setelah bergelar juara dunia, sehingga sekarang saya masih ternanti-nanti bila agaknya Nicol Ann David akan dianugerahkan darjah kebesaran negara. Hari ini diberitakan Nicol akan dianugerahkan oleh YDP Negeri Pulau Pinang Darjah Setia Pahlawan Negeri yang membawa gelaran Datuk. Tahniah, Nicol!

Walaubagaimanapun saya merasakan kerajaan Malaysia yang sepatutnya menganugerahkan gelaran tersebut kepada beliau. Saya merasakan pihak kerajaan masih memandang kecil kejayaan beliau. Kalau kita baca di akhbar yang menang pingat emas di Olimpik nak bagi RM 1 juta. Saya tak pasti apa yang dia dah dapat semasa bergelar juara dunia dan memegang tampuk nombor satu ranking squash itu. Mungkin sebab squash ni tak famous sangat dan bukan acara Olimpik.

Akhirnya kerajaan negeri aje yang mengiktiraf kejayaan beliau. Kalau banding dengan ahli politik, mana cepat agaknya dapat gelaran dato atau datuk ni?

Kata saya...nak dapat gelaran datuk lambat lagi. Hi, hi, anak-anak belum habis sekolah lagi.

Contribution To Knowledge

Semalam bincang dengan Supervisor tentang pembelajaran saya. Saya bimbang bila saya mula menulis literature review saya tak nampak di mana letaknya Contribution to Knowledge penyelidikan saya. Risau saya, tanpa bahagian tu bermakna pembelajaran saya, sia-sia aje.

PKS cakap jangan risau sebab saya dah banyak tulis paper. Dia cakap jangan give-up dan jangan bimbang sebab bila student dah jadi macam tu dia mula rasa goyah dalam PhD dia. Dia sambung CTK tu ada cuma saya kena buat reverse evaluation of the problem.

Hi, hi, dari apa yang dia cakap, senang betul. Impementation is hard, yes kita yang buat kerja yang beratnya. Kepala dah berserabut! Experiment tak boleh nak jalan, ada masalah. Luckily, the simulation parts are almost done. Saya punya target untuk habis collect data by December ni. January 2009 saya nak mula finalize my thesis dan submit pada PKS untuk approval by April 2009. Insya Allah.

Kata saya...walaubagaimanapun, kita hanya boleh merancang, Allah SWT jua yang menentukannya.

Apa Kes

Amerika Syarikat (pronounce, ur s) sejak jatuhnya Iraq menjadikan Iran sasaran utamanya. Secara terang-terangan mengatakan dia dan sekutunya Israel akan menyerang Iran semata-mata kerana program nuklearnya.

Kata orang mereka sebenarnya berselindung di sebalik telaga minyak Iran sahaja. Kenaikan harga minyak dan kejatuhan dollar AS adalah helah mereka untuk menguasai dan memanupulasi ekonomi dunia.

Sejak beberapa hari ini Iran telah menguji peluru berpandu jarak jauh. Agaknya AS dah mula cuak. Hari ini si mek Rice mengatakan amaran kepada Iran supaya tidak mengancam jiran-jirannya. Hi, hi, siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Rice sebagai jiran tu?

Padahal AS sendiri nak letak missile kat sempadan Rusia, dan Rusia telah bagi amaran akan buat serangan ketenteraan jika AS berbuat demikian. Siapa yang kacau jiran? Awak tu duduk jauh seberang laut! Tak ada kena mengena dengan Rusia dan jirannya!

Kata saya…berita hari ini British akan bayar US$6 juta kepada orang tawanan Iraq yang disiksa. Macamana dengan AS yang secara terang-terangan dalam gambar dan video yang menyiksa tawanan Iraq dengan siksaan fizikal dan seksual? Sepatutnya diorang ni kena hantar ke mahkamah perang dunia!!!

Wednesday, July 09, 2008

Solar & Biofuel

Semalam baca dalam STAR cerita fasal pengunaan solar panel untuk kegunaan rumah. Siap tunjuk satu tempat tu yang atapnya memang dari solar panel. Siap cakap fasal aesthetic view-nya lagi. Siap promote pemaju yang kononnya tengah buat rumah menggunakan teknologi ini. Heh, heh, sayangnya harga modul tu saja dah boleh beli satu rumah. Macam supervisor saya cakap, kalau ada orang yang kaya nak buang RM140,000 untuk atap bolehlah. Buat masa sekarang tak berbaloi nak guna teknologi ini. Yang tertera semalam hanya on-the-surface sahaja. Itu belum kira maintenance lagi. Reduction of absorption over the years of the solar panels dan juga pembelian bateri untuk storage. Polisi pembelian elektrik dari individu ke grid masih samar-samar.

Sepatutnya kalau kerajaan nak menggalakkan penggunaan teknologi ini maka setiap bangunan kerajaan atau perumahan untuk golongan termiskin mesti menerapkan penggunaan teknologi ini. Barulah menjadi kerajaan yang perihatin. Bila minyak naik, tarif letrik naik, yang miskin juga huru hara.

Hari ini baca dalam utusan tentang PM meminta masyarakat dunia menghentikan tindakan meneroka tanah pertanian secara berleluasa untuk menghasilkan biofuel. Masalahnya Malaysia sendiri juga terpengaruh dengan idea biofuel ini. Memacam cerita bila kes kekurangan minyak masak di Malaysia beberapa bulan yang lalu. Salah satu darinya adalah penggunaan minyak sawit dalam pembuatan biodiesel. Satu lagi diorang ekspot minyak tu keluar kerana dapat harga lebih tinggi. Yang rasmi katanya pengilang tak untung. Nak naikkan harga tak dapat respon dari kerajaan. Entahlah yang mana satu betulnya.

Macam saya pernah cerita dulu tentang seorang Profesor yang terkenal tahun lepas yang menyatakan, kalau beliau diberi pilihan antara Makanan dan Tenaga (dari biofuel), dia akan memilih makanan. Tanpa makanan manusia tak boleh hidup, jadi tenaga untuk buat apa?

Yang saya tahu, Malaysia masih lagi tiada angan-angan, bukan setakat cita-cita, angan-angan pun tiada berkenaan hala tuju sebenar Polisi Tenaga kita untuk tahun mendatang. Memasing masih sibuk dengan keuntungan Petronas. Baik Kerajaan maupun Pembangkang. Orang lain dah sibuk nak gunakan Hidrogen...

Kata saya...Singapura nak beli 100 F-35 yang kalis radar, Malaysia tak nak beli ke? Buat budget betul-betul, nanti jadi macam kes nak beli kapalselam lak...

Tuesday, July 08, 2008

The World Laughing At You, Kid!

Saya merasa malu dengan kedudukan politik masakini. Tak ada cerita lain di muka depan akhbar, kalau tak cerita itu. Masing-masing nak tunjuk kuasa. Masing-masing nak tunjuk pandai. Tak tau ke, jiran-jiran kita dok pandang semacam kat kita. Standard kita dah tak ubah macam negara-negara Afrika (of course except Afrika Selatan). Cuma bezanya kita tak saling bunuh membunuh macam diorang, nasib baik sungguh!

Semuanya sibuk fitnah memfitnah, tak taulah yang mana yang betul. Yang sure-nya mesti ada orang buat salah. Nak beri peluang mahkamah tentukan belum tentu lagi betul sebab ada appeal process, dah jatuh keputusan appeal lagi, last-last tak bersalah! Apa halnya? So mahkamah dunia ni banyak komplikasinya, hi, hi, "Correct, correct"?

Dunia dok sibuk fasal bagaimana nak mengatasi masalah harga minyak naik, masalah kekurangan bahan makanan, kenaikan harga makanan, kita masih lagi dok bertelingkah sesama sendiri berebut kuasa. Tak kiralah Kerajaan ke Pembangkang! Sama aje! Dua kali lima.

Macam yang saya pernah kata tentang Gajah Sama Gajah Berperang yang mati Kancil Tersepit. Tiada usaha yang positif diambil sejak pilihanraya dulu. Penyokong kerajaan kata PR tak tunai janji. Pembangkang kata kerajaan tak patut naikkan harga minyak yang menyebabkan harga barang keperluan terus meningkat. Jadi siapa yang betul?

Kata saya...adakah negara kita nak jadi macam Indonesia, Thailand dan Filipina? Atau lebih teruk lagi hongga ke tahap kes Myanmar? Semoga dijauhkan dari segala muslihat ini! But I know at this particular moment The Whole World Is Laughing At You Malaysia!

Monday, July 07, 2008

Apa Dah Jadi?

Beberapa hari lepas sorang Mufti mencadangkan DSAI untuk bersumpah Muhabalah untuk menyelesaikan masalahnya. Kononnya seorang menteri besar telah menyokongnya. Persatuan Puteri pun bersetuju dan menyokongnya.

Masalahnya sekarang ada Mufti dan bekas Mufti lain yang tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Sehingga ada yang berkata,"itu cadangan dari orang yang terlebih pandai"...

Saya dah pergi banyak kuliah agama, dan saya dapati rata-rata ustaz-ustaz yang memberi kuliah menyangkal kenyataan Mufti sorang ni. Bukan setakat ustaz kecik, ustaz besar pun tak bersetuju dengan dia.

Kenapa diorang tak berbincang dulu ke, sebelum membuat sesuatu pandangan yang akan mengundang kontroversi. Sekarang bulan Rejab. Tak silap tahun lepas ada pandangan kontroversi mengenai puasa bulan Rejab dan Syaa'ban.

Kata saya...agaknya kalau DSAI dicadangkan Mubahalah, kenapa yang lain tak disuruh buat demikian. Hi, hi, banyak kes yang boleh dicadangkan untuk Mubahalah, contohnya kes AS, kes RTC, kes DSAIvsTDM dll. Masalahnya ada yang berani dilaknat oleh Allah SWT asal dapat nikmat dunia.

Thursday, July 03, 2008

Bunga... Lagi?

Hi, hi, minta maaf semua, gambar bunga lagik! Ni gambar yang saya ambil semasa trip ke Cameron Highland hujung minggu lepas. Nampak tak harga pokok kaktus bulat tu (gambar no. 5). Layan sekali lagi, yek...


















Kali kedua saya ke sini, baru boleh dapat ambil gambar yang lebih clear. Dulu ambil gambar guna camera handphone aje.

Kata saya...Jangan panggil saya Mat Bunga, ek! Harga kaktus bulat tu tak sanggup saya membayornya - RM100. Lebih baik beli strawberry...

Soul for Sale

Hi, hi, ada jugak orang macam ni, dan ada jugak orang yang kepala tak betul yang reponse.

Dalam STAR online: diberitakan seorang warga New Zealand, Walter Scott, telah membuat "auction" bagi "soul"-nya kepada pembida yang tertinggi dalam TradeMe. Dia telah berjaya mendapat 100 pembida yang berminat.

Jadi kalau dah tamat tempohnya nanti, apa mamat ni nak bagi pada pembida tertinggi tersebut, ek? Macamana dia nak bagi "soul" dia kat pembida tu. Lepas tu pembida tu nak buat apa dengan "soul" tu agaknya.

Kata saya...teringat lagu Chris De Burg berkenaan "souls in the train" di mana kononnya si Iblis berjudi dengan Tuhan (MasyaAllah! Nauzubillah!). Patutnya lagu ni kena banned kat Malaysia.