Wednesday, December 31, 2008

Di Taman Buaya

Satu hari minggu bawa anak-anak ke Taman Buaya. Terdapat tarikan baru untu ke sana. Ada kolam untuk anak-anak mandi. Itulah tujuan utama ke sana pun. Tengok buaya hanya aktiviti sampingan di Taman Buaya.

Gambar 1: Bye-bye Mama dan Ayah
Gambar 2: Diorang nak sembelih kami - tolong!
Gambar 3: Buaya ni dah kenyang
Gambar 4: Ni gaya orang takut
Gambar 5: 5 orang pun tak larat nak tarik buaya niGambar 6: Anak-anak buaya
Gambar 7: Tarikan baru
Gambar 8: Bukan main seronok lagi dia
Gambar 9: Gambar untuk cover Battle of the Bands
Gambar 10: Muka-muka tak puas mandi di kolam
Kata saya...boleh tahan jugaklah dengan harga yang dikenakan, dapat mandi di kolam. Budak-budak seronok dan puas hati (walaupun niat di hati nak mandi lagi).

Tuesday, December 30, 2008

Kawan

Saya punya ramai kawan sampai kadang-kadang saya terlupa di mana kawan saya ni saya jumpa.

Kawan 1
Saya masih ingat beberapa nama dalam grup ini. Kawan semasa sekolah rendah di Bukit Ibam sekitar 1968-1969. Saya masuk sekolah awal setahun. Jadi yang ada dalam kelas, pangkat abang dan kakak semua. Yang saya ingat dua nama, Ahmad/Mohd Sabri yang kami panggil pak cik sebab penyakitnya dan Salmah kerana dia, saya gagal dapat tempat pertama dalam ujian bulanan kedua di tahun 3. Kami berpisah apabila syarikat perlombongan menutup operasinya di Bukit Ibam.

Kawan 2
Saya menyambung persekolahan di Kuala Rompin. Saya terpaksa menduduki tahun 3 sekali lagi kerana guru besar tak bagi "lompat" kelas. Ada hikmahnya. Saya menduduki ujian penilaian (sekarang UPSR) lewat setahun di tahun 5. Grup ini, nama seperti NorAzman, Mohd Rodhi (Allahyarham), Mohd Sufian, Majid, Abu Bakar (Allahyarham) antara yang saya masih ingat. Hi, hi, sepupu saya Masna pun saya ingat nama tapi bila lihat orangnya saya tak cam. Ini terjadi semasa saya balik dari US tahun 2. Perhubungan antara saya dan rakan-rakan agak renggang bila saya melanjutkan pelajaran ke Ipoh setelah tamat tahun 6. Bila balik cuti biasanya saya cuma habiskan di rumah. Malas nak merayau.

Kawan 3
Kawan-kawan semasa di Ipoh terdiri dari senior dan junior. Yang ini tak berapa susah sangat kerana dengan adanya teknologi maklumat segala macam boleh berlaku. Adanya website, e-group, blog dan telefon bimbit, perjumpaan boleh diatur, cuma masa kadang-kadang tidak mengizinkan.

Kawan 4
Kawan semasa melanjutkan pelajaran di US. Yang senior ketika itu buat master atau PhD. Ada satu batch yang senior 1 tahun. Ada junior 2 tahun. Saya ada cerita fasal batch saya dalam KSU Alumni. Baru-baru ni ada senior jemput anak ke 3 dia nak kahwin di Pulau Pinang.

Kawan 5
Kawan semasa di Politeknik Kuantan. Saya cuma berada di sana tak lama, cuma 3 minggu. Namun persahabatan selama 3 minggu itu tetap kukuh khasnya dengan juruteknik di situ.

Kawan 6
Kerja yang memberi gaji kali pertama kepada saya. Di sini kawan terlalu ramai. Kawan sekerja dan pelajar-pelajar. Kawan sekerja tentu saya masih ingat tetapi untuk mengingati semua pelajar adalah mustahil. Baru petang tadi jumpa bekas pelajar di pasar malam.

Kawan 7
Saya melanjutkan pelajaran di Sheffield. Di sini saya bercampur dengan pelajar undergraduate sebab saya menyewa rumah bersama mereka. Ketika itu saya masih belum berkahwin. Jadi ada pelajar post-graduate yang memandang serong ke atas saya. Tak kesahlah. Saya hanya kenal 2 orang pelajar post-graduate di situ. Semalam rakan serumah saya yang dalam perjalanan balik ke Shah Alam singgah di rumah. masing-masing dah ada 4 anak. Tetapi beliau lebih beruntung kerana dapat 2 pasang; 2 lelaki, 2 perempuan.

Kawan 8
Semasa saya di UTM untuk 3 tahun saya lebih erat dengan juruteknik di bengkel pembuatan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal. Banyak saya belajar dari mereka. Salah seorang dari mereka telah saya ceritakan dalam entri di awal Ramadhan yang lalu. Dia antara juruteknik yang berjaya. Dari seorang juruteknik berkelulusan diploma beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dan kemudian peringkat sarjana sehingga berjaya menjadi pensyarah.

Kawan 9
Saya berpindah ke Melaka tahun 2002. Mula lagi satu grup kawan sekerja yang ada. Di sini ada kawan dan juga lawan (kes keras kepala, kepala batu dan yang lain yang seumpama dengannya).
Hi, hi, tak boleh cerita banyak sebab nanti nak jumpa semula 6 bulan nanti.

Kawan 10
Kawan seiring yang bersama menongkah arus mengharungi kesulitan untuk menamatkan pengajian peringkat PhD, memandangkan hanya kami 3 pelajar tempatan di bawah penyelia yang sama.

Bila dah ramai-ramai kawan mulalah tersalah cakap. Saya cakap saya jumpa si A pada si B. Si B cakap, dia bukan dari grup kawan yang sama. Jadi bila berjumpa kawan-kawan saya seboleh-bolehnya menumpukan cerita saya dan keluarga saja.

Kata saya...hi, hi, itu belum lagi kawan jiran sebelah rumah...

Thursday, December 25, 2008

14...

Hari ini diorang sambut hari natal.

Saya dan isteri menyambut ulangtahun perkahwinan.

Kata saya...hi, hi, di lain tahun kalau ada jemputan makan di hari ini jangan salah sangka, ek.

Saturday, December 20, 2008

Bad Moves!

Kes 1
TNB mengatakan mereka akan kerugian RM500 juta setahun kerana tersilap pengiraan membina janakuasa eletrik. Itu adalah wang yang perlu dibayar kepada IPP, yang mana TNB mempunyai 20% kepentingan. TNB cakap tenaga tambahan hanya diperlukan mulai 2010. Dengar cerita kemungkinan TNB akan menaikkan lagi tarif elektrik. Alahai...

Kes 2
Pembangunan perumahan cerun bukit dibekukan. Deja vu. Bila terjadi kes Highland Towers ini juga yang dihebahkan. Masalahnya barang yang beku boleh dicairkan. Tengoklah nanti kes Bukit Gasing, kes Damansara 21 dan kes-kes lain akan diteruskan dalam masa...err...mungkin paling lewat 6 bulan lagi. Mereka cepat benar lupa! Duh...

Kes 3
IJN nak dijual kepada Sime Darby. Opps, ditangguhkan. Ditangguhkan sampai bila? YB DS Anwar kata selepas PRK KT. Saya kata...err...mungkin paling lewat 6 bulan lagi. Saya masih tak faham, adakah ini bermakna satu lagi kes kerajaan nak lepas tangan tanggungjawab sosial mereka? Kalau dulu saya mempersoalkan kenapa kerajaan tidak meneruskan tanggungjawab membina lebuhraya, yang menyebabkan kita masih lagi mempersoalkan rasional kerajaan membenarkan pihak konsesi menaikkan kadar tol 3 tahun sekali. Lebih teruk lagi bila lebuhraya yang tak untung diserahkan kembali kepada kerajaan. Apa kes...

Kes 4
Baru dengar cerita, sahih ke tidak, entah. Kabarnya rumah yang didiami oleh YAB PM disewa dengan kadar yang sangat tinggi dari Putrajaya Holdings. Saya pening. Bukan ke kerajaan yang buat Putrajaya tu? Kenapa nak disewa dari PH. Bukan ke kerajaan yang tubuhkan PH tu? Hopefully, cerita ni cuma khabar-khabar angin. Kalau betul, tak taulah apa saya nak kata. Apara...

Kata saya...dah letih membebel...

Thursday, December 18, 2008

Buku Bertemu Ruas

Baca dalam the Star tentang seorang penyamun yang memecah masuk ke sebuah kedai tak dapat keluar sehingga 3 hari. Sepanjang 3 hari tu beliau tak dapat makan dan minum. Sipenyamun mengatakan setiap kali beliau cuba keluar ada lembaga yang menolak dia ke lantai.

Hari ini pulak diberitakan tuan punya kedai menyatakan beliau tidak menggunakan ilmu sihir untuk memenjarakan sipenyamun itu. Tuan punya kedai mengatakan beliau hanya membacakan ayat-ayat suci dan berserah kepada Allah.

Memang saya pernah dengar ada orang yang "memagar" rumah mereka dengan ayat-ayat suci supaya tidak dimasuki pencuri dan juga jin dan syaitan. Ada yang katakan kalau masuk rumah itu macam berada di tengah lautan, cubalah berenang tak kan sampai ke pantai. Bila orang jumpa, tengah beraksi macam berenang di atas lantai.

Inilah kali pertama cerita seperti ini disiarkan dalam media. Agaknya lepas ni bolehlah tuanpunya kedai buat business "pagar" rumah orang. Barulah rasa selamat sikit dari penyamun yang suka pecah rumah.

Bercakap tentang pecah rumah, semasa cuti raya Aidil Adha yang lalu, 5 biji rumah di lorong rumah saya dan lorong bersebelahan telah dipecahmasuk dan dicuri barang berharga. Kesemua rumah yang dipecahmasuk ada kayu diletak di depan rumah. Mungkin sebagai tanda atau isyarat.

Kata saya...sipenyamun tadi dirawat dihospital selama 4 hari dan dikatakan masih trauma dengan pengalaman itu. Yelah! Engkau ingat tuan rumah yang engkau samun, ikat mereka, ugut mereka dengan senjata engkau, tak trauma ke! Serve you right! Kenapalah lembaga tu tak ikat kedua kaki engkau ke atas aje.

Wednesday, December 17, 2008

KSU Alumni

Kami seramai 28 orang tiba di Manhattan, Kansas pada 5 syawal setelah berpusing keliling separuh dunia. Dari Subang, KL ke Heathrow, London. Disebabkan kesilapan pegawai MAS yang booking ticket kami terpaksa ambil bas ke Gatwick, London untuk ambil penerbangan ke US.

Dari 28 orang tu, 12 lelaki dan 16 perempuan. Jurusan yang kami ambil adalah kejuruteraan (mekanikal, elektrikal, awam & industri), fizik, biologi, kimia, matematik dan sains komputer.

Kesudahannya yang buat fizik, biologi, kimia dan matematik dimestikan untuk meneruskan mengambil ijazah sarjana. Seorang kemudiannya terus ke PhD. Yang buat kejuruteraan balik setelah habis ijazah pertama. Memandang kesemua pelajar kejuruteraan adalah tindikan politeknik, kebanyakannya balik menjadi pensyarah politeknik. Segelintir macam saya keluar dari ikatan itu.

Dari 28 orang tu, 4 orang telah tamat PhD. Seorang bekerja di US, seorang Prof Madya di UM, seorang Prof Madya di UiTM dan seorang Prof Madya di UTP. Yang lain pun telah naik pangkat di jabatan masing-masing. Seorang jadi Prof Madya di UUM di jabatan inovasi dan multimedia, walaupun first degree beliau Mechanical Engineering. Seorang lagi jadi Prof Madya di UiTM Perlis. Seorang dah naik pangkat jadi Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Pembangunan Kurikulum Jabatan Pengajian Politeknik, KPT. Sungguh murah rezeki kawan-kawan saya.

Cuma seorang yang saya tak pasti samada dia habis belajar atau tidak kerana beliau adalah antara yang terakhir meninggalkan Manhattan. Sampai sekarang saya tak tahu di mana dia setelah balik ke Malaysia.

Oh ya, ada seorang lagi, yang kalau boleh mahu kami padamkan dari senarai 28 tu. Cuba google "hasnah murtad" anda akan jumpa rakaman dia berdakwah sebagai mubaligh kristian.

Seorang kawan kami alumni perempuan telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu kerana sakit barah. Saya sempat berjumpa dengan beliau sebanyak 2 kali di Kuantan sebelum beliau berpindah ke Kedah.

Kata saya...hanya masa akan menentukan samada kami akan berjumpa semula. Panjang umur, insya Allah.

Tuesday, December 16, 2008

Bush & Kasut

Tengok berita TV4-1/4 semalam cerita Bush dilempar kasut. Tabik spring saya kepada Bush yang telah berjaya mengelak dari terkena kedua-dua kasut tersebut.

Pemberita yang membaling kasut tu patut diberi tabik spring kerana berani membaling kasut-kasut ke arah Bush. Cepat betul reaksi beliau sehingga dapat membaling kasut bagi kali kedua. Cuma mungkin timing beliau kurang sikit sebab baling selepas Bush bersalam. Kalau dibaling semasa beliau bersalam dah tentu Bush tak sempat mengelak.

Kata saya...biasanya orang baling dengan telur busuk atau tomato, kali ini dengan kasut. Hi, hi, macam baling batu kat jamrah aje, ada umat tu dah habis batu, segalanya dia baling, kasut, selipar, payung apa yang dapat dicapai.

Monday, December 15, 2008

Air Panas & Kuih Udang

Hari sabtu lepas ajak anak-anak pergi ke kolam air panas Gadek. Ada banyak kolam di situ tapi cuma satu kolam yang boleh tahan kepanasannya. Anak-anak mandi di kolam itu. Saya cuma merendam kaki di kolam lain dan membasuh muka. Orang pun tak berapa ramai di situ. Mungkin sebab airnya yang terlalu panas untuk mandi.

Kebetulan dah ke Gadek, kami terus ke Aor Gajah untuk beli kuih udang Alor Gajah yang dikatakan famous tu. Beli RM10.00 untuk dibawa balik. Saya pelik, namanya kuih udang tapi udangnya tak nampak seekor pun. Yang ada cuma cucur atau jejemput, timun dan fish-stick. Udang memang tak ada. Lebih baik beli dengan mak cik kat TTU yang jual kat bebudak sekolah kat jalan TU **. Udang ada dan murah pulak tu.


Kata saya...kalau tak boleh tidur, bolehlah pergi mandi kat kolam air panas ni, lepas tu tidur mesti lena punya.

Saturday, December 13, 2008

Reformis & Bogel

Hi, hi, tergelak saya bila Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), yang ingin berdemonstrasi secara bogel. Saya bersetuju dengan satu akhbar online alternatif yang menyatakan biarlah mereka nak buat demonstrasi tersebut.

Apa mamat-mamat ni tak ada keluarga ke sampai nak buat kerja bodoh ni? Tak pernah ke mereka dengar iklan yang mengatakan,"Yang malu adalah mereka dan keluarga mereka".

Cuba bayangkan, aksi bogel mereka itu dirakam secara fotograf dan video. Di era digital dan internet ini, apa yang akan terjadi kepada gambar dan video itu? Dibuat salinan dan di-upload ke you-tube. Apa yang akan isteri-isteri, anak-anak, mak bapak mereka cuba terangkan kepada rakan dan jiran apabila gambar dan video mereka diedar secara meluas.

Cuba bayangkan isteri dan anak mereka ditertawakan oleh rakan-rakan apabila melihat alat kemaluan suami dan bapa mereka. Hi, hi, tak ke menjadi KEAIBAN yang besar! Inilah nak buat kerja tak guna otak. Diorang ingat kerja gila tu nak malukan orang tapi diri sendiri yang dimalukan.

Kata saya...hi, hi, apa kata kita semua ikut mereka ni pulak, rakamkan aksi JAHILIAH mereka dan edarkan untuk semua orang tengok KEAIBAN mereka semua!

Friday, December 05, 2008

Selamat Hari Raya AidilAdha 1429H

Hari Jumaat. Kerja masih banyak yang perlu diselesaikan. Cadangnya mahu balik selepas solat Jumaat. Entahlah, tengoklah nanti...

Jadi...

Sambutlah salam AidilAdha dari saya...

Sama-samalah kita menunaikan ibadah puasa hari wukuf (ahad) dan mengerjakan ibadah korban di hari-hari mulia ini.

Ustaz cakap kalau nak lagi bagus, puasa jugak hari sabtu.

Kata saya... macam tahun lepas jugak saya menjemput yang ada di Melaka, kebetulan solat hari raya di masjid MITC, jemputlah ke rumah lepas solat hari raya. Lepas 10.30 pagi hingga zohor mungkin saya ada di tempat orang menyempurnakan korban.

Thursday, December 04, 2008

Puasa & Takbir

Semalam ada kuliah agama di surau seksyen 1. Ustaz membuat muqaddimah dengan membicarakan tentang hari raya qurban. Tentang puasa hari wukuf. Akhirnya terlerai segala persoalan walaupun terdapat sedikit kekelabuan. Sebabnya: jawapan ustaz kita berpuasa ikut haribulan 9 Zulhijjah. Cuma ustaz tak tekankan sangat 9 Zulhijjah di mana. Difahamkan ikut pengisytiharan pemegang mohor besar raja-raja.

Dalam membicarakan tentang mukjizat-mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. ustaz pun bacalah ungkapan laungan umat Islam apabila melihat tentera musyrikin melarikan diri semasa perang Khandak (Parit). Tau tak ungkapan yang dibaca oleh umat Islam?


Kata ustaz, tiga baris terakhir takbir raya kita. Itu sebab ustaz tak faham kenapa bacaan takbir di Malaysia begitu mendayu-dayu - sedih. Padahal ianya hendak menzahirkan rasa gembira umat Islam. Ustaz cakap sepatutnya TV di Malaysia pancarkan cara orang-orang Arab bertakbir penuh semangat dan gembira.

Kata saya... kalau tarikh hari raya berbeza adakah bermakna kalendar Islam pun berbeza?

Wednesday, December 03, 2008

Datuk

Semalam headline the Star: Datuk freeze. Sultan: No titles for politicians this year.

Saya bersetuju dengan apa yang cuba diterapkan oleh YMM Sultan Selangor. Gelaran Datuk adalah satu gelaran yang prestij. Kalau diberikan sewenang-wenang tentulah gelaran itu sudah hilang maknanya.

Sepatutnya dibuat bancian umur penerima gelaran Datuk bagi setiap negeri. Tak maulah nanti kita lihat baru berumur awal 30an dah dapat gelaran ini. Senaraikan sumbangan setiap penerima gelaran kepada negeri dan negara dalam buku cenderamata supaya rakyat semua boleh menilai bersama-sama.

Saya rasa ahli politik perlu menilai diri sendiri samada mereka layak menerima gelaran tersebut atau tidak. Cuba lihat rakyat dalam kawasan masing-masing. Terbela atau tidak?

Tak perlulah saya komen tentang mamat bollywood sorang tu, yg akan tiba jam 7.30 pagi dan balik ada malamnya semata-mata nak terima gelaran tu.

Artis-artis kita macam mana?

Kata saya...tunggu ajelah menantu bersalin, dapatlah gelaran Datuk tanpa pingat. Lagi pun pingat tu tak boleh bawa ke kubur pun...

Tuesday, December 02, 2008

House of Kapitans

Dah 28 tahun saya meninggalkan alma mater saya, satu sekolah berasrama penuh di Ipoh. 29 tahun secara rasmi - diorang kira ikut tahun ambil MCE/SPM. Tahun depan meningkat ke 30 tahun. Sepanjang masa beredar saya tidak pernah hadir ke perhimpunan oldboys. Bukan apa, kebanyakan tarikh yang dicadangkan tidak sesuai dengan jadual saya. Mungkin tahun depan, InsyaAllah, saya akan hadir...

Ini membuatkan saya terkenang kisah di Tingkatan 5. Saya tinggal di blok Rumah Biru. Entah apa jadi dengan blok tu. Dengar cerita diorang tak lagi tinggal according to House Colors lagi. Blame it to the softies...and school administration. Hi, hi, masa saya di sana, ada yang lebih teruk dari High Council pun tak kecoh.

Di blok rumah itu tinggal 5 orang kapitan pasukan sukan sekolah. Yang lain 1 dari rumah hitam (ragbi), 1 dari rumah hijau (bolatampar) dan 1 dari rumah kuning (bola keranjang). Amirdin (bolasepak), Tajul Arifin (hoki), Hassan Hamdani (sepaktakraw), Mohd Salleh (olahraga) dan saya (kriket).

Amirdin, kali terakhir jumpa dia di Medan MARA sebelum dia kahwin. Entah bila agaknya tapi dah tentu sebelum saya kahwin dan juga bermakna sebelum saya buat Master. Masa tu dia bekerja dengan MayBank. Dah besar-besar anak dia agaknya.

Tajul Ariffin, kini seorang pensyarah di UKM. Pernah wakil Belia Malaysia. Tak pasti samada dia sempat main di Junior World Cup yang berlangsung di Malaysia sebab masa World Cup berlangsung dia dah nak further study ke US. Pernah tengok dia jaringkan gol dengan bawa bola dari tengah padang ke gol lawan.

Hassan Hamdani, rasanya masih lagi di Agensi Tenaga Nuklear Malaysia. Last time jumpa dia kalau tak silap masa gathering batch kami 2 tahun lepas. Dia wakil sekolah sepaktakraw sejak Tingkatan 2.

Mohd Saleh, sekarang berkhidmat di Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang. Pernah wakil Malaysia di peringkat sekolah-sekolah Asean. Dapat pingat perak dalam acara favourite dia, 110 m lompat pagar. Dia ni pun dah lama tak jumpa.

Saya, hi, hi, tak perlu cerita lagi...baca aje komen saya, ek.

Sorang lagi yang selalu join study group kami tapi bukan kapitan adalah Azhar. Orang Kuala Kangsar. Dia pelari berganti 4X400 m sekolah. Dia ni entah ke mana perginya. Last time saya jumpa dia adalah hari terakhir saya di Lower Six (Hi, hi, ya saya kena masuk Lower Six dari bulan Januari hingga Julai 1980). Kalau tak silap dia ikut Lower Six Arts, jadi masih berada di situ sebelum saya pergi.

Dah cakap tentang Azhar kena cerita sambal ikan bilis dia. Tiap bulan dia akan balik KK ambil supply sambal ikan bilis. Sambalnya sedap dan boleh tahan lama. Tahan lama, sebab walaupun kami mengecek dia dengan pelbagai cara, hanya sejemput saja yang diberi pada kami untuk dikongsi!

Alhamdulillah, semua kapitan berjaya dalam peperiksaan dan berjaya memasuki pusat pengajian tinggi.

Kata saya...hi, hi, ada sesiapa yang punya resipi sambal ikan bilis macam mak Azhar tak? Yang sedap dan boleh tahan lama tanpa masuk fridge.